Jawapan
11. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang telah menjalankan usaha-usaha kawalan pencemaran yang berpunca daripada kumbahan najis ternakan bermula pada tahun 2008. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja kawalan pencemaran ini. JPV telah menubuhkan Unit Kawalan Pencemaran dan Rawatan Persekitaran khas untuk menangani isu-isu yang melibatkan pencemaran dari industri penternakan.
Fungsi Unit Kawalan Pencemaran dan Rawatan Persekitaran adalah seperti berikut:
1. Menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pencemaran dan kacau ganggu lalat;
2. Menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca dan sumber pencemaran dan kacau ganggu lalat;
3. Merancang tindakan pembasmian yang melibatkan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dengan pelesenan dan kawalan alam sekitar, pemilik ladang terlibat serta wakil masyarakat setempat;
4. Melaksanakan program pengawalan pencemaran dan kacau ganggu lalat menggunakan teknologi hijau (bio-enzim, useful microbes);
5. Membuat pemantauan berterusan ke atas ladang-ladang yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran;
6. Menjalankan kajian impak keberkesanan bio-teknologi yang digunakan dalam mengawal pencemaran dan kacau ganggu lalat dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia. JPV juga menjalankan kajian peralatan dan keberkesanan bahan pengawal pencemaran yang digunakan;
7. Menjalankan kempen kesedaran dengan mengadakan pameran, demonstrasi, simulasi kepada pemilik ladang dan mewujudkan ladang contoh bebas pencemaran;
8. Menjalankan program pemindahan teknologi pengawalan pencemaran kepada pemilik ladang melalui kerjasama institusi pengajian tinggi; dan
9. Bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana ladang yang gagal mematuhi tahap kawalan pencemaran yang ditetapkan.
Antara tindakan-tindakan yang telah diambil oleh unit ini adalah seperti berikut:
a. Tindakan Pencegahan
Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan berdasarkan aduan yang diterima dengan melaksanakan beberapa tindakan berdasarkan teknologi kawalan pencemaran najis ternakan menggunakan useful microbes (UM) bagi mengatasi masalah lalat. Berikut adalah tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan:
1. Mac - Disember 2011
Pemberian bantuan Useful Microbes (UM) dan enzim kepada ladang-ladang yang bermasalah gangguan lalat.
2. April-Disember 2011
Pemberian baits (ubat kawalan serangga) kepada ladang-ladang yang berkaitan untuk pembasmian lalat.
3. Jun - Ogos 2011
Pengujian larvacidal bagi memastikan ketahanan lalat di ladang-ladang yang terlibat.
4. Sept 2011 - Feb 2012
Kawalan bersepadu lalat dan bau (program kerjasama bersama pihak Universiti Sains Malaysia).
5. Mac - Disember 2012
Pemberian bantuan Useful Microbes (UM) dan enzim kepada ladang-ladang yang bermasalah gangguan lalat.
6. April - Disember 2012
Pemberian baits (ubat kawalan serangga) kepada ladang-ladang yang berkaitan untuk pembasmian lalat.
7. Januari - Disember 2012
Pemantauan ladang-ladang yang bermasalah kacau ganggu lalat serta ladang-ladang yang mengaplikasikan penggunaan bio-enzim dan useful microbes untuk menilai keberkesanan dalam kawalan pencemaran.
b. Perbincangan
Mengadakan perbincangan dengan tuan punya-tuan punya ladang ayam dan khinzir yang beroperasi di kawasan berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan kejadian kacau ganggu lalat.
c. Memberi Peringatan
Memberi peringatan keras kepada pemilik-pemilik ladang ternakan supaya mengambil tindakan mengawal pencemaran lalat.
d. Kempen Kesedaran
i. Mengadakan kursus dan tunjuk ajar dalam mengamalkan sistem pengurusan ladang yang baik. Kursus ini dapat membantu dan memberi tunjuk ajar untuk menguruskan najis ternakan dengan sistematik dan menggunakan teknologi baru;
ii. Pihak Jabatan juga ada mengadakan kempen kesedaran menggunakan teknologi hijau untuk menguruskan ladang ternakan. Ini dapat memberi kesedaran kepada penternak-penternak terhadap impak yang diperolehi dari pengurusan najis ternakan dan pengurusan ladang yang baik; dan
iii. Program pemberian useful microbes (UM) kepada ladang-ladang bermasalah pencemaran bau dan lalat.
e. Pemantauan
Pihak JPV menjalankan pemantauan ladang-ladang yang bermasalah kacau ganggu lalat. Pemantauan juga dilakukan ke atas ladang-ladang yang mengaplikasikan penggunaan bio-enzim dan useful microbes untuk menilai keberkesanan dalam kawalan pencemaran.