MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/04/2012
Soalan Sila nyatakan pencapaian terkini Mekar Idaman Sdn Bhd? Berapa peratus saham dimiliki oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang? Sila huraikan dengan terperinci tentang perkembangannya?
Dun -
Exco Y.B. TUAN LIM HOCK SENG
Perkara --

Jawapan
(a) Jambatan Pulau Pinang telah dibina oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 Jun 1982 dengan kos pembinaan sebanyak RM943.54 juta. Jambatan Pulau Pinang telah dibuka kepada lalu lintas pada 14 September 1985 dengan menempatkan satu (1) plaza tol iaitu Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang. Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan operasi dan penyenggaraan Jambatan Pulau Pinang sehingga tahun 1993 sebelum ianya diswastakan kepada Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. untuk tempoh 25 tahun mulai 1 Oktober 1993 sehingga 31 Mei 2018. Pelantikan syarikat konsesi ini dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dengan nilai RM550 juta. Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. telah didaftarkan di Kuala Lumpur pada 7 Disember 1992. Modal dibenarkan bagi syarikat ini adalah RM5,000,000.00 dan modal berbayar sebanyak RM2,500,000.00.

(b) Pada 24 September 1993, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah mengarahkan supaya Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. memberikan 15 peratus daripada ekuitinya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pada 20 Oktober 1993, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya 15 peratus ekuiti Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. tersebut dipegang oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pihak Kerajaan Negeri.

Susulan daripada itu, PDC telah membeli 15 peratus ekuiti atau 375,000 unit syer Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. dengan harga RM375,000.00 iaitu RM1.00 per syer pada 1 Februari 1994. Pemegang syer terbesar Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. ialah UEM Group Bhd iaitu RM1,125,000.00 (45 peratus). Ini diikuti dengan Syarikat Mastika Nuri Sdn. Bhd. sebanyak RM875,000.00 (35 peratus) dan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Bhd. sebanyak RM125,000.00 (5 peratus).

(c) Akibat menghadapi masalah untuk membuat pembayaran balik pinjaman bank yang dibuat untuk membayar harga konsesi, Lembaga Pemegang Saham Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. pada 24 Oktober 1994 telah bersetuju untuk menstrukturkan semula syarikat tersebut. Syarikat Intria Berhad telah membeli kepentingan dalam Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. dan mengambil alih konsesi Jambatan Pulau Pinang dengan harga belian sebanyak RM880 juta.

(d) Sebagai pemegang 15% dalam saham syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd., PDC sepatutnya menerima 15% daripada harga penjualan sebanyak RM880 juta iaitu EM132 juta. Malangnya tidak ada satu sen pun diperolehi oleh Kerajaan Negeri yang merupakan satu skandal besar yang merugikan rakyat Pulau Pinang sekurang-kurangnya RM132 juta dalam tahun 1995. Penyusunan semula Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. telah dimuktamadkan pada 28 November 1995 di mana Syarikat Intria Berhad telah membayar keseluruhan harga belian bernilai RM880 juta. Pecahan kaedah pembayaran Syarikat Intria Berhad kepada Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. adalah seperti berikut:-

(i) Pembayaran secara tunai sebanyak RM244,001,600; dan

(ii) Penerbitan saham biasa baru dalam Syarikat Intria Berhad pada kadar RM4.05 sesaham bernilai RM635,998,400 kepada Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd.



(e) Penyusunan semula korporat tersebut telah menjadikan Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada pemegang kepentingan dalam Penang Bridge Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 19 September 1995 oleh Syarikat Intria Berhad selaku pemegang kepentingan utama.

(f) Namun, Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. telah mengalami masalah kewangan yang serius pada lewat 1990-an akibat kegagalan pelaburan luar negaranya, bebanan hutang dan kegawatan ekonomi yang melanda Asia. Akibat kegagalan membayar balik hutang-hutang yang masih tertunggak dan menghadapi masalah tindakan undang- undang daripada pemiutang-pemiutang, pada 8 Mei 2002, Mahkamah Malaya, Kuala Lumpur telah mengarahkan supaya Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. dibubarkan.

Kembali