Jawapan
Sukacita dimaklumkan bahawa pengesahan sijil halal dikeluarkan adalah berdasarkan kepada beberapa standard tertentu seperti HACCP, ISO, GMP dan lain-lain selain dari aspek hukum syarak itu sendiri. Sebelum sijil halal dikeluarkan pemeriksaan dari segi teknikal misalnya kandungan ramuan, sumber bahan, pengendalian, kebersihan dan sebagainya dan aspek hukum syarak akan diambil perhatian yang serius. Pasukan pemeriksaan hendaklah terdiri daripada pegawai teknikal seperti dari Jabatan Kesihatan, Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kimia, teknologi makanan dan lain-lain yang berkaitan dan seorang Pegawai Syariah. Pengesahan sijil halal ini selanjutnya akan dibawa kepada Jawatankuasa Panel Pensijilan Halal untuk membuat keputusan. Oleh itu, penetapan 2 orang pekerja Muslim yang perlu disediakan oleh pihak syarikat hanyalah sebagai pihak yang boleh membantu mengawasi bagaimana pengendalian atau pemprosesan makanan dijalankan dan mereka bukanlah pihak yang menentukan pengeluaran sijil halal. Dengan itu, adalah munasabah ditetapkan kepada pihak pengilang / premis mempunyai minimum 2 orang pekerja Muslim. Cadangan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 60% pekerja Muslim akan menyulitkan pihak industri untuk memenuhi kehendak ini terutamanya pemilik-pemilik syarikat bukan Islam yang mana akhirnya tidak akan menjadi galakkan untuk mereka memohon sijil halal.