MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
19/04/2010
Soalan Apakah perkembangan status penyerahan hak milik dewan komuniti Gat Lebuh Macallum daripada pihak Pemaju kepada Kerajaan Negeri (a) Sila senaraikan dengan teliti tarikh penyerahan hakmilik akan dilakukan. (b) Difahamkan bahawa pendawaian letrik dalam dewan telah hilang. Siapakah yang bertanggungjawab untuk membaik pulih dewan tersebut?
Dun -
Exco Y.B. DATO MANSOR BIN HAJI OTHMAN
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan
Dewan komuniti di Gat Lebuh Nordin merupakan salah satu komponen pembangunan bagi projek pembangunan semula di atas tanah Kerajaan Negeri, Gat Lebuh Nordin, Seksyen 11E, George Town, Pulau Pinang. Dewan komuniti tersebut telah siap dibina dan telah memperolehi Sijil Layak Menduduki pada 10 September 2009. Pemaju PLB-Wonder Bay Development Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 12 September 2009 telah membuat penyerahan dewan komuniti tersebut kepada pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (SSI) selaras dengan kandungan perjanjian yang telah ditandatangani pada 10 November 2004. Dewan komuniti tersebut kini berada di bawah seliaan dan pengurusan pihak SSI.


Pihak SSI menyedari mengenai kejadian vandalisme yang berlaku di dewan komuniti berkenaan seperti kecurian pendawaian elektrik. Pihak SSI telah memohon kerjasama pihak pemaju agar membuat pengawasan dan pemantauan ke atas dewan komuniti berkenaan melalui pengawal yang bertugas semenjak dewan komuniti berkenaan diserahkan kepada SSI. Ianya merupakan langkah sementara sehingga SSI menempatkan seorang anggota/pengawal untuk mengawasi bangunan tersebut. Melalui perbincangan antara SSI dan pihak pemaju, pemaju bersetuju untuk membuat pendawaian semula ke atas pendawaian elektrik yang hilang memandangkan bangunan dewan komuniti tersebut masih di dalam tempoh kecacatan. Namun, setelah pemasangan semula dilakukan, pihak pemaju tidak akan bertanggungjawab lagi ke atas sebarang kerosakan atau kesan kejadian vandalisme yang berlaku. Kerja-kerja pendawaian semula akan dilakukan dalam masa terdekat.







Kembali