MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
Soalan (a) Apakah tujuan dan peranan One Stop Centre. (b) Pelan-pelan yang bagaimana yang diluluskan. (c) Kenapakah timbul masalah kelewatan untuk mendapatkan kelulusan pelan-pelan tersebut.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
6. One Stop Centre merupakan inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan proses permohonan rancangan pembangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan usaha untuk menambah daya saing negara dalam menarik lebih banyak pelaburan ke negara serta meningkatkan sistem penyampaian (delivery system) kerajaan.

(a) Tujuan One Stop Centre (OSC) adalah seperti berikut :-

(i) Menyelaras permohonan pelan-pelan pembangunan yang diterima;
(ii) Mengedarkan keputusan rasmi Jawatankuasa OSC kepada agensi teknikal;
(iii) Memaklumkan keputusan Jawatankuasa OSC kepada Majlis Penuh;
(iv) Menyediakan laporan, rekod-rekod dan menyelaraskan permohonan;
(v) Mengkaji dan menganalisis permohonan yang diterima dan membuat syor penambahbaikan bagi permohonan cadangan pemajuan; dan


Peranan One Stop Centre (OSC) adalah :-

(i) Menyelaras dan menerima permohonan- permohonan pelan yang berkaitan dengan pembangunan seperti permohonan kebenaran merancang, permohonan pelan kerja tanah, permohonan pelan bangunan dan lain-lain;

(ii) Mengagihkan pelan-pelan permohonan kepada jabatan-jabatan teknikal untuk diproses dan diberi ulasan teknikal serta memantau permohonan-permohonan tersebut;

(iii) Menyediakan laporan status permohonan;

(iv) Menyelaras kertas mesyuarat untuk pertimbangan Jawatankuasa OSC; dan

(v) Memaklumkan keputusan permohonan kepada pemohon.

(b) Pelan-pelan permohonan yang diterima di Unit One Stop Centre dan yang akan diluluskan adalah seperti berikut :-

(i) Pemohonan Pelan Kebenaran Merancang;
(ii) Permohonan Pelan Pecah Sempadan;
(iii) Permohonan Pelan Landskap;
(iv) Permohonan Pelan Kerja Tanah;
(v) Permohonan Pelan Jalan dan Parit;
(vi) Permohonan Pelan Lampu Jalan;
(vii) Permohonan Pelan Bangunan;
(viii) Permohonan Pelan Konkrit Tetulang/Struktur Keluli;
(ix) Permohonan Pelan Pembersihan/Sanitari Dalaman;
(x) Permohonan Pelan Penyerahan dan Pemberimilikan Semula; dan
(xi) Permohonan Pelan Ubah Syarat Tanah dan Pecah Sepadan.
(xii) Permohonan Cantuman Tanah.

(c) Antara perkara-perkara yang menyebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan pelan tersebut adalah seperti berikut:-

(i) Pihak konsultan memohon masa tambahan untuk mematuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan oleh pelbagai jabatan;

(ii) Pihak konsultan perlu menghubungi pemaju untuk mendapatkan tandatangan atau membuat keputusan; dan

(iii) Di dalam permohonan tertentu, ia perlu dirujuk kepada agensi/jabatan yang bukan ahli kepada Jawatankuasa OSC seperti Petronas, Keretapi Tanah Melayu, PLUS dan lain-lain. Ini menyebabkan ulasan terus (on the spot) tidak dapat diberikan semasa Jawatankuasa OSC bermesyuarat dan perlu mendapatkan ulasan secara bersurat.






Kembali