Jawapan
1. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mempromosikan sukan sepak takraw di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah menganjurkan Kejohanan Sukan Pulau Pinang (SUKPEN) sebagai salah satu platform untuk mempromosikan sukan sepak takraw selain untuk mengenal pasti bakat-bakat baru dalam acara sepak takraw.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Majlis Sukan Daerah (MSD) sebagai projek jangka masa panjang untuki projek pembangunan sukan negeri. Dengan pewujudan MSD, lebih banyak bakat baru dapat diketengahkan di setiap daerah di negeri ini bagi memastikan Negeri Pulau Pinang tidak ketandusan atlet atau bakat baru termasuklah di dalam sukan sepak takraw.
Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama dengan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pulau Pinang (MSSPP) dalam penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Sekolah di kejohanan MSSPP dan MSSM (zon, daerah, negeri atau kebangsaan). MSNPP dan MSSPP juga menjadikan SMK Mutiara Impian sebagai Sekolah Projek Sukan Sepak Takraw dan ianya bertujuan mencari atlet-atlet pelapis berkualiti dari peringkat sekolah.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi bantuan Pasukan Sepak Takraw Negeri menganjurkan kejohanan Piala Presiden yang diadakan pada setiap tahun dan menghantar Pasukan Sepak Takraw pada kejohanan Sirkit Kejohanan Antara Pusat Latihan Negeri (PLN) yang diadakan 3 kali setiap tahun. Bantuan peralatan kepada Persatuan Sepak Takraw juga diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk kegunaan dan persiapan atlet-atlet.
Program Talent Identification merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi mencari bakat-bakat baru di sekolah-sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Unit Sukan Prestasi Tinggi dan juga Pusat Satelit Negara ISN Cawangan Pulau Pinang. Melalui pendekatan ini, lebih banyak atlet berpotensi akan dikenal pasti dan dibantu dalam program-program yang akan dirancang oleh MSNPP termasuklah bagi sukan sepak takraw.