MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Apakah dasar dan strategi pembangunan pelancongan Pulau Pinang. Apakah visi, misi dan objektif strategik kerajaan negeri untuk industri pelancongan negeri.
Dun -
Exco LHK
Perkara Pelancongan

Jawapan
Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama KDNK Negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang mensasarkan ketibaan pelancong seramai 4.7 juta orang pada tahun 2010 dan 6 juta orang pada tahun 2020. Selain daripada itu, Pulau Pinang turut mensasarkan pendapatan sektor pelancongan akan meningkat dari RM5.31 bilion pada tahun 2000 kepada RM10.8 billion pada tahun 2010. Tempat-tempat menarik, kepelbagaian budaya serta warisan merupakan antara kelebihan yang dimiliki Pulau Pinang dalam menarik lebih ramai pelancong.

Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang terpenting kepada ekonomi Pulau Pinang. Sumbangan sektor ini memberi impak kepada beberapa subsektor lain seperti penjajaan, perkhidmatan pengangkutan, peruncitan, perkhidmatan kewangan, percetakan dan sebagainya. Sehubungan itu kerajaan negeri akan meningkatkan usaha bagi memastikan subsektor pelancongan terus menjadi antara penyumbang terpenting kepada ekonomi Pulau Pinang. Pembangunan yang menyeluruh dan terancang dengan mengambil kira faktor pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, promosi dan pemasaran yang profesional dan agresif, serta penglibatan semua lapisan masyarakat dalam subsektor pelancongan perlu dilaksanakan dengan berkesan bagi mencapai impaknya dalam tempoh terdekat.

Visi kerajaan negeri adalah untuk meneruskan usaha-usaha pemasaran dan promosi pelancongan untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi kelas dunia dengan memfokuskan kepada peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan di samping pemeliharaan dan pemulihan bangunan bersejarah. Kerajaan negeri juga akan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian serta warisan negeri. Semua dasar-dasar ini diharap akan dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pelancongan utama di Malaysia.

Pembangunan menyeluruh bagi produk pelancongan mengambil kira pembangunan di semua kawasan. Bagi membangunkan sektor pelancongan, Pulau Pinang mengatur strategi pelan tindakan bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang. Hal ini bagi memastikan perancangan akan dapat dicapai dengan jayanya. Oleh yang demikian satu unit baru yang merupakan sebuah anak syarikat milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan diwujudkan bagi menggerak sektor pelancongan di Pulau Pinang. Unit ini akan menjadi agensi tunggak yang akan melihat kepada semua aspek termasuk merancang, membangun, mempromosi, menyelenggara serta menyelaras produk pelancongan di Pulau Pinang.

Untuk jangka masa pendek, kerajaan negeri memfokuskan kepada acara pelancongan disamping memperkukuhkan aktiviti promosi pelancongan di dalam dan luar negara. Pelbagai program dan projek telah dirancang dan akan diberi penekanan khusus.

Penambahbaikan produk sedia ada di bawah RMKe-9 akan diteruskan dan dijangka semakin rancak pada tahun ini. Antara projek yang dibangunkan ialah Menaiktaraf Sistem Keretapi Sedia Ada di Bukit Bendera, Projek Pembangunan Pelancongan di Taman Kebun Bunga, Peningkatan Kawasan Tarikan Pelancongan Bagi Jajaran Pantai Batu Ferringhi, Pembangunan Muzium Perang Pulau Pinang (Fasa II) dan beberapa projek lain. Pelaksanaan projek seperti Keretapi Bukit Bendera sememangnya penting dan harus disegerakan bagi menyelesaikan masalah yang sering dihadapi pelancong yang mengunjungi Bukit Bendera. Selain itu produk Homestay seperti Homestay Jalan Bharu, Pulau Betong, Pulau Aman, Juru, Sungai Semilang dan Mengkuang Titi akan terus dibangunkan. Produk-produk sedia ada yang lain juga akan ditambahbaik dan diberi sentuhan yang lebih segar. Dengan pelaksanaan projek-projek ini pasti akan terus menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan seterusnya menjana pembangunan sosio-ekonomi negeri.

Untuk memastikan objektif ini tercapai, perkara berikut akan diberikan tumpuan :

i. Membentuk rangka organisasi Pelan Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan untuk merancang, menyelaras dan memantau pembangunan pelancongan Negeri Pulau Pinang.

ii. Memulihara dan menjaga persekitaran fizikal dan warisan yang merupakan produk pelancongan utama.

iii.Menumpukan pembangunan pelancongan kepada empat zon utama iaitu:

 Zon Pantai Peranginan
 Zon Warisan/Sejarah
 Zon Pelancongan Eko
 Zon Pelancongan Agro

iv. Mengenalpasti produk dan pengurusan pelancongan terpilih untuk mendapatkan Pengesahan dan Pentauliahan Antarabangsa seperti Green Flag International, Green Globe Destination dan Green Leaf ISO 1401.

v. Mewujud dan menggalakkan Total Quality Management untuk pengurusan dan pembangunan produk pelancongan.

vi. Membangun dan mempertingkatkan lagi produk pelancongan pantai dengan meningkatkan tahap kebersihan serta kualiti air marin dan memastikan kemudahan-kemudahan sokongan pelancong di kawasan pantai sentiasa diselenggara dengan baik


vii. Membangun dan mempromosikan Produk Pelancongan Warisan dengan menjadikan produk pelancongan warisan sebagai satu keunikan utama Negeri Pulau Pinang, menonjolkan kepentingan sejarah dan warisan senibina Negeri Pulau Pinang melalui pemulihan dan pemuliharaan bangunan-bangunan dan kawasan-kawasan warisan yang dikenal pasti, dan menyediakan katalog komprehensif yang merekodkan bangunan-bangunan penting, bersejarah dan bernilai warisan.

viii. Mempertingkatkan Pelancongan Kesihatan (Health Tourism) dengan memberi tumpuan untuk meluaskan pasaran pelancong-pelancong kesihatan dari negara-negara seperti Timur Tengah, Brunei dan Indochina, dengan mengambilkira potensi Malaysia sebagai Negara Islam, menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dengan mendapatkan persijilan atau akreditasi daripada pertubuhan-pertubuhan kesihatan antarabangsa serta Malaysia Society For Health Accreditation (MSHQ).

ix. Meningkatkan lagi kemudahan Meeting, Incentives, Conventions And Exhibitions sokongan dan kualiti perkhidmatan produk pelancongan (MICE) dengan menyediakan kemudahan sokongan yang mencukupi seperti kemudahan penginapan di sekitar pusat konvensyen yang mencukupi dan kemudahan pengankutan yang baik serta Mempelbagai dan meningkatkan standard daya tarikan acara dan aktiviti pelancongan seperti menjadikan aktiviti pelancongan membeli-belah, sukan, dan acara sebagai sebahagian daripada aktiviti pelancongan MICE.

x. Mempromosikan Pulau Pinang sebagai pusat pelancongan berasaskan membeli-belah dan makanan sebagai salah satu produk utama pelancongan negeri antaranya seperti di Penang Gold Bazaar, Penang Road, Cambell Street, Komtar, Perangin Mall, Gurney Drive, Padang Kota, Little India dan lain-lain serta menarik penglibatan pengusaha-pengusaha hotel, restoran, gerai dan penjualan makanan di tapak pasar malam, pasar tani dan bazaar ramadhan untuk bersama-sama mempromosi keunikan makanan tempatan Negeri Pulau Pinang dan meningkatkan kebersihan dan penyelenggaraan restoran, gerai dan penjualan makanan di tapak-tapak pasar malam.

xi. Membangun dan mempelbagaikan produk pelancongan Eko dan Agro (Eco and Agro tourism) dengan mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi dan mempromosi Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi yang menawarkan produk agro eko pelancongan.

xii. Mempromosikan Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi yang menawarkan produk-produk pelbagai dan mengutamakan “value for money”.

xiii. Menyediakan kepelbagaian kraftangan tradisional Negeri Pulau Pinang dengan menyediakan dokumentasi yang jelas dalam pelbagai bahasa

xiv. Mempromosikan Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi terpilih untuk mereka yang menyertai program Malaysia “My Second Home”.

xv. Mempertingkatkan kemudahan-kemudahan untuk aksesibiliti secara langsung yang lebih baik melalui perhubungan udara, laut dan darat ke Negeri Pulau Pinang.

xvi. Menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai World Class Tourism Destination dengan cara:

• Memastikan semua kawasan tarikan pelancongan utama lengkap dengan kemudahan sokongan yang berkualiti, sentiasa diselenggara dan mempunyai kemudahan untuk golongan OKU;

• Mewujudkan sebuah Pusat Informasi Pelancongan Pulau Pinang dan menyediakan (kiosk) informasi di kawasan membeli belah dan kawasan tumpuan pelancong;

• Menaiktaraf dan memperindahkan semua pintu masuk utama ke Negeri Pulau Pinang (Terminal Feri, Pelabuhan, Jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dan KTM Butterworth);

• Penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang cekap; dan

• Penyediaan kemudahan penginapan yang mencukupi dan selesa dengan harga yang berpatutan.

Kembali