MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Adakah kerajaan negeri merancang untuk meningkatkan produk-produk pelancongan di Seberang Perai terutamanya: (a) Kawasan perkampungan nelayan. (b) Kawasan kaki bukit Bukit Mertajam. (c) Kawasan rekreasi.
Dun -
Exco LHK
Perkara Pelancongan

Jawapan
Sememangnya menjadi hasrat Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan semua kemudahan pelancongan di Negeri Pulau Pinang. Pembangunan ini akan dilaksanakan secara menyeluruh dan melibatkan semua kawasan di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri turut memberikan fokus kepada kawasan-kawasan seperti kawasan Perkampungan Nelayan, Kawasan hutan lipur dan kawasan-kawasan rekreasi yang lain. Selain itu Kerajaan Negeri akan memberi fokus dengan membangun dan mempelbagaikan produk pelancongan Eko dan Agro (Eco dan Agro tourism) dengan mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi dan mempromosi Negeri Pulau Pinang sebagai destinasi yang menawarkan produk eko dan agro pelancongan.Berikut merupakan maklumat mengenai kawasan perkampungan nelayan , kawasan kaki bukit Bukit Mertajam dan kawasan rekreasi di daerah Seberang Perai:

(a) Kawasan Perkampungan Nelayan

Daerah Seberang Perai Tengah mempunyai 2 perkampungan nelayan yang utama iaitu Kuala Juru dan Sungai Semilang. Bagi memastikan ia menjadi satu produk pelancongan pada tahun 2007 kerajaan telah meluluskan 13 permohonan daripada penduduk di kampung tersebut sebagai peserta homestay. Sejumlah peruntukan juga telah disediakan untuk menaiktaraf bilik air, tandas dan bilik tidur peserta homestay bagi tujuan keselesaan pelancong yang menginap. Selain itu, pihak Koperasi Pelancongan (KOPEL) Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab membantu mendapatkan pelancong untuk program homestay ini disamping menyediakan bekalan peralatan seperti kelengkapan perabot / bilik tidur, cadar dan juga langsir tingkap kepada semua peserta homestay di Perkampungan Nelayan ini.

Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah turut mengambil inisiatif untuk meningkatkan prasarana di kedua-dua Perkampungan Nelayan ini. Antara projek yang telah dilaksanakan pada tahun 2007 ialah pembinaan dataran kejat di Dataran Sri Semilang, Kampung Sungai Semilang yang dilengkapi dengan pentas kebudayaan terbuka berukuran 60’ x 40’, Dewan JKKK, Medan Info Desa yang menjadi pusat pembelajaran komputer dan ICT hasil sumbangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan menaiktaraf Restoran Nelayan di perkampungan tersebut.

Selain itu Pejabat Daerah juga turut menganjurkan sambutan Majlis Hari Lahir Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang pada 2007 dan Sambutan Ambang Merdeka setiap tahun di dataran ini sebagai salah satu langkah untuk memperkenalkan perkampungan ini kepada orang ramai.

Restoran Pak Su Mee Ketam dan Restoran Nelayan Kuala Juru telahpun diberikan promosi dalam akhbar tempatan bagi tujuan memperkenalkan keistimewaannya kepada orang awam.

Antara perancangan masa depan yang dijadualkan pada 2009 ialah untuk menaiktaraf Pentas Kebudayaan yang dilengkapi dengan bilik persalinan dan tandas di Kampung Semilang serta membina gerai / premis perniagaan di Kuala Juru. Pihak PDC juga telah mengusahakan ternakan kambing dan tanaman tembikai di Kuala Juru melalui anak syarikatnya PDC Agro Sdn. Bhd.

Di Seberang Perai Selatan pula Kerajaan akan menaik taraf infrastruktur di kawasan perkampungan nelayan sebagai persediaan perancangan untuk mewujudkan kawasan eko pelancongan di kawasan tersebut. Dua kawasan perkampungan nelayan yang dikenalpasti ialah Pulau Aman dan Kampung Kuala Haji Ibrahim. Pulau Aman sememangnya telah menjadi salah satu destinasi pelancongan di Pulau Pinang. Bagi menambah daya tarikan ke Pulau Aman, lebih banyak homestay akan diwujudkan di Pulau Aman dan Kerajaan akan mempromosikan aktiviti memancing di luar sangkar ikan sebagai salah satu pakej sekiranya pelancong memilih untuk bercuti dan menikmati suasana kehidupan kampung melalui pakej homestay di Pulau Aman. Disamping itu, lebih banyak promosi akan dijalankan untuk memperkenalkan mee udang Pulau Aman yang menjadi daya tarikan pengunjung untuk berkunjung ke Restoran Terapung Pulau Aman yang baru sahaja disiapkan pada awal Januari 2008.

Medan ikan bakar juga akan diwujudkan di Kampung Kuala Haji Ibrahim dan kemudahan untuk melihat matahari terbenam juga akan disediakan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

Di Daerah Seberang Perai Utara pula terdapat beberapa kawasan nelayan yang boleh dibangunkan. Antaranya ialah Pusat bisik ikan di Kuala Muda Penaga menjadi lokasi tumpuan peraih ikan dan masyarakat luar yang tertarik dengan kaedah bisik yang unik. Pusat ini telah dinaiktaraf oleh LKIM dan Jabatan Perikanan.

(b) Kawasan Kaki Bukit Mertajam
(Hutan Lipur Cherok Tok Kun)

Kawasan ini adalah di bawah penyelenggaraan dan kawal selia Jabatan Perhutanan Negeri. Memandangkan kawasan tersebut adalah merupakan hutan pembelajaran dan menjadi tumpuan, Jabatan Perhutanan Negeri dan Pejabat Daerah sedang menaiktaraf prasarana dan kemudahan di situ. Antara kemudahan yang telah dinaiktaraf ialah tandas awam, surau, tapak perkhemahan, Pejabat Renjer Hutan dan Dataran Kejat. Pejabat Daerah juga turut membina beberapa buah pondok rehat tambahan di atas puncak bukit tersebut pada tahun 2006. Pada masa sekarang, Jabatan Perhutanan sedang menurap semula jalan-jalan di persekitaran kaki bukit. Bagi memastikan kawasan ini menjadi produk pelancongan yang menarik, Jabatan Perhutanan turut mendirikan chalet penginapan, menyediakan laluan ‘jogging’ yang lebih selesa, memajukan Taman Herba dan sedang merancang untuk mendirikan sebuah bangunan pelbagai guna dan menyediakan kemudahan meletak kenderaan yang lebih luas di kawasan tersebut.


(C) Kawasan Rekreasi

Empangan Mengkuang (Mengkuang Dam) adalah kawasan rekreasi yang paling terkenal di Daerah Seberang Perai Tengah. Perbadanan Bekalan Air (PBA) Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab terhadap kawasan ini. Lokasi kedudukan kawasan ini agak terpencil dan oleh sebab itu, Majlis Tindakan Pelancongan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan JKR Daerah telahpun memasang papan-papan tanda arah ‘Mengkuang Dam’ di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah. Ini bertujuan memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke kawasan tersebut bagi tujuan riadah, berjogging ataupun bersiar-siar. Antara cadangan untuk kawasan ini ialah untuk mengindahkan lagi landskap disamping membanyakkan kemudahan peralatan senaman kecergasan untuk orang ramai dan padang permainan kanak-kanak oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Di Seberang Perai Selatan, Hutan Lipur Bukit Panchor akan disediakan dengan kemudahan jungle trekking, kawasan perkhemahan dan kem bina diri sebagai pakej lengkap untuk pengunjung yang mengikuti aktiviti homestay di Daerah Seberang Perai Selatan.

Produk-produk pelancongan di Seberang Perai Utara yang sedia ada dan sedang dirancang untuk dinaiktaraf meliputi :

a) Taman Rekreasi Bertam Vision Park seluas 100 ekar. Peruntukan telah disediakan sebanyak RM 3 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan disalurkan kepada MPSP bagi tujuan landskap dan pengindahan manakala RM 3 juta oleh JPS bagi tujuan kolam tadahan.

b) Naik taraf Pusat Rekreasi Pantai Kamloon telah selesai dilaksanakan oleh PERDA berjumlah RM 100 ribu. Laluan pejalan kaki merentasi tasik bersebelahan Sungai Muda menjadi lokasi kegemaran kaki pancing.

c) Pusat Rekreasi Air Itam Dalam di Sungai Dua kini terlibat dengan projek jalan Labuh Banting – Sungai Dua dan akan dibuka apabila kerja-kerja berkenaan selesai dilaksanakan.






Kembali