MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Berapakah jumlah doktor pakar yang ditempatkan di hospital-hospital kerajaan di Pulau Pinang. Bidang manakah paling kritikal yang mengalami kekurangan doktor pakar. Apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini.
Dun -
Exco PBP
Perkara Kesihatan

Jawapan
Perancangan kemudahan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah mengikut skop perkhidmatan yang dikenalpasti di mana hospital negeri iaitu Hospital Pulau Pinang memberikan perkhidmatan tertiari di dalam 34 jenis kepakaran bagi bukan sahaja penduduk Negeri Pulau Pinang tetapi meliputi zon utara. Hospital Seberang Jaya menyediakan 9 jenis kepakaran, Hospital Bukit Mertajam menyediakan 5 jenis kepakaran dan Hospital Kepala Batas dengan 6 jenis kepakaran. Mengikut dasar KKM, Hospital Sungai Bakap dan Hospital Balik Pulau merupakan hospital tanpa pakar.

Terdapat seramai 102 orang pakar perubatan sedang memberikan perkhidmatan di Hospital Pulau Pinang di dalam pelbagai bidang. Di Hospital Seberang Jaya pula, terdapat seramai 33 orang pakar dan di Hospital Bukit Mertajam, terdapat seramai 5 orang pakar. Jumlah keseluruhan adalah seramai 140 orang. Di samping itu, terdapat 6 orang pakar dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju dari Universiti Sains Malaysia yang memberikan perkhidmatan di Hospital Kepala Batas melalui kerjasama pintar. Bidang yang paling kritikal kekurangan doktor pakar pada masa ini ialah neurosurgeri, dermatologi, urologi dan pembedahan kardiotorasik. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil pelbagai tindakan untuk menambah pegawai pakar perubatan secara berterusan. Perancangan bagi penambahan pakar-pakar perubatan dibuat berdasarkan keperluan, pertambahan skop baru, peningkatan beban tugas dan kapasiti latihan kepakaran.

Di antara tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengatasi masalah kekurangan doktor pakar adalah seperti berikut:

i. menambah bilangan tempat bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang kepakaran dan sub kepakaran daripada 450 orang kepada 600 orang dalam tahun 2008;

ii. mewujudkan peluang kemajuan kerjaya seperti kenaikan pangkat secara automatik ke gred UD48 mulai tarikh pewartaan sebagai pakar dan mengadakan lebih banyak peluang kenaikan pangkat dengan mewujudkan sebanyak 298 jawatan JUSA di antara tahun 2005 dan 2010;

iii. pelbagai insentif yang lebih menarik kepada pakar-pakar seperti kebenaran untuk menjalankan lokum di sektor swasta, elaun menjalankan pembedahan pada hari Sabtu dan sebagainya;

iv. perkhidmatan pakar-pakar boleh dilanjutkan sehingga ke umur 65 tahun secara kontrak;

v. perolehan perkhidmatan pakar-pakar daripada sektor swasta secara berkala;

vi. bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk menggalakkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara untuk kembali bertugas di Malaysia;

vii. pengambilan pakar-pakar daripada luar negara secara kontrak; dan

viii. meningkatkan sokongan dari segi menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif, menaik taraf kemudahan-kemudahan perubatan, peralatan perubatan dan sebagainya.



Kembali