MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/04/2012
Soalan Difahami yuran penyelenggaraan di perumahan swasta adalah dalam kuasa dan tanggungjawab JMB dan MC bangunan masing-masing tetapi adakah pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk membantu dalam masalah pengutipan yuran penyelenggaraan. Jika ya, sila kemukakan cara bantuan yang dapat disalurkan kepada pihak JMB dan MC tersebut.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara --

Jawapan
2. Salah satu tugas dan tanggungjawab JMC dan MC adalah untuk mengutip yuran pengurusan bangunan yang mereka uruskan. Sebagai usaha membantu JMB dan MC, Kerajaan Negeri telah bersetuju melantik Yang DiPertua bagi kedua-dua Majlis Perbandaran sebagai Pesuruhjaya Bangunan. Seksyen 25 Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Bangunan melantik agen pengurusan untuk menyelenggara dan mengurus bangunan termasuk tugas mengutip maintenance fee.

Di bawah Seksyen 33, Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) Pesuruhjaya Bangunan (COB) boleh mengambil tindakan dengan mengeluarkan waran penahanan bagi menahan apa-apa harta alih kepunyaan pembeli petak yang berhutang caj penyenggaraan. COB juga boleh melelong harta alih kepunyaan pembeli petak berkenaan sekiranya gagal menjelaskan tunggakan caj penyenggaraan dalam tempoh yang ditetapkan. Namun, sehingga kini pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih belum mengeluarkan garis panduan (rules and regulation) mengenai pelaksanaannya.

Seksyen 53A, Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318) pula menyatakan pihak MC boleh memohon kepada Pentadbir Tanah untuk mendapatkan waran penahanan bagi menahan apa-apa harta alih kepunyaan pemilik petak yang berhutang caj penyenggaraan. Sekiranya MC menghadapi masalah dalam melaksanakannya, maka MC boleh mendapatkan bantuan Pesuruhjaya Bangunan.

Di samping itu, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan yang ditubuhkan di kedua-dua PBT juga bertujuan untuk memberi pendidikan kepada JMB/MC yang menghadapi masalah dalam kutipan wang penyelenggaraan maintenance fee.

Bagi memperkasa dan memperbaiki undang-undang ini, Kerajaan Persekutuan juga di dalam proses untuk meminda Akta ini dengan mengambil kira masalah pelaksanaan Akta ini sejak dikuatkuasakan.
Kembali