MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Apakah kerajaan negeri menyedari dengan kekurangan doktor-doktor pakar dalam pelbagai bidang di Hospital Seberang Perai yang menyebabkan pesakit-pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk menambah bilangan doktor pakar di Hospital Seberang Perai.
Dun -
Exco PBP
Perkara Kesihatan

Jawapan
Terdapat tiga jenis hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pulau Pinang iaitu hospital negeri, hospital daerah berpakar dan hospital tanpa pakar. Hospital negeri iaitu Hospital Pulau Pinang memberikan perkhidmatan tertiari di dalam 34 bidang kepakaran kepada bukan sahaja penduduk Negeri Pulau Pinang tetapi meliputi zon utara.

Terdapat 3 hospital daerah berpakar di Negeri Pulau Pinang iaitu Hospital Seberang Jaya yang menyediakan 9 jenis kepakaran, Hospital Bukit Mertajam yang menyediakan 5 jenis kepakaran dan Hospital Kepala Batas. Di Hospital Kepala Batas, terdapat 6 bidang kepakaran yang disediakan melalui kerjasama pintar atau smart partnership dengan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju dari Universiti Sains Malaysia. Mengikut dasar KKM, Hospital Sungai Bakap dan Hospital Balik Pulau merupakan hospital tanpa pakar. Walaubagaimanapun perkhidmatan kepakaran disediakan melalui perkhidmatan lawatan pakar daripada Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya secara berjadual.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus meningkatkan bilangan dan distribusi pakar-pakar dari masa ke semasa selaras dengan skop perkhidmatan kepakaran dan pertambahan beban kerja hospital.








Kembali