Jawapan
Permohonan untuk mendapatkan rumah kos rendah/ sederhana rendah yang dimajukan oleh pemaju swasta dan Kerajaan Negeri hanya akan ditawarkan kepada pemohon yang layak serta berdaftar dengan Bahagian Perumahan. Pendaftaran dibuat dengan menggunakan Borang PN1 yang boleh dibeli di Kaunter 6 (Perumahan) Tingkat 3, KOMTAR dengan bayaran RM1.00. Borang (PN1) yang telah lengkap boleh dikembalikan kepada kaunter yang sama atau melalui pos. Surat akuan terima permohonan akan dikeluarkan oleh Bahagian Perumahan. Peruntukan rumah adalah sekali sahaja iaitu pemohon atau isteri/suami yang masih atau pernah memiliki rumah tidak akan dipertimbangkan untuk peruntukan rumah.
Kos rendah : Rumah yang dijual oleh pihak kerajaan atau swasta dengan harga tidak melebihi RM42,000.00.
Kos sederhana rendah: Rumah yang dijual oleh pihak kerajaan atau swasta dengan harga tidak melebihi RM75,000.00.
Tawaran rumah akan dibuat melalui pemaju apabila terdapat rumah untuk ditawarkan. Senarai pemohon yang berjaya akan dicetak dan dibekalkan kepada pemaju perumahan untuk ditawarkan.
Memandangkan masalah menyamakan (matching) bekalan rumah yang ada dengan permintaan, pemohon yang berminat dengan projek perumahan tertentu boleh mengemukakan Borang Rayuan Projek yang boleh diperolehi di kaunter yang sama dengan percuma. Senarai projek yang ada juga dipamerkan.
Syarat-Syarat Kelayakan Untuk Memohon Rumah Kos Rendah/Sederhana Rendah:
• Warganegara Malaysia
• Berumur 18 tahun ke atas.
• Suami atau isteri tidak pernah memiliki rumah.
• Pendapatan suami dan isteri tidak melebihi RM 2,500 bagi
rumah kos rendah dan RM 3,500 bagi rumah kos sederhana
rendah
• Keutamaan akan diberi kepada pemohon yang bermastautin
di Negeri Pulau Pinang dan berkeluarga.
Dokumen Yang Diperlukan:
• Salinan kad pengenalan pemohon dan isteri/suami.
• Salinan sijil nikah/daftar perkahwinan.
• Salinan kad pengenalan atau sijil lahir bagi anak-anak
dalam tanggungan
Sekiranya bekerja dengan kerajaan/swasta:
• Salinan penyata gaji pemohon dan isteri/suami.
• Salinan penyata kira-kira KWSP terbaru pemohon dan
isteri/suami.
Sekiranya berniaga:
• Surat akuan sumpah pendapatan pemohon dan isteri/suami
• Salinan sijil pendaftaran syarikat/lesen perniagaan.
Sekiranya bekerja sendiri:
• Surat sumpah pendapatan pemohon dan suami/isteri.
Sekiranya duda/janda/balu:
• Sijil Daftar Cerai atau Surat Daftar Kematian.
• Salinan kad pesara/OKU/surat pengesahan bekas
perajurit/penerima kebajikan
Pemilihan peruntukan rumah kos rendah/sederhana rendah melalui sistem permarkahan:
Proses pemilihan peruntukan rumah kos rendah/ sederhana rendah dibuat melalui sistem komputer berdasarkan sistem permarkahan seperti di Lampiran.Temuduga tidak lagi dijalankan kecuali bagi projek kerajaan yang tertentu dan projek PPR.