Jawapan
9. Nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah Kerajaan negeri akan terus dikekalkan. JKKK ditubuhkan dan diiktiraf oleh kerajaan negeri dalam usaha membantu mentadbir hal-ehwal pembangunan masyarakat dan keselamatan diperingkat akar umbi, khasnya di kawasan luar bandar atau kampung dalam bandar.
Penubuhan JKKK sepertimana yang dihasratkan oleh kerajaan negeri adalah menjadi saluran penghubung utama di antara kerajaan negeri dengan rakyat di peringkat kampung atau akar umbi. Institusi ini memainkan peranan penting dalam meneruskan usaha kerajaan menyediakan pembangunan infrastruktur asas yang cekap dan berkesan. Peranan JKKK secara umumnya meliputi:
a) Mengumpul dan mengemaskini maklumat asas kampung dalam sesuatu kawasan JKKK yang meliputi aspek penduduk, keluasan kawasan dan kemudahan-kemudahan asas yang sedia ada;
b) Mengenal pasti program atau projek pembangunan masyarakat yang sesuai dilaksanakan mengikut kesesuaian dan peruntukan;
c) Menjadi penggerak dan membantu menjayakan projek-projek yang telah dipersetujui di peringkat JKKK termasuk projek-projek ekonomi kampung samada secara bergotong-royong atau dilaksanakan oleh jabatan/agensi kerajaan negeri;
d) Membantu badan-badan/jabatan kerajaan negeri dalam pemantauan pelaksanaan projek pembangunan dan menyediakan rekod pembangunan yang bersesuaian;
e) Menjaga keselamatan kampung dari anasir-anasir jahat yang merosakkan masyarakat dan negara dengan cara melaporkan aktiviti-aktiviti mereka kepada pihak berkuasa dan menyusun rondaan;
f) Menguruskan program kebersihan, pengindahan dan penjagaan alam sekitar kampung; dan
g) Membantu dalam kemajuan pendidikan, informasi dan teknologi maklumat, aktiviti keharmonian kaum, hal ehwal wanita, keagamaaan, kemasyarakatan dan sosial.
Bagi elaun Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Elaun Setiausaha dan Elaun Ahli Mesyuarat telah pun dikaji semula. Kadar elaun yang telah diluluskan selaras dengan beban tugas dan kedudukan kewangan Kerajaan negeri adalah seperti berikut:
a. Elaun Pengerusi - RM200.00 sebulan
b. Elaun Setiausaha - RM150.00 sebulan
c. Elaun Mesyuarat - RM10.00 sebulan
d. Kos pentadbiran JKKN - RM1000.00 (sekali setahun)