MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan Berapakah kadar jenayah di negeri ini untuk suku tahun pertama dan kedua bagi tahun 2008 (a) Berapakah kes yang melibatkan bukan warganegara Malaysia. (b) Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk meningkatkan keselamatan di kawasan pelancongan, taman perumahan dan tempat awam di Negeri Pulau Pinang.
Dun -
Exco KM
Perkara Keselamatan

Jawapan

24. Kadar jenayah indeks di Negeri Pulau Pinang pada suku pertama tahun 2008 ialah berjumlah 4,255 kes. Kategori jenayah kekerasan mencatatkan sejumlah 739 kes dan 3,516 kes untuk jenayah yang melibatkan hartabenda. Manakala bagi suku tahun kedua 2008, jenayah indeks di Pulau Pinang mencatatkan sejumlah 4,449 kes. Bagi jenayah kekerasan, sejumlah 843 kes direkodkan manakala 3,606 kes lagi melibatkan jenayah hartabenda.

Manakala bagi suku tahun kedua 2008, jenayah indeks di Pulau Pinang mencatatkan sejumlah 4,449 kes. Bagi jenayah kekerasan, sejumlah 843 kes direkodkan manakala 3,606 kes lagi melibatkan jenayah harta benda.
a) Mengikut statistik, seramai 178 orang warganegara asing telah ditangkap kerana terlibat dengan berbagai-bagai kategori jenayah mulai Januari hingga Mei 2008.

b) Bagi membendung jenayah indeks daripada terus meningkat, pihak polis dan beberapa agensi Kerajaan Negeri yang lain telah mengambil beberapa langkah bersama bagi memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai terus terjamin. Langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut :-

i) strategi pencegahan jenayah yang berkesan melalui operasi-operasi berkala yang berterusan di semua peringkat daerah dengan mensasarkan jenayah yang menjadi penyumbang utama indeks;

ii) menambahkan anggota polis beruniform membuat rondaan bit jalan kaki dan bermotosikal dan rondaan kereta peronda yang ada di setiap zon dalam usaha pencegahan jenayah terutamanya di kawasan-kawasan perumahan, kawasan tumpuan orang ramai dalam dan luar bandar;

iii) pendekatan bersama masyarakat (antaranya polis bersama pelanggan, hebahan media massa dan media cetak) dalam usaha memerangi jenayah terutamanya menerusi maklumat yang disalurkan dan terus dikaji serta ambil tindakan.

iv) peranan masyarakat dalam membantu pihak polis dari masa ke semasa akan dipertingkatkan. Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan, Majlis-majlis Perbandaran, JKKK dan sekolah-sekolah adalah kumpulan yang harus dirapati, dididik dan dipertanggungjawabkan bersama kearah mewujudkan masyarakat bebas dari jenayah. Ini termasuklah mengadakan kempen, ceramah dan penubuhan Rakan Cops untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mengawal hartabenda dan nyawa sendiri.

v) pelaksanakan Inisiatif Bandar Selamat ( IBS ). Pada peringkat permulaan, lima kawasan IBS telah dilaksanakan di Pulau Pinang iaitu:

• Daerah Timur Laut – IBS Macallum,

• Daerah Barat Daya – IBS Bayan Baru,

• Daerah Seberang Prai Tengah – IBS Taman Siakap, IBS Bukit Minyak

• Daerah Seberang Prai Utara – IBS Bagan

• IBS telah dilaksanakan dengan rasminya mulai 1 Julai 2007; dan

vi) pelancaran IBS ini juga bertujuan untuk menggalakkan penyaluran pelbagai jenis maklumat kepada pihak polis khususnya maklumat daripada orang awam, AJK IBS, Rukun Tetangga, penduduk taman perumahan, agensi kerajaan / swasta dan lain-lain.

vii) pada keseluruhannya, mengikut statistik jenayah indeks di Bandar Selamat Negeri Pulau Pinang bagi tempoh Julai hingga September 2007, sebanyak 267 kes dicatatkan berbanding 361 kes pada tempoh sama bagi tahun 2006. Ini menunjukkan penurunan jenayah indeks sebanyak 94 kes atau 26 peratus selepas 3 bulan pelancaran IBS.

viii) pelancaran IBS di kawasan-kawasan yang banyak berlaku jenayah (crime prone areas) amat bersesuaian sekali dan dapat menurunkan kadar jenayah indeks di kawasan tersebut. Konsep ini juga akan diperkembangkan dan diadakan di bandar-bandar lain yang mempunyai masalah jenayah bagi menurunkan kadar jenayah seterusnya memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin.

ix) Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan program Pulau Pinang Selamat dengan menggunakan pendekatan baru merangkumi penglibatan orang awam dengan teknologi terkini.
Kembali