MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Berapakah kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar luar bandar terkini di Pulau Pinang. Apakah langkah kerajaan negeri untuk menghapuskan masalah ini dan berapakah peruntukannya.
Dun -
Exco TKM1
Perkara Kajian

Jawapan
Misi utama Kerajaan negeri dalam usaha untuk membasmi kemiskinan ialah dengan memastikan keperluan asasi setiap rakyat dipenuhi, memastikan kesaksamaan dalam pembahagian kek ekonomi (berbeza dengan kesamarataan pembahagian kekayaan) dan membenteras wujudnya perbezaan jurang kekayaan yang besar dalam masyarakat. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha yang berterusan dalam meningkatkan daya kompetitif sektor tani, menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam industri kecil dan sederhana (IKS) dan menyediakan akses pendidikan kepada semua sebagai usaha permulaan bagi membasmi kemiskinan. Kerajaan Negeri berusaha untuk membantu mengurangkan beban rakyat dalam konteks kemiskinan dan kemiskinan tegar melalui peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Secara umumnya penentuan kadar keluarga miskin dan miskin tegar adalah ditentukan berpandukan kepada paras garis kemiskinan (PGK) nasional yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri seperti di Lampiran.

Antara program-program yang telah dirancang untuk dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan di Pulau Pinang adalah seperti berikut :

a. Program dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat :


Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tahun 2008 menerima peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM 4,480,130.00. Daripada jumlah tersebut
RM 2,775,300.00 untuk tujuan pemberian Bantuan Am. Sementara peruntukan Persekutuan yang diterima oleh JKM untuk tujuan bantuan kebajikan adalah sebanyak RM 18,500,000.00 untuk tujuan bantuan pelbagai.

b. Kerajaan juga telah merancang pelbagai langkah dari aspek perumahan untuk membasmi kemiskinan. Antara langkah-langkah yang telah dirancang adalah dengan menyediakan Projek Perumahan Rakyat untuk golongan miskin. Selain itu, menggalakkan pembinaan perumahan mampu milik oleh pemaju swasta. Keutamaan juga akan diberikan terhadap pembinaan perumahan mampu milik bagi tanah-tanah kerajaan yang dikenalpasti.

Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Urus Zakat, PERDA dan Jabatan Kesihatan sedang dalam usaha memfokuskan dan memperkemaskan penyelarasan bantuan kepada golongan ini agar tidak berlaku pertindihan dan memudahkan pemantauan sesuatu program dan bantuan kemiskinan. Pejabat Daerah juga telah memohon peruntukan khusus daripada EXCO MMK Luar Bandar melalui pihak UPEN untuk bantuan-bantuan pembaikan rumah golongan ini. Selain itu, Kerajaan Negeri turut memohon peruntukan daripada KKLW untuk program peningkatan pendapatan, program latihan kemahiran dan kerjaya untuk membantu KIR Miskin dan Miskin Tegar.

Di peringkat daerah, Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah telah diwujudkan bagi menyelaras segala bentuk bantuan, program atau projek untuk disalurkan kepada penduduk miskin dan miskin tegar Daerah ini. Sebagai Agensi Pelaksana, Pentadbiran Daerah akan melaksanakan bantuan, program atau projek berdasarkan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri melalui PDC telah merancang pelbagai program bagi membasmi kemiskinan di Pulau Pinang. Di antaranya ialah:

a. Program-program latihan dan pembangunan sumber manusia serta pendedahan mengenai peluang-peluang perniagaan dan pembiayaan dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menggalakkan golongan miskin menjadi usahawan.

b. Penyediaan premis perniagaan mampu milik seperti ruang niaga dan gerai, samada secara jualan, sewaan dan sewabeli untuk membolehkan golongan miskin menjalankan perniagaan yang berpotensi.

c. Melalui pelaksanaan program mentor mentee kraf dan vendor jahitan PDC, peluang perniagaan juga terbuka kepada golongan miskin yang berminat untuk menjadi usahawan mentee, usahawan vendor ataupun untuk menjadi rakan niaga melalui pengedaran dan jualan barangan kraf dan produk jahitan yang dihasilkan usahawan mentee dan usahawan vendor PDC.

d. Melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan, PDC merancang untuk membina satu projek perintis yang dinamakan ‘Komuniti Square’ di lokasi yang strategik dalam kelompok komuniti di Batu Kawan. Kalangan komuniti dan golongan miskin berpeluang untuk menjadi pengusaha dan usahawan kecil dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan. Namun pemilihan ke atas usahawan bumiputera yang berpotensi dan kompeten diutamakan.

e. Penyediaan program perumahan mampu milik di kawasan-kawasan pembangunan PDC terutamanya di Bandar Cassia Batu Kawan. Di Batu Kawan Pelan Induk yang disediakan telah mensasarkan bahawa 45% daripada unit perumahan yang dibina adalah terdiri daripada perumahan mampu milik.


Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membasmi kemiskinan di Pulau Pinang melalui pemberian RM100 kepada 100,000 penduduk Negeri Pulau Pinang.




Kembali