Jawapan
16. Dalam usaha menangani masalah pemanasan global ini, Kerajaan Negeri sentiasa komited terhadap pemuliharaan alam sekitar dan berusaha melaksanakan pembangunan yang mampan. Fenomena pemanasan global atau perubahan iklim dipengaruhi oleh banyak faktor antaranya adalah jumlah tenaga cahaya yang dipancarkan, jumlah gas rumah hijau iaitu karbon dioksida, nitrogen dioksida, metana, karbon tetraklorida, sulfur dioksida dan aerosol yang terkandung dalam atmosfera serta keadaan permukaan bumi. Semua keadaan ini berpunca daripada aktiviti manusia sendiri yang menyumbang kepada pemanasan global seperti pembalakan, pembersihan hutan, pembakaran terbuka, perindustrian dan pengangkutan. Keadaan fenomena pemanasan global akan menyebabkan pencairan ais, meningkatkan paras air laut yang boleh membawa kepada ancaman banjir, gelombang panas (heat wave) meningkatkan suhu yang boleh menyebabkan pengurangan biodiversiti, kesihatan dan sebagainya.
Selaras dengan usaha menangani masalah pemanasan global ini, Malaysia telah bersetuju menandatangani Protokol Kyoto bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Di antara langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi isu pemanasan global ini adalah dengan memperkenalkan dasar baru serta undang-undang bagi mengawal aktiviti yang menyumbang kepada gas rumah hijau antaranya:-
(i) Mempromosikan bahan api alternatif seperti menggunakan tandan kosong buah kelapa sawit sebagai tenaga yang diperbaharui (renewable energy);
(ii) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Larangan Ke Atas Penggunaan Klorofluorokarbon dan Lain-Lain Gas Sebagai Propelan dan Agen Pengembangan) 1993;
(iii) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996;
(iv) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan
Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996;
(v) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 1999;
(vi) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Halon) 1999 ;
(vii) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel) 2007;
(viii) Menggalakkan Projek Mekanisma Pembangunan Bersih (Clean Development Mechanism - CDM);
(ix) Penghasilan kompos;
(x) Penggunaan metana untuk menghasilkan tenaga;
(xi) Menggunakan sumber tenaga solar;
(xii) Aktiviti penanaman semula pokok/hutan; dan
(xiii) Mempromosikan sistem pengangkutan bersepadu dan penggunaan NGV bagi kenderaan.
Segala dasar dan peraturan ini sentiasa dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri. Selain itu, pelbagai kajian telah dibuat yang menunjukkan impak positif penanaman pokok-pokok teduhan bagi mengurangkan impak pemanasan global. Pokok teduhan terutama dari jenis hutan tropika bertindak mengurangkan suhu melalui penyerapan gas karbon dioksida dari atmosfera. Proses transpirasi yang membebaskan wap air ke udara seterusnya menambahkan bilangan awan, serta menyerap pantulan cahaya matahari terik.
Atas sebab-sebab ini maka MPPP menitikberatkan program penyelengaraan dan penanaman pokok di Pulau Pinang. Pokok-pokok matang terutamanya pokok warisan diberi perhatian khusus termasuk melantik pakar arborist untuk memeriksa pokok-pokok ini. Setiap permohonan penebangan pokok perlu mendapat kelulusan MPPP, di mana hanya pokok yang benar-benar kental sahaja dibenarkan ditebang (atas faktor seperti pokok yang hampir tumbang dan membahayakan) dan setiap pokok yang ditebang perlu diganti semula dengan penanaman pokok baru. Program menanam pokok Majlis menyaksikan lebih 3000 batang pokok teduhan ditanam di kawasan MPPP pada tahun 2007. Program ini sedang diteruskan pada tahun 2008 bagi penanaman pokok di kawasan sekitar pulau. Program menanam pokok ini juga turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri yang terlibat membekalkan anak-anak pokok kepada agensi-agensi kerajaan untuk ditanam di kawasan strategik. Di antara jenis-jenis pokok yang ditanam oleh MPPP ialah pokok Tanjung, Khaya, Bungor, Penaga Lilin, Yellow Flame dan pokok teduhan lain selain pokok Pinang di kawasan yang sesuai. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menggalakkan penyertaan sektor swasta terutama pihak industri dan hotel dalam Program Penanaman Pokok.
Kerajaan Negeri melalui JPS juga telah mengenalpasti kawasan yang berisiko menghadapi kenaikan paras air akibat daripada pemanasan global. Ini dibuat berdasarkan kepada satu kajian awal oleh Seksyen Pantai, JPS Malaysia yang menunjukkan bahawa berkemungkinan kesan daripada pemanasan global, boleh mengakibatkan kenaikan paras air laut pada purata 2mm per tahun hingga 5mm per tahun. Buat masa ini, kawasan tersebut telah dibina dengan ban-ban pantai dengan paras ketinggian 2.2 meter untuk mengelak dari limpahan air laut apabila air pasang. Paras ban yang dibina ini dijangka dapat bertahan sehingga tahun 2068 sekiranya fenomena pemanasan global berterusan. Panjang ban di bahagian Pulau ialah 12km sementara di Seberang Perai 50.9 km.
Selain itu, setiap pelaksanaan program pembangunan di negeri ini akan dipastikan mematuhi Manual Saliran Mesra Alam Malaysia(MSMA) sebagai satu langkah pencegahan yang menerapkan konsep mesra alam.
Kerajaan Negeri sedar bahawa langkah-langkah sedia ada ini masih belum memadai. Justeru, bagi memastikan segala usaha Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya, komitmen serta kerjasama semua pihak juga amat diperlukan.