MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/04/2012
Soalan (a) Adakah projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)? (b) Jika ya, sila nyatakan piawaian yang ditetapkan pleh PBT terhadap projek JKR.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara --

Jawapan
25. Sememangnya projek Kerajaan yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Untuk projek Kerajaan yang dikendalikan oleh JKR, pelan permohonan kebenaran merancang perlu dikemukakan melalui Seksyen 20(a), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Di bawah peruntukan ini, satu proses rundingan dengan semua jabatan teknikal di peringkat negeri perlu diadakan sebelum permohonan kebenaran merancang dibentangkan dalam Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) untuk kelulusan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri (JPBD) Pulau Pinang.

Dalam aspek pembinaan jalan oleh JKR, piawaian MPPP yang ditetapkan melibatkan pemasangan lampu jalan. Piawaian yang ditetapkan untuk pemasangan lampu jalan adalah dari segi reka bentuk dan ketinggian tiang serta kuasa lampu (wattage) mengikut kategori jalan yang dibina.

Di kawasan MPSP, syarat piawai yang ditetapkan oleh PBT terhadap projek JKR adalah seperti berikut:-
Bagi projek JKR yang di bawah penyeliaan PSP, Pelan Bangunan perlu dikemukakan untuk kelulusan MPSP. Manakala bagi projek di bawah penyeliaan JKR sendiri, Pelan Bangunan perlu dikemukakan sebagai rekod MPSP dan pelan tersebut masih tertakluk di bawah Undang-Undang Bangunan Seragam 1986 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

(i) Pelan-pelan jalan dan parit hendaklah dikemukakan untuk rujukan/ulasan.

(ii) Pelan pemasangan lampu jalan/lampu isyarat hendaklah dikemukakan untuk kelulusan.

(iii) Pelan kerja tanah hendaklah dikemukakan untuk rujukan.

(iv) Jurutera Perunding/Jurukur berlesen dikehendaki mengesahkan paras tanah yang ditambun bagi tapak cadangan pembangunan mestilah ke paras minima + 2.130m S.O.D. atau lebih dengan memastikan paras tersebut selamat dari banjir.

(v) Sebarang bentuk kerja tanah hendaklah mematuhi syarat- syarat seperti berikut:-

(a) Papan tanda projek

(b) Kolam cetek bersih tayar kenderaan yang sempurna atau setaraf.

(c) Dua buah (2) Water Jet Pressure untuk membersih kenderaan keluar dari tapak.

(d) Pemohon dikehendaki mengawal lalu lintas lori tanah keluar/masuk ke jalan awam.

(e) Pemohon dikehendaki memastikan jalan awam sentiasa bersih dan tidak berdebu.

(vi) Pemohon dikehendaki membina parit konkrit tepi jalan bersaiz minima 1.200m berhadapan dengan lot-lotnya dan selepas itu memperbaiki dan menaikkan taraf parit konkrit yang sedia ada/mengorek sebarang parit tanah/ menaikkan taraf parit tanah yang sedia ada/sehingga outfall.

(vii) Sediakan parit perimeter yang bersesuaian di sekeliling sempadan lot pembangunan pada paras tanah sedia ada untuk mengalirkan air dari kawasan sekeliling lot tersebut yang terjejas akibat dari pembangunan. Parit tersebut perlulah diletakkan di dalam lot pembangunan.

(viii) Mengenepikan rezab serta membina bahagian parit di bawah Pelan Induk Pemaritan yang berhadapan dengan lot- lotnya/yang mengalir menyeberangi lot-lotnya.

(ix) Pemohon dikehendaki membina parit perimeter di sekeliling lot pembangunan dan parit monson utama terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan lain dijalankan dengan memastikan sistem saliran untuk kawasan sekitarnya tidak terjejas akibat pembangunan.
Kembali