MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Apakah cadangan kerajaan negeri untuk mempertingkatkan mutu kemudahan sukan di Pulau Pinang seperti Stadium Batu Kawan yang telah dianggap sebagai "gajah putih" disebabkan penggunaan yang tidak sepenuhnya.
Dun -
Exco OKF
Perkara Sukan

Jawapan
5. Stadium Batu Kawan telah dan sedang digunakan untuk tujuan menjalankan aktiviti sukan untuk semua dan sukan prestasi tinggi. Stadium Batu Kawan telah digunakan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk melatih atlet-atlet olahraga negeri. Stadium ini juga telah digunakan oleh sekolah-sekolah berhampiran untuk menganjurkan kejohanan olahraga tahunan masing-masing. Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang juga telah mengadakan perlawanan bola sepak Liga Super, Piala Malaysia, Piala Belia dan lain-lain perlawanan yang melibatkan perlawanan dengan Negeri Perlis, Kedah dan Perak. Di samping itu, persekitaran stadium juga digunakan sebagai trek perlumbaan motosikal seperti Cup Prix dan lain-lain aktiviti sukan bermotor.

Di antara cadangan untuk mempertingkatkan penggunaan Stadium Batu Kawan adalah seperti berikut:-

(i) membina gelanggang untuk lain-lain sukan seperti gelanggang tenis, futsal, memanah, badminton, kolam renang, trek jogging dan lain-lain sukan yang sesuai.

(ii) menempatkan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Unit Sukan Jabatan Pelajaran di Stadium Batu Kawan.

(iii) membina Asrama Sukan.

(iv) menempatkan ruang pejabat kepada semua Persatuan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Dengan pembinaan kemudahan-kemudahan sukan seperti di atas, maka aktiviti sukan akan menjadi lebih meriah. Orang ramai dapat menggunakan kemudahan ini untuk beriadah dan atlet prestasi tinggi juga boleh menjalankan latihan berterusan sekiranya terdapat asrama berhampiran dengan gelanggang.

Sekiranya Majlis Sukan Negeri dan Unit Sukan Jabatan Pelajaran Sukan ditempatkan di Stadium Batu Kawan, maka kedua-dua agensi ini akan dapat merancang lebih banyak acara sukan dilangsungkan di sini.
Kembali