Jawapan
16. Di bawah Kajian Separuh Penggal RMKe-9 sebanyak 7 projek pelancongan telah dipohon untuk diberikan peruntukan. Projek–projek tersebut ialah:-
(a) Menaik taraf sistem keretapi sedia ada di Bukit Bendera sebanyak RM10 juta. Peruntukan pembangunan projek ini adalah amat penting kerana Bukit Bendera merupakan kawasan pelancongan yang popular dan merupakan produk pelancongan yang amat penting bagi Pulau Pinang. Bukit Bendera bukan sahaja dikunjungi oleh pelancong asing sebaliknya ia juga turut menjadi tumpuan utama pelancong tempatan. Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian yang serius ke atas pembangunan Bukit Bendera memandangkan ianya merupakan salah satu ikon bagi Negeri Pulau Pinang. Di bawah RMKe-9, peruntukan sebanyak RM40 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan Malaysia. Namun begitu peruntukan ini adalah tidak mencukupi untuk menampung kos keseluruhan projek. Oleh yang demikian, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta adalah dipohon bagi menampung kos keseluruhan menaik taraf kemudahan keretapi sedia ada di Bukit Bendera, Pulau Pinang.
(b) Projek Pembangunan Taman Metropolitan Relau, Pulau Pinang sejumlah RM3.5 juta. Komponen-komponen asas yang disediakan adalah tidak mencukupi dan tidak dapat menampung permintaan semua golongan pengguna yang mengunjungi dan beriadah di taman ini. Berikutan kunjungan dan pertambahan pengunjung terutamanya golongan kanak-kanak, maka kemudahan yang sesuai seperti kolam mandi adalah perlu selain dari permainan kanak-kanak yang sedia ada. Projek ini dijangka akan dapat memberikan keselesaan kepada pengguna termasuk pelancong. Taman Metropolitan Relau yang dibina oleh Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada tahun 1996. Melalui projek RMKe-9 yang telah diluluskan sebanyak RM2 juta, komponen ini tidak dimasukkan kerana peruntukan tersebut tidak mencukupi.
(c) Arboretum Batu Kawan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang sebanyak RM1 juta. Kos keseluruhan Projek Arboretum ini ialah sebanyak RM5 juta. Sebahagian besar dari kos ini akan dibiayai oleh Penas Development Corporation (Penas) iaitu sebanyak RM4 juta. Oleh yang demikian peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta adalah diperlukan. Projek ini dijangka memberi peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk riadah dan rekreasi, sebagai pusat penyelidikan, produk pelancongan eko yang baru yang bernilai dari segi pemeliharaan khazanah alam semulajadi. Dengan pengwujudan Arboretum, Penas bercadang mengekalkan dan memelihara flora dan fauna yang sedia ada di Batu Kawan berbagai tumbuh-tumbuhan yang merupakan penyumbang kepada ion-ion negatif yang sangat diperlukan oleh manusia dan kehidupan lain memandangkan terdapat banyak ion-ion positif yang memudaratkan kesihatan manusia di kawasan-kawasan yang pesat membangun. Pengwujudan Arboretum ini dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, penyelidikan serta pembangunan bio-diversity. Tambahan pula kawasan tersebut terdapat coastal land forest, low land forest serta hutan paya bakau yang diintegrasikan untuk menjadi Arboretum Batu Kawan lebih menarik dan unik.
(d) Menaik taraf kemudahan dan infrastruktur rumah-rumah pokok di Taman Botani Pulau Pinang berjumlah RM800,000.00. Taman Botani Pulau Pinang merupakan salah sebuah tempat pelancongan yang popular di Pulau Pinang. Ianya mencatatkan jumlah kehadiran pelancong yang ramai terutama sewaktu musim cuti sekolah dan cuti umum. Pembangunan projek ini ialah bagi menaik taraf infrastruktur rumah pokok yang sedia ada seperti bumbung, pagar, dan struktur dinding rumah pokok serta laluan pejalan kaki di dalam rumah pokok selain menambahbaik kemudahan pengairan dan pencahayaan. Setiap koleksi tumbuhan di rumah pokok akan dilabel bagi tujuan pendidikan alam sekitar dan botani. Rumah-rumah pokok utama yang akan dicadangkan untuk dinaik taraf Rumah Kaktus, Rumah Paku-Pakis, Rumah Begonia, Rumah Bromeliad dan Orchidarium. Kos keseluruhan projek menaik taraf kemudahan dan infrastruktur rumah-rumah pokok di Taman Botani Pulau Pinang ini ialah sebanyak RM800,000.00. Kos ini melibatkan kos tanah, kos modal, kos peralatan serta kos operasi untuk projek ini.
(e) Projek Menaik taraf Pasar Lebuh Campbell sebanyak RM2,332,438.20. Pasar Lebuh Campbell yang terletak di persimpangan Lebuh Campbell - Lebuh Carnavon merupakan salah sebuah pasar yang terawal di kawasan George Town. Pasar Lebuh Campbell telah dibina pada tahun 1900 an di atas tapak yang dahulunya merupakan tapak perkuburan Islam yang telah dibeli oleh Pesuruhanjaya Perbandaran pada tahun 1899 untuk tujuan membina sebuah pasar. Masa kini, masih terdapat satu Makam “Wali Allah†di atas satu lot di belakang bangunan pasar. Senibina bangunan pasar ini yang dibina dengan rekabentuk kerangka besi berhias adalah menarik dan mempunyai fasad selekoh (corner facade treatment) yang unik dan luar biasa. Oleh itu, bangunan pasar ini adalah wajar dipelihara dari segi kepentingan nilai sejarah dan senibina. Konsep pembangunan semula pasar Lebuh Campbell adalah menumpu kepada kerja memulihara dan memajukan bangunan warisan pasar sebagai Pusat Seni Kraftangan yang mempamer/menjual karya-karya seni dan kraftangan tempatan ala Central Market di Kuala Lumpur. Cadangan pusat seni kraftangan ini dirancang demi menggalakkan perkembangan aktiviti-aktiviti seni budaya masyarakat tempatan serta mempelbagaikan produk pelancongan di kawasan dalaman Bandaraya George Town. Di samping konsep pemuliharaan bangunan warisan pasar, sebuah bangunan letak kereta bertingkat juga dirancang di bahagian belakang pasar sedia ada untuk menampung keperluan ruang letak kereta di kawasan ini, menyelesaikan masalah genting kekurangan tempat letak kereta khususnya di medan separa pejalan kaki Lebuh Campbell. Cadangan pembangunan semula pasar Lebuh Campbell ini akan bertindak secara complement dengan medan separa pejalan kaki Lebuh Campbell dan Lebuh Buckhingham untuk mencapai objektif keseluruhan memaju, ‘menghidupkan semula’ serta mempromosi aktiviti-aktiviti membeli-belah di kawasan Lebuh Campbell yang memang masyhur sebagai syurga beli-belah pada zaman tahun 1960-an dan 1970-an.
(f) Cadangan menaik taraf Kawasan Pelancongan Dan Rekreasi Taman Ampang Jajar Kerian, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang sebanyak RM7,165,400.00. Pembangunan projek ini adalah amat penting kerana kawasan Taman Ampang Jajar Kerian merupakan kawasan pelancongan yang popular di kawasan Seberang Perai dan merupakan produk pelancongan yang penting bagi Pulau Pinang. Ini bagi membolehkan pelancong tidak hanya tertumpu kepada kawasan pulau sahaja sebaliknya turut melawat tempat-tempat menarik di kawasan Seberang Perai. Komponen projek yang dicadangkan adalah amat penting untuk menarik pengunjung ke taman untuk menjalankan aktiviti riadah terutamanya golongan berkeluarga. Ini akan menjadikan kawasan Taman Ampang Jajar Kerian lebih aktif dan interaktif. Ini selaras dengan hasrat negeri yang mahu menjana industri pelancongan dan menjadikan industri ini sebagai industri terpenting dan menjadi penumbang utama KDNK bagi Pulau Pinang.
(g) Cadangan menaik taraf Kawasan Pelancongan Dan Rekreasi Tepi Pantai - Pantai Robina, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang sebanyak RM3,330,000.00. Pantai Robina ataupun Taman Pantai Telok Air Tawar merupakan salah sebuah kawasan pelancongan di Seberang Perai, Pulau Pinang. Ianya menjadi kawasan tarikan pelancong terutama pelancong domestik. Kawasan Pantai Robina mempunyai pemandangan indah serta menjadi tempat riadah yang utama di kawasan tersebut. Kawasan ini sememangnya berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan yang menarik kerana persekitaran semulajadinya. Pada masa kini komponen-komponen asas yang disediakan adalah tidak mencukupi dan tidak merangkumi semua golongan pengguna yang mengunjungi dan beriadah di kawasan ini. Projek ini dijangka akan dapat memberikan keselesaan kepada pengguna termasuk juga kepada pelancong. Projek ini dijangka memberi peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk beriadah dan berekreasi, produk pelancongan yang baru yang bernilai dari segi pemeliharaan khazanah alam semulajadi. Dengan pelaksanaan projek ini akan membantu memajukan kawasan persekitarannya dan menjana pendapatan atau pulangan dari segi ekonomi kepada penduduk setempat. Selain itu ianya akan mempelbagaikan produk pelancongan di kawasan tersebut seterusnya mampu menarik lebih ramai pelancong mengunjunginya