MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/04/2012
Soalan Apakah nama dan tempat projek-projek perumahan yang mampu beli yang telah diumum oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang? (a) Sila senaraikan projek-projek tertentu dengan teliti.
Dun -
Exco Y.B. TUAN WONG HON WAI
Perkara --

Jawapan
Y.B. TUAN WONG HON WAI
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI

2. (a) Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah membangunkan empat (4) projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah iaitu :

(i) Projek pembangunan semula Gat Lebuh Nordin di atas Lot 341, Seksyen 11E, Daerah Timur Laut sebanyak 686 unit kos rendah dan 1,522 unit kos sederhan rendah, dibangunkan oleh PLB Wonderbay Sdn. Bhd.;

(ii) Projek pembangunan semula Ampang Jajar/Rumah Hijau di atas tanah Kerajaan Negeri, Seksyen 3, Bandar Butterworth, Daerah Seberang Perai Utara sebanyak 304 unit rumah kos rendah, dibangunkan oleh Silver Channel Sdn. Bhd.

(iii) Pembinaan projek Halaman Kenanga di Sungai Nibong, Daerah Timur Laut sebanyak 204 rumah kos rendah dan 510 rumah kos sederhana rendah melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC);




(iv) Pembinaan projek Halaman Seroja di Bandar Cassia, Seberang Perai Tengah sebanyak 195 rumah kos sederhana rendah melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Kerajaan Negeri juga telah merancang untuk membina rumah mampu milik di Batu Kawan atas tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang seluas 150 ekar yang merangkumi pembinaan sebanyak 11,800 unit rumah mampu milik bertingkat yang akan dibina secara berperingkat mengikut fasa dengan keluasan dari 800 kaki persegi berharga RM72,500.00 hingga 1,000 kaki persegi berharga RM220,000.00. Fasa pertama projek mengandungi 520 unit dijangka mula dibina pada hujung tahun 2012. Keseluruhan fasa dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah membuat perancangan untuk memperbanyakkan dan menambah bilangan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah melalui:

(i) pembinaan perumahan kos rendah iaitu pembangunan semula Kampung Pisang Awak II di atas tanah Plot A, bersebelahan Lot Pt 51, Seksyen 4, Bandar Jelutong, Daerah Timur Laut. Pembangunan semula ini melibatkan pembinaan sejumlah 384 unit rumah yang terdiri daripada 192 unit rumah kos rendah dan 192 unit rumah kos sederhana rendah.

(ii) menender semula pembangunan perumahan kos rendah di Ampang Jajar/Ujung Batu, Seberang Perai Utara yang melibatkan pembinaan sejumlah 800 unit rumah kos rendah.

(iii) menampung keperluan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah melalui perancangan untuk membangunkan tanah Kerajaan Negeri yang diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (SSI) melalui Request For Proposal (RFP).




(iv) merancang bagi membina 44 unit Rumah Mampu Milik di atas sebahagian lot 680, Mukim 1, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang. Kerja-kerja pembersihan tapak dan tambun tanah sedang dilaksanakan pada tahun ini oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang dan JKR Daerah SPS. Pembinaan rumah mampu milik tersebut dirancang akan dibangunkan pada tahun 2013.

(v) membuat perancangan untuk membangunkan rumah kos rendah di atas tanah Kerajaan Negeri Lot 1534, Mukim 11, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan seluas 15.1 ekar melalui Request For Proposal.

Di samping itu, Kerajaan Negeri masih lagi berusaha mengenal pasti tapak-tapak Kerajaan Negeri yang berpotensi untuk dimajukan dengan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik terutamanya di bahagian Pulau.
Kembali