MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
30/04/2012
Soalan (a) Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menggunapakai dasar perumahan yang terdapat dalam local plan? (b) Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai rancangan untuk membina rumah kos rendah atau rumah kos sederhana rendah di atas tanah-tanah kepunyaannya.
Dun -
Exco Y.B. TUAN WONG HON WAI
Perkara --

Jawapan
Y.B. TUAN WONG HON WAI
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
1. (a) Kerajaan Negeri mengguna pakai dasar perumahan yang terdapat di dalam Rancangan Tempatan Daerah (RTD). RTD disediakan untuk memperincikan dasar-dasar di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) yang diwartakan pada 27 Jun 2007. Ini termasuklah Dasar Perumahan yang terdapat di dalam RSNPP tersebut. Dasar ini diguna pakai di dalam perancangan pembangunan sehingga tahun 2020 memandangkan RSNPP dan RTD yang disediakan adalah sehingga tahun 2020.

b) Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian yang utama terhadap permintaan rumah khasnya rumah kos rendah dan kos sederhana rendah. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah mempunyai beberapa perancangan untuk menambah perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah melalui langkah-langkah berikut:

(i) Menampung keperluan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah melalui perancangan untuk membangunkan tanah Kerajaan Negeri yang diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (SSI) melalui Request For Proposal.



(ii) Membina perumahan kos rendah iaitu pembangunan semula Kampung Pisang Awak Fasa II di atas tanah Plot A, bersebelahan Lot PT 51, Seksyen 4, Bandar Jelutong, Daerah Timur Laut. Pembangunan semula ini melibatkan pembinaan sejumlah 384 unit rumah yang terdiri daripada 192 unit rumah kos rendah dan 192 unit rumah kos sederhana rendah.

(iii) Menender semula pembangunan perumahan kos rendah di Ampang Jajar/Ujung Batu yang melibatkan pembinaan sejumlah 800 unit rumah kos rendah.

(iv) Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan juga telah merancang bagi membina 44 unit Rumah Mampu Milik di atas sebahagian lot 680, Mukim 1, Daerah Seberang Perai Selatan(SPS), Pulau Pinang. Kerja-kerja pembersihan tapak dan tambun tanah sedang dilaksanakan pada tahun ini oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang. Pembinaan rumah mampu milik tersebut dijadualkan akan dibangunkan pada tahun 2013.

(v) Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan kerja-kerja untuk membina rumah mampu milik di Batu Kawan atas tanah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang seluas 150 ekar. Sebanyak 11,800 unit rumah mampu milik bertingkat akan dibina secara berperingkat mengikut fasa dengan keluasan dari 800 kaki persegi berharga RM72,500.00 hingga 1,000 kaki persegi berharga RM220,000.00. Fasa pertama projek mengandungi 520 unit dijangka mula dibina pada hujung tahun 2012. Keseluruhan fasa dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

(vi) Membuat perancangan untuk membangunkan rumah kos rendah di atas tanah Kerajaan Negeri Lot 1534, Mukim 11, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan seluas 15.1 ekar melalui Request For Proposal.
Kembali