MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
29/04/2011
Soalan (a) Sila nyatakan status penyediaan Rancangan Tempatan (Local Plan) setiap daerah Pulau Pinang dan apakah punca kelewatan dalam penyediaan Rancangan Tempatan tersebut? (b) Sila nyatakan butir-butir perunding yang dipertanggungjawabkan dalam penyediaan Rancangan Tempatan.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara Pelan Rancangan Tempatan

Jawapan
24. Yang Berhormat Dato' Speaker, saya memohon untuk menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan no. 31 Ahli Kawasan Bukit Tengah.

Status terkini penyediaan Rancangan Tempatan bagi seluruh Negeri Pulau Pinang adalah seperti berikut:-

(a) Kawasan MPSP
MPSP sedang menyediakan 3 Rancangan Tempatan Daerah iaitu:
(i) Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Utara 2005 – 2020 (RTD SPU)

(ii) Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Tengah 2005-2020 (RTD SPT)

(iii) Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Selatan 2005- 2020 (RTD SPS)

Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Utara 2005-2020 adalah dalam peringkat draf akhir dan telah dibentangkan ke Jawatankuasa Perancang Negeri pada 3 Mac 2011 untuk kelulusan seranta. Jawatankuasa telah membuat keputusan bahawa kajian ini perlu dibentangkan dalam Mesyuarat EXCO Negeri untuk kelulusan seranta. Perunding yang terlibat adalah Perunding Permai beralamat di Butterworth, SPU.

(i) Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Tengah 2006 - 2020 adalah dalam peringkat akhir dan telah dikemukakan untuk pembentangan ke Jawatankuasa Perancang Negeri pada 3 Mac 2011 untuk kelulusan seranta. Walau bagaimanapun pembentangan draf tersebut ditangguhkan dan akan dibentangkan dalam Jawatankuasa ini pada mesyuarat yang akan datang. Perunding bagi kajian ini adalah Jururancang Sepakat Sdn. Bhd. beralamat di Selangor.

(ii) Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Selatan 2009-2020 adalah dalam peringkat draf akhir dan akan dibentangkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Teknikal di peringkat MPSP pada 26 April 2011. Setelah Draf tersebut diterima oleh Mesyuarat Majlis Penuh MPSP ianya akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri untuk kelulusan seranta. Perunding yang terlibat adalah RNR Planning Consultants, No,19 Jalan Lagenda 2, Lagenda 2, Lagenda Heights, Sungai Petani, Kedah.

(b) Kawasan MPPP
MPPP juga menyediakan draf Rancangan Tempatan yang meliputi keseluruhan kawasan pulau. Perunding bagi kajian ini adalah AJM Planning and Urban Design Group Sdn. Bhd., beralamat di Selangor.

Draf Rancangan Tempatan ini adalah dalam peringkat draf akhir dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri pada 31 Mei 2010. Satu taklimat telah diadakan pada 17 September 2010 yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Majlis MPPP. Ahli-ahli yang hadir telah memutuskan bahawa perkara ini perlu dibentangkan sekali lagi sebelum diputuskan untuk publisiti.

Kembali