MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Apakah dasar-dasar kerajaan untuk membantu SME dan SMI. Apakah jenis-jenis bantuan dan insentif yang ditujukan kepada SME dan SMI secara terperinci dari pihak kerajaan. Apakah dialog dan forum dengan kerajaan yang boleh dihadiri oleh mereka.
Dun -
Exco AMK
Perkara ADUN

Jawapan
Dasar-dasar kerajaan untuk membantu SME dan SMI terkandung dalam agenda pembangunan negara, iaitu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010 (RMKe-9) dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Dalam tempoh RMKe-9, dasar utama bertujuan untuk membangunkan sektor SME dan SMI yang mempunyai daya saing, kemajuan teknologi dan inovatif supaya dapat menyumbang kepada ekonomi domestik serta mampu bersaing dalam pasaran global. Strategi yang sedang dilaksanakan adalah menjurus kepada pemerolehan teknologi untuk menggerakkan SME dan SMI menaiki rantaian nilai dalam sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan. Ini termasuklah menggalakkan penggunaan perkhidmatan pihak ketiga (Outsourcing), jaringan perniagaan antara SME dan SMI, dengan GLC dan MNC, program keusahawanan serta kemahiran pengetahuan.

Sementara itu, IMP3 turut memberikan keutamaan terhadap pembangunan SME dan SMI tempatan. Pelaksanaan IMP3 yang meliputi tempoh 15 tahun adalah selaras dengan RMKe-9 yang membentangkan lima strategi yang jelas untuk menyokong pembangunan SME dan SMI.

Kelima-lima strategi itu adalah:

(i) Integrasi dan rasionalisasi;
(ii) Berpotensi untuk bersaing di arena global;
(iii) Berkemahiran dalam teknologi ICT;
(iv) Mengamalkan cara kerja yang bersepadu; dan
(v) Menggalakkan sektor perkhidmatan ke arah bidang pertumbuhan baru

Kerajaan Negeri pula sedang melaksanakan Rancangan Pembangunan Strategik Negeri Pulau Pinang yang kedua atau Penang Strategic Development Plan 2 (PSDP2) bagi tempoh 2001 hingga 2010. Lima teras utama di dalam PSDP2 adalah selaras dengan RMKe-9, dan menjadi asas atau dasar dalam membangunkan SME dan SMI di Pulau Pinang.

Lima teras di peringkat negeri ialah:

(i) Meningkatkan daya saing dan nilai tambah ekonomi negeri;
(ii) Melahirkan masyarakat berpengetahuan yang beretika;
(iii) Memajukan pembangunan sosioekonomi secara adil dan seimbang serta memupuk masyarakat penyayang;
(iv) Memelihara alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat; dan
(v) Menjalankan urus tadbir yang baik dan mengukuhkan keupayaan pelaksanaan bagi projek pembangunan.

Berlandaskan teras PSDP2 pertama iaitu meningkatkan daya saing dan nilai tambah ekonomi negeri, Kerajaan Negeri telah mempergiatkan lagi usaha pembangunan SME dan SMI melalui kerjasama dan penyelarasan antara agensi Kerajaan Negeri seperti investPenang dan PDC serta agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA, SMIDEC, MATRADE serta pihak swasta. Kerjasama antara SME dan USM juga telah dipertingkatkan dari segi penyelidikan dan pembangunan serta teknologi. Sokongan dari syarikat multinasional melalui program vendor juga telah dilipat gandakan untuk memberi peluang kepada SME menjalankan perniagaan dalam rantaian nilai syarikat multinasional.

Kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai jenis bantuan dan insentif seperti bantuan kewangan dan perkhidmatan sokongan perniagaan. Bantuan ini disediakan untuk membantu SME dan SMI dari segi:

(i) Peningkatan kemahiran sumber manusia;
(ii) Pembangunan usahawan;
(iii) Pemasaran dan promosi;
(iv) Pembangunan & pengiktirafan mutu produk;
(v) Pembangunan teknologi;
(vi) Penyusunan semula pinjaman; dan
(vii) Pengetahuan dan pencapaian.

Khidmat nasihat juga diberikan dari masa ke semasa untuk membantu SME dan SMI mengendalikan perniagaan, penyusunan semula perniagaan, dan menerokai perniagaan baru.

Bantuan Kewangan khusus untuk SME dan SMI adalah seperti berikut:

(i) Pinjaman di bawah Tabung-tabung Khas
(ii) Geran
(iii) Pembiayaan Ekuiti
(iv) Modal Usaha Niaga
(v) Skim Jaminan
(vi) Insentif Cukai

Kerajaan Negeri pula membantu dari segi urus tadbir tanah perindustrian dan premis perniagaan dan kilang, serta kelulusan lesen perniagaan. Ini dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan PDC. SME dan SMI juga dapat mengambil peluang dari pelbagai program pembangunan usahawan di bawah PDC dan program promosi dan jangkauan pasaran seperti sesi pemadanan perniagaan, misi perniagaan, pameran perniagaan melalui investPenang.

Kerajaan Negeri juga melalui InvestPenang telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan dialog dan forum contohnya Forum SME 2008 yang telah diadakan pada 21 Jun 2008. Tujuan utama forum ini adalah untuk memberi penerangan dan maklumat terkini berkenaan program pembangunan SME dan SMI yang disediakan oleh agensi Kerajaan. Forum ini telah memberi peluang kepada SME dan SMI untuk berinteraksi secara terus dengan agensi kerajaan yang terlibat. Lebih dari 200 peserta SME dan SMI Pulau Pinang dari pelbagai sektor telah menghadiri forum ini. Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan lebih banyak forum atau dialog interaktif seperti ini di masa hadapan.

SMIDEC juga telah menjalankan pelbagai program pembangunan yang berbentuk pembangunan kapasiti dan modal insan yang direncanakan melalui RMKe-9 dan IMP3. Antara jenis bantuan dan insentif yang disediakan adalah merangkumi bantuan berbentuk fiskal dan non fiskal. Bagi memudahkan SME dan SMI di Pulau Pinang mendapatkan maklumat terkini mengenai program pembangunan EKS SMIDEC, sesi khidmat nasihat perniagaan diadakan setiap hari bekerja di Pejabat SMIDEC Wilayah Utara yang beroperasi di Bukit Minyak. Di samping itu juga, SMIDEC turut menyediakan pelbagai aktiviti pengembangan termasuk seperti penganjuran bengkel dan seminar mengikut kelompok industri bersama agensi Kerajaan, persatuan dan dewan perniagaan bagi menyebarkan maklumat berhubung program bantuan yang disediakan kepada EKS di peringkat negeri dan wilayah.

Kembali