MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Nyatakan latar belakang, pengalaman dan kelulusan akademik anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO).
Dun -
Exco KM
Perkara Pentadbiran

Jawapan
21. (a) Y.A.B. TUAN LIM GUAN ENG (Ketua Menteri)
Portfolio: Pembangunan Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah

Beliau dilahirkan pada 8 Disember 1960 di Johor Bharu dan mendapat pendidikan di Sekolah Tinggi Batu Pahat dan di Melaka. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Monash dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Perakaunan pada tahun 1983. Beliau memulakan kerjaya dalam dunia korporat dan perbankan sebelum menceburi bidang politik secara sepenuh masa pada tahun 1986.

Beliau menyertai Democratic Action Party (DAP) pada 1981 dan dipilih sebagai calon Ahli Parlimen kawasan Kota Melaka pada tahun 1986. Beliau menang tiga kali berturut-turut pada 1986, 1990 dan 1995. Beliau kemudian hilang kelayakan hak politik selepas dipenjarakan di Kajang pada tahun 1998 kerana bela nasib seorang gadis Melayu yang ditahan sungguhpun dirogol. Beliau telah bertanding pada Pilihanraya Umum 2008 dan terpilih sebagai Ahli Parlimen Kawasan Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Puteh. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang keempat pada 11 Mac 2008.

Beliau memegang pelbagai jawatan parti termasuk Ketua Pemuda sebelum dipilih sebagai Setiausaha Agung pada 2004 sehingga sekarang.


(b) Y.B. TUAN MOHAMAD FAIRUS BIN KHAIRUDDIN ( Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang )
Portfolio: Hal Ehwal Agama, Pembangunan Keusahawanan & Koperasi, Penerangan & Perhubungan Masyarakat

Beliau dilahirkan pada 2 Julai 1976 di Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Selayang Baru. Kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Pertahanan dan Pengajian Strategik. Beliau telah memulakan kerjayanya dalam bidang pendidikan sebagai pensyarah. Kemudiannya meneruskan kerjaya dalam sektor korporat dengan memegang beberapa jawatan penting. Selepas itu, beliau meneruskan perniagaan sendiri sebagai seorang perunding.

Beliau telah menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 1999 dan telah dipilih sebagai Ketua Penerangan serta Naib Ketua Angkatan Muda. Beliau juga aktif dalam beberapa Badan Bukan Kerajaan dengan menjawat beberapa jawatan penting. Beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008.




(c) Y.B. PROF. DR. RAMASAMY A/L PALANISAMY ( Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang )
Portfolio: Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia Sains, Teknologi & Inovasi

Beliau dilahirkan pada 10 Mei 1949 di Sitiawan, Perak. Beliau mendapat Diploma dalam bidang Kewartawanan dari Wellington Polytechnic School, New Zealand. Setelah itu, beliau meneruskan pengajian di University of Indiana, USA dan dianugerahkan Bachelor of Arts in Political Science. Kemudiannya pada tahun 1980, beliau memperolehi Masters in Political Science dari University of McGill, Kanada dan terakhir sekali dianugerahkan Philosophy of Doctorate (PhD) In Political Science dari Universiti Malaya.

Beliau juga menganggotai pertubuhan professional seperti Peace Building Organisations dari tahun 2006 hingga sekarang sebagai perunding. Pengalamannya yang luas dalam bidang pendidikan memberi peluang kepada beliau untuk dilantik sebagai Profesor dalam Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Visiting Senior Research Fellow di Institute of South East Asian Studies, Singapura. Di dalam bidang politik, beliau merupakan Setiausaha Antarabangsa DAP. Beliau telah terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Perai dan Ahli Parlimen Batu Kawan pada Pilihanraya Umum Ke 12.

(d) Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Portfolio: Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas, Alam Sekitar

Beliau dilahirkan pada 14 November 1958 di Kuala Lumpur. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Sungai Besi (I), Sekolah Menengah Jalan Cochrane dan Kolej Tunku Abdul Rahman. Seterusnya, beliau menyambung pengajian dalam bidang Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) pada tahun 1984. Beliau telah memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan dalam akhbar National Echo.

Beliau telah menyertai Parti DAP pada tahun 1986 dengan menyandang jawatan Setiausaha Politik kepada Y.B. Lim Kit Siang. Beliau mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1990 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota. Beliau tidak dapat mempertahankan kerusi tersebut pada pilihanraya 1995. Walau bagaimanapun selepas itu, beliau kembali menjadi wakil rakyat apabila memenangi kerusi Kawasan Parlimen Tanjung untuk tiga penggal berturut-turut. Pada Pilihanraya Umum ke 12, beliau telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Padang Kota dan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 13 Mac 2008.

Beliau memegang jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP sejak tahun 2004 dan memegang jawatan Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2000.


(e) Y.B. TUAN ABDUL MALIK BIN ABUL KASSIM
Portfolio: Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna

Beliau dilahirkan di Pulau Pinang pada 13 April 1954. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Wellesley dan menyambung ke Sekolah Menengah Westland dan Sekolah Menengah Georgetown. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA, Shah Alam dalam bidang Pentadbiran Awam. Beliau bergerak aktif dalam kegiatan politik pelajar dan telah berjaya dalam pilihanraya Kesatuan Siswazah ITM (KSITM) sesi 1974/75.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam UMNO Bahagian Tanjung Peringkat Negeri dan Pusat serta pernah dilantik sebagai Ahli Majlis MPPP tahun 1993. Beliau telah menubuhkan Parti Keadilan Bahagian Tanjung pada bulan September 1999 sebagai Ketua Bahagian dan dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Negeri pada bulan Ogos 2005 hingga sekarang. Beliau mempunyai pengalaman meluas dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pengurusan perniagaan syarikat kecil, sederhana hingga ke syarikat multinational.


(f) Y.B. TUAN LIM HOCK SENG
Portfolio: Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi)

Beliau dilahirkan pada 4 Jun 1948. Beliau mendapat pendidikan hingga tingkatan lima, MCE dan Senior Cambridge. Beliau merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang politik dan telah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Jermal pada tahun 1986. Kemudiannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Mak Mandin dan Ahli Parlimen Bagan. Selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, beliau diberi kepercayaan untuk menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


(g) Y.B. Tuan Law Heng Kiang
Portfolio: Pembangunan, Pelancongan Kebudayaan, Kesenian & Warisan

Beliau dilahirkan pada 20 Disember 1961. Beliau mempunyai Sijil Institut Bank Malaysia. Kesungguhan yang beliau tunjukkan telah memberi peluang kepada beliau untuk dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kebangsaan untuk Association of Bank Officers Union, Malaysia dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dari tahun 1999 hingga kini bagi kawasan Batu Lancang. Atas sumbangan bakti dan prinsip yang beliau perjuangkan, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan memegang portfolio Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.


(h) Y.B. TUAN PHEE BOON POH
Portfolio: Kesihatan & Kebajikan Masyarakat Penyayang

Beliau dilahirkan pada 1 Disember 1951 di Butterworth. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah St. Mark. Selepas tamat tingkatan lima dan memperolehi Sijil Senior Cambridge, beliau mengambil Kursus Pentadbiran dan Teknikal Perusahaan Tekstil di Filipina. Beliau merupakan Pengarah Urusan kepada sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang perusahaan percetakan dan pembungkusan.

Beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bagan Jermal pada tahun 1990 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Puyu pada tahun 2004. Beliau juga turut merupakan Bendahari DAP Pulau Pinang. Beliau turut bergiat aktif dalam bidang kemasyarakatan dan menjadi penasihat kepada beberapa rumah berhala, pertubuhan kebajikan masyarakat dan Ahli Jemaah SRJK (C) Kwang Hwa.






(i) Y.B. Tuan Law Choo Kiang
Portfolio: Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar, Tebatan Banjir

Beliau dilahirkan pada 5 September 1970 di Pulau Pinang. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin, Bukit Mertajam. Beliau menyambung pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan di National Chung Hsing University, Taiwan dan memperolehi Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Bachelor of Business Administration) pada tahun 1994. Beliau telah memulakan kerjayanya dalam bidang pengurusan kilang di Shenzhen, China. Beliau pernah menjawat jawatan Pengurus di beberapa syarikat perkilangan multinasional.

Beliau menyertai Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat) pada tahun 2000. Seterusnya, beliau dipilih sebagai Ketua Biro Perhubungan Masyarakat pada tahun 2001. Beliau juga pernah dipilih menjadi Ketua Bahagian Bukit Mertajam dari tahun 2002 hingga 2004. Pada tahun 2006, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Negeri. Pada Pilihanraya Umum 8 Mac 2008, beliau memperoleh mandat rakyat untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Tambun.


(j) Y.B. Tuan Wong Hon Wai
Portfolio: Perancangan Bandar & Desa, Perumahan

Beliau dilahirkan pada 1 Mac 1973 di Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kong Min Pusat dan Sekolah Menengah Chung Ling, Air Itam. Seterusnya, beliau menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada tahun 1997. Beliau kemudian memulakan kerjayanya sebagai seorang Jurutera Teknologi Maklumat. Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang semasa bertugas sebagai Jurutera Teknologi Maklumat dan memperoleh Jurisprudence Degree dari Universiti Malaya pada tahun 2004.

Pada tahun 2005, beliau memperolehi Sijil Amalan Guaman. Beliau seterusnya memperolehi kelayakan sebagai seorang peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya pada 20 Julai 2007. Penglibatan beliau dalam politik bermula dengan penyertaan di dalam DAP pada 1997. Kini, beliau merupakan penasihat undang-undang kepada beberapa badan sosial. Pada Pilihanraya Umum ke 12, beliau telah dipilih rakyat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Itam.


(k) Y.B. PUAN ONG KOK FOOI
Portfolio: Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti

Beliau dilahirkan pada 19 April 1965 di Negeri Kedah. Pendidikan awal beliau adalah di Sekolah Menengah Pendang dan Sekolah Menengah Teknik Ipoh. Seterusnya, beliau menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Taiwan, Taipei.

Beliau telah memulakan kerjaya dalam jualan langsung dan insurans selama 11 tahun iaitu dari tahun 1989 hingga 2000. Kemudian beliau membantu suaminya dalam bidang perniagaan. Kini, beliau memegang jawatan Setiausaha Persatuan Kesedaran Hak Wanita dan Kanak-kanak Negeri Kedah. Beliau melibatkan diri dalam politik dengan menyertai DAP pada 15 April 2007. Beliau telah terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Berapit pada Pilihanraya Umum ke12.
Kembali