Jawapan
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menerima laporan kerja-kerja pengukuran pantai yang telah dilaksanakan oleh pemaju Projek Tanjung Pinang yang juga meliputi kawasan Gurney Drive. Di antara syarat kelulusan EIA bagi projek tersebut, pihak pemaju perlu menjalankan kerja pengukuran Bathymetric Survey setiap 6 bulan untuk memantau kesan projek ke atas kawasan sekitar. Buat masa ini tiada kesan ketara menunjukkan sebarang penambahan ketebalan lumpur kepada kawasan tersebut.
Bagi langkah jangka pendek, kerja-kerja kutipan sampah-sarap terapung di laut di sepanjang Persiaran Gurney yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) perlu ditingkatkan. Sekiranya kawasan tersebut bebas daripada sampah-sarap, masalah pencemaran dan kecacatan dari pandangan pelancong dan orang ramai akan dapat dikurangkan.
Bagi langkah jangka panjang semua kerja-kerja pelupusan selut bagi projek-projek di perairan Pulau Pinang tidak lagi dibenarkan untuk dilupus di Muka Head. Pelupusan lumpur hanya dibenarkan di tapak pelupusan selatan Pulau Kendi sahaja. Ini adalah bertujuan untuk memastikan lumpur yang dilupuskan di lokasi yang jauh tidak akan dibawa ke tepi pantai oleh arus.
Semua kapal korek dan kapal pengangkutan pelupusan lumpur juga dikenakan syarat memasang peralatan pemantauan terus kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Laut. Dengan ini dijangka masalah pelupusan selut dapat dikawal dengan lebih baik.
Secara jangka panjang juga, JPS dalam kajian ISMP (Integrated Shoreline Management Plan) akan mengemukakan beberapa cadangan untuk memulih dan memajukan kawasan persisiran pantai Pulau Pinang keseluruhannya. Kajian yang telah bermula pada awal tahun 2008 dijangka siap pada tahun 2009.
Bagi kawasan Gurney Drive, cadangan awal adalah menjalankan projek sand nourishment iaitu membaik pulih pantai dengan menggantikan kawasan berlumpur dengan pasir.