Jawapan
Kerajaan Negeri prihatin terhadap masalah penjaja dan sentiasa mencari jalan membantu mereka termasuk yang berada di tepi jalan supaya dapat berniaga tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan oleh kedua-dua PBT. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri harus memastikan dalam menjalankan perniagaan aktiviti penjaja adalah teratur, kebersihan diamalkan, tidak timbul kacau ganggu kepada orang ramai serta tidak menyebabkan kesesakan lalulintas.
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengamalkan konsep penguatkuasaan berhemah. Para penjaja tanpa lesen akan diberi pendidikan dan nasihat berhubung pelaksanaan dan keperluan lesen serta memaklumkan mengapa mereka tidak boleh berniaga di sesuatu tempat. Amalan semasa adalah sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri untuk mendidik, berunding dan menguatkuasa.
Setelah nasihat diberi, MPPP akan mengeluarkan notis rasmi memaklumkan pelanggaran undang-undang berkaitan. Jika perniagaan masih diteruskan, maka, notis Pemberitahu Tentang Kesalahan (PTK) akan dikeluarkan kepada penjaja-penjaja tersebut.
Tindakan rampasan dan perobohan hanya akan dilakukan ke atas kes-kes yang serius dan melibatkan kes aduan awam, kesesakan lalulintas dan kacau ganggu awam.
MPPP tidak akan berkompromi dengan asas-asas kebersihan, kesihatan dan keselamatan makanan, minuman, persekitaran dan keselamatan pelanggan.
Peniaga tanpa lesen terutamanya peniaga makanan yang berniaga di tepi jalan tidak mempunyai prasarana dan utiliti. Ini boleh mengakibatkan pencemaran biologikal berlaku. Ketiadaan kawalan makhluk perosak, sistem pembersihan, kawalan sisa pepejal, kemudahan tandas dan bekalan air adalah antara punca-punca berlakunya pencemaran biologikal.
Kegagalan pihak berkuasa memastikan kemudahan asas ini wujud boleh mengakibatkan merebaknya penyakit-penyakit bawaan makanan/minuman seperti tifoid, taun (cholera), Hepatitis A, keracunan makanan (food poisoning) dan sebagainya. Penyakit bawaan makanan/minuman yang serius pernah merebak di Pulau Pinang dan ini akan menjejaskan ekonomi, pelancongan dan imej negeri ini.
Pembuangan sisa-sisa cecair seperti FOG (Fat, Oil & Grease) juga merupakan masalah besar dan telah mengakibatkan pencemaran sungai, anak-anak sungai dan longkang-longkang oleh para peniaga.
Aspek keselamatan juga perlu dititikberatkan apabila penjaja-penjaja berniaga atas jalan atau bahu jalan. MPPP telah mewujudkan program-program penempatan semula penjaja ke lokasi-lokasi yang lebih selamat dan mempunyai prasarana yang lebih baik bagi menangani masalah-masalah yang telah disebutkan dengan menyediakan sejumlah 23 buah pasar, 35 buah kompleks perniagaan dan 53 tapak penjaja yang mengandungi lebih daripada 7,000 unit gerai bagi menempatkan para peniaga. Malangnya masih terdapat sebilangan peniaga yang tidak mahu memasuki kompleks-kompleks tersebut kerana mereka lebih selesa di tempat-tempat yang mereka sedang berniaga walaupun tempat-tempat tersebut menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.
Bagi menjamin pemantauan dan penguatkuasaan yang adil, konsisten dan berkesan, laporan-laporan mengenai masalah penjaja-penjaja akan dibangkitkan di Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, MPPP untuk suatu penyelesaian dicapai.
Kebanyakan penjaja-penjaja ini adalah penjaja beredar. Mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain termasuk dalam daerah-daerah berlainan. Oleh yang demikian, adalah agak sukar untuk menentukan sesuatu penjaja itu berniaga di sesuatu daerah secara kekal.
Bilangan penjaja berlesen dan tidak berlesen mengikut etnik adalah seperti berikut:-
BIL. KAUM PENJAJA BERLESEN PENJAJA TIDAK BERLESEN
1. Melayu 1,294 848
2. Cina 4,084 1,575
3. India 284 240
Bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), langkah-langkah yang diambil bagi membantu penjaja kecil adalah seperti berikut:-
i. Mempertingkatkan pengisian kekosongan gerai/petak Majlis melalui temuduga yang akan diadakan sebulan sekali;
ii. Membuka peluang kepada penjaja untuk berniaga di pasar malam melalui kelulusan yang diberikan oleh Majlis terhadap penganjuran pasar malam; dan
iii. Mengeluarkan permit sementara untuk membantu penjaja kecil yang menjaja di kawasan yang tidak menimbulkan kacau ganggu.