Jawapan
7. Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui jabatan dan agensi-agensi di bawahnya sedang berganding bahu dalam meningkatkan pengeluaran makanan di Negeri Pulau Pinang dengan melakukan transformasi pertanian secara menyeluruh.
Transformasi pertanian dilakukan merangkumi 2 aspek iaitu melalui transformasi ladang dan transformasi tenaga.
(i) Transformasi Ladang
Beberapa program diwujudkan dalam usaha untuk merealisasikan transformasi ladang. Antaranya:
(a) Projek Berkelompok
Perlaksanaan Projek Berkelompok adalah satu usaha untuk menyatukan kebun-kebun kecil petani yang dilaksanakan secara individu menjadi ladang-ladang yang dilaksanakan secara komersial. Melalui projek-projek berkelompok, pengurusan ladang dapat dilakukan dengan secara lebih ekonomik contohnya melalui input-input pertanian secara pukal dan penyediaan infrastruktur ladang secara bersepadu.
Pengawalan pengeluaran juga dapat dilakukan secara matriks tanaman bagi mengatasi masalah lambakan pasaran. Pengurusan secara berkelompok juga lebih memudahkan penyampaian teknologi terkini terutamanya melalui pengamalan Amalan Ladang Yang Baik (Good Agricultural Practice) yang mana secara tidak langsung meningkatkan kualiti tanaman dan harga.
(b) Program Pembangunan Tanah Terbiar.
Hasrat utama perlaksanaan Program Pembangunan Tanah Terbiar adalah untuk mendapatkan tanah- tanah yang boleh dimajukan dengan aktiviti pertanian. Tanah-tanah yang dikenal pasti berpotensi dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur ladang seperti jalan ladang, sistem perparitan bagi memastikan ianya sesuai untuk aktiviti pertanian.
(c) Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)
Perlaksanaan Pembangunan TKPM adalah bertujuan untuk mewujudkan kawasan pertanian kekal bagi pengeluaran makanan terpilih secara insentif dan moden yang merangkumi unsur-unsur penyelidikan dan pembangunan, pendidikan, pelancongan dan pemeliharaan alam sekitar. Kerajaan Negeri telah menyediakan insentif tanah bagi tujuan ini di Juru.
(d) Projek Padi 10 Tan
Pengeluaran hasil padi semasa adalah puratanya sekitar 3 hingga 4 metrik tan sehektar. Nilai pengeluaran ini, selain hanya menampung 70 peratus keperluan negara, ianya juga tidak memberikan pulangan yang sewajarnya kepada golongan petani.
Untuk itu, matlamat bagi meningkatkan pengeluaran padi pada purata 10 tan metrik sehektar pada tahun 2010 telah ditetapkan. Melalui program ini pakej pengurusan tanaman yang disediakan mampu untuk mencapai matlamat tersebut. Selain itu, insentif tanaman padi turut disediakan bagi memberi suntikan kepada petani meningkatkan hasil pengeluaran padi iaitu Insentif Peningkatan Pengeluaran Padi.
(e) Pembangunan Industri Asas Tani
Pembangunan Industri Asas Tani adalah program penting yang menyokong program pembangunan tanaman makanan. Melalui program ini produk-produk makanan yang dikenal pasti mampu dipasarkan dan dimajukan dengan kualiti yang lebih baik, yang lebih menarik dan sebagainya.
(f) Perlaksanaan Pelan Imbangan Perdagangan (Balance Of Trade-BOT)
Antara isu utama dalam bidang pertanian yang sedang dihadapi negara pada masa ini ialah defisit perdagangan makanan yang begitu besar dan kian meningkat. Melalui BOT tanaman-tanaman yang berpotensi akan dikenal pasti untuk dieksport ke luar negara. Antaranya adalah seperti pisang dan mangga yang telah mendapat tempahan pasaran di luar negara. Beberapa jenis tanaman sayur-sayuran juga telah dikenal pasti untuk dimajukan bagi menggantikan sayur-sayuran yang sering diimport dari luar negara.
(ii) Transformasi Tenaga
Beberapa program diwujudkan dalam usaha untuk merealisasikan transformasi tenaga. Antaranya:
(a) Transformasi Pengamalan Ladang
Usaha giat sedang dijalankan untuk transformasi pengamalan ladang yang menekankan kepada penggunaan mekanisasi ladang, automasi dan teknologi moden.
(b) Penggalakkan Penglibatan Pihak Swasta
Penglibatan pihak swasta dalam membangunkan industri pertanian negara akan terus digalakkan. Penglibatan pihak swasta amat perlu kerana keupayaan mereka dari segi modal, pembangunan teknologi dan jaringan pemasaran.
(c) Penglibatan Usahawan/ Belia
Usahawan muda dan golongan belia sentiasa digalakkan untuk menyertai bidang pertanian secara satu bidang baru dalam pembangunan ekonomi. Ini adalah kerana golongan ini dilihat mampu menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan dan mereka berupaya berubah sepenuhnya bidang ini dari pengamalan pertanian secara tradisional kepada bidang yang lebih moden, dinamik dan berdaya saing.
(d) Penyediaan Pelan Tindakan Komprehensif Jaminan Bekalan Makanan.
Pelan ini meliputi dua sub-pelan, iaitu:
(i) Pelan tindakan untuk meningkatkan pengeluaran beras yang merangkumi penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, peralatan tanah sawah, peningkatan kesuburan tanah, kawalan makhluk perosak, pemilikan jentera dan mekanisasi ladang dan kempen meningkatkan kesedaran pesawah untuk mengurus dan meningkatkan pengeluaran padi.
(ii) Pelan tindakan projek bagi sub-sektor tanaman makanan mencakupi Program Bumi Hijau dan pengurusan tanah terbiar.
(iii) Pemberian insentif pengeluaran tanaman makanan (buah-buahan dan sayur-sayuran).
Selain dari itu juga, Kerajaan Negeri turut menjalankan Program Pembangunan Sumber Manusia bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan. Ia merangkumi:-
(a) Sokongan Komunikasi.
Sokongan komunikasi merupakan komponen terpenting di dalam program pembangunan sumber manusia. Ianya melibatkan program-program penerangan dasar dan arah tuju industri pertanian kepada petani, pengusaha dan pihak swasta, memberi penerangan di projek-projek, menyokong program penyampaian kaedah dan teknologi kepada dan menyediakan bahan-bahan rujukan mudah faham untuk golongan sasar.
(b) Latihan dan Peningkatan Kemudahan Latihan.
Sebagai satu kaedah meningkatkan pengetahuan, kaedah latihan perlu dipelbagaikan supaya ianya lebih mudah diterima di samping dapat meningkatkan di kalangan kelompok petani. Melalui komponen ini, latihan secara formal melalui kursus-kursus petani, latihan informal seperti gotong royong, lawatan belajar dan latihan teknikal dirangka untuk golongan sasar dan pegawai pembimbing. Ia memudahkan golongan sasar yang pelbagai tahap pengetahuannya menerima teknologi baru melalui pengajaran, interaksi dan melihat sendiri kejayaan projek-projek pertanian yang dilaksanakan.
(c) Memperkasa Program Pengembangan
Kepelbagaian kaedah penyampaian maklumat kepada golongan sasar akan melalui Klinik Pengembangan (Dr. Pokok), Hari Bertemu Pelanggan, kempen, bengkel, seminar, pertandingan, Ekspo Pertanian, Hari Peladang dan pameran.
(d) Program Pembangunan Petani Pelapis
Program ini bertujuan untuk melahirkan usahawan tani yang moden, kreatif dan agresif di dalam melaksanakan projek pertanian dan memupuk minat golongan belia bagi menceburi bidang pertanian.
Program-program yang telah dijalankan ini akan diteruskan bagi meningkatkan sumbangan sektor pertanian di negeri Pulau Pinang amnya dan meningkatkan pengeluaran makanan khasnya.