MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Kawasan Batu Feringghi dulunya dikenali dan popular sebagai tempat pelancongan yang menarik dan kini kawasan tersebut dipenuhi dengan peniaga gerai-gerai di tepi jalan yang tidak terkawal. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan kawasan baru untuk pelancongan seperti kawasan Balik Pulau. Jika ada, sila nyatakan perancangan tersebut.
Dun -
Exco LHK
Perkara ADUN

Jawapan
10. Batu Feringghi dahulunya memang menjadi kawasan tarikan utama pelancong di Pulau Pinang. Dengan keindahan pantainya telah menjadikan ia sebagai tempat paling popular di Pulau Pinang. Banyak hotel-hotel juga telah dibangunkan di sepanjang jajaran Batu Feringghi bagi menampung jumlah kehadiran pelancong yang tinggi. Namun Batu Feringghi hari ini sudah tidak segemilang dahulu. Keindahannya telah tercemar dan statusnya sebagai kawasan utama pelancong di Pulau Pinang telah dipertikaikan. Kehadiran gerai-gerai kecil yang tumbuh seperti cendawan di sepanjang Jajaran Batu Feringghi telah menjadi satu masalah yang serius. Ianya menjadi semakin tidak terkawal sejak akhir-akhir ini walaupun penguatkuasaan telah dipertingkatkan.

Walaupun begitu kerajaan masih berpandangan Batu Feringghi boleh dibangunkan semula. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM6.2 juta bagi membangunkan semula Batu Feringghi. Projek ini dijangka akan dapat memberi imej baru kepada kawasan tersebut. Selain itu Jabatan Pengairan dan Saliran turut diberikan peruntukan berjumlah RM8 juta bagi membersihkan kawasan sungai di sekitan Jajaran Batu Feringghi seterusnya memastikan hanya air yang bersih disalurkan ke laut.

Bagi memastikan sektor pelancongan terus kekal sebagai pengerak ekonomi negara Kerajaan Negeri akan mengambil beberapa langkah perlu bagi memastikan produk pelancongan di Pulau Pinang terus menjadi pilihan pelancong. Kerajaan Negeri ada menerima beberapa proposal baru bagi membangunkan kawasan pelancongan yang baru di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan tersebut dan sekiranya ianya bersesuaian ianya akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan. Antara cadangan yang telah diterima ialah pembinaan themepark, marine park dan lain-lain lagi. Produk-produk pelancongan yang baru sememangnya amat penting bagi menjana ekonomi Pulau Pinang. Untuk masa yang terdekat ini Kerajaan Negeri masih belum mempunyai perancangan khusus untuk membangun dan menjadikan kawasan Balik Pulau sebagai kawasan baru pelancongan. Walau bagaimanapun kawasan Balik Pulau mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai kawasan zon pelancongan terhad yang berasaskan kepada eko dan agro pelancongan serta sosio budaya tempatan. Kawasan-kawasan pelancongan di kawasan Balik Pulau seperti Taman Negara Pulau Pinang, Air Terjun Titi Kerawang, Hutan Paya Bakau, Perkampungan Homestay Jalan Bharu, Perkampungan Homestay Pulau Betong, Anjung Indah dan lain-lain amat berpotensi untuk dimajukan. Ini akan menjadikan keseluruhan Pulau Pinang sebagai kawasan tarikan pelancong. Ini bukan sahaja memberi pulangan yang baik kepada Kerajaan Negeri malah ianya akan memajukan ekonomi setempat.

Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta dalam memajukan sektor pelancongan di Pulau Pinang. Dengan kehadiran semua pihak akan lebih memeriahkan lagi industri pelancongan di Pulau Pinang seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebagai tarikan utama pelancong di rantau ini.
Kembali