Jawapan
Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa urusan pensijilan halal yang sebelum ini dikendalikan oleh JAKIM telah diserahkan kepada Halal Industry Development Corporation mulai 2 April, 2008. Dalam tempoh peralihan ini urusan pensijilan halal masih dikendalikan sepenuhnya oleh Pegawai-Pegawai JAKIM yang dipinjamkan kepada HDC dengan menggunakan garis panduan, standard, kadar bayaran dan lain-lain syarat-syarat yang sama sebelum ini. Sebagai jaminan kepada kesahihahan halal dari segi hukum syarak, HDC telah melantik panel syariah yang dipengerusikan oleh Pengerusi Fatwa Kebangsaan. Kerajaan percaya HDC tidak akan mengutamakan keuntungan melebihi daripada kepentingan hukum syarak dan kepentingan pengguna dalam urusan pengeluaran sijil halal ini. Sebagai syarikat yang akan menjadi syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) kerajaan akan sentiasa memantau urusan perjalanan pensijilan halal ini supaya menguntungkan semua pihak samaada dari segi syarikat HDC, pengguna, pengusaha dan industri halal.
2. Untuk makluman, di Pulau Pinang urusan pensijilan halal ini terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Pada masa ini MAINPP belum membuat keputusan untuk menyerahkan urusan pensijilan halal ini kepada HDC. Kerajaan Negeri difahamkan bahawa pihak HDC akan memaklumkan cadangan pengambilalihan pensijilan halal ini dari negeri-negeri dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan memberikan taklimat dan penerangan pada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk pertimbangan Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi menyerahkan urusan pensijilan halal. Pada masa ini MAINPP melalui Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) mengendalikan permohonan pensijilan halal yang dipohon oleh pengusaha-pengusaha negeri ini.