MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
10/08/2009 hingga 13/07/2009 05:00:00 PM
Soalan Untuk memperkukuhkan prinsip "CAT" supaya mencapai urus tadbir baik, adakah kerajaan negeri bercadang untuk mengumumkan perisytiharan harta bagi YAB KM, YB Ahli EXCO, YB SUK, YB PUN, YDP MPPP, MPSP, Ahli-ahli Majlis dan semua Ketua-ketua Jabatan.
Dun -
Exco KM
Perkara Pentadbiran

Jawapan
Untuk makluman Yang Berhormat, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002 berkenaan Pemilikan dan Perisytiharan Harta Oleh Pegawai Awam telah menggariskan bahawa di bawah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, semua pegawai kerajaan dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan masing-masing segala harta yang dimiliki olehnya atau isteri atau suami atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya. Pekeliling tersebut juga menyatakan bahawa semua pegawai awam dikehendaki mengisytiharkan harta apabila:

(a) dilantik ke dalam perkhidmatan awam;
(b) dikehendaki oleh kerajaan;
(c) memperolehi harta tambahan; dan
(d) melupuskan harta.

Semua pegawai juga dikehendaki membuat perisytiharan harta sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima (5) tahun. Oleh yang demikian, tempoh perisytiharan harta dikira berdasarkan tarikh terakhir perisytiharan harta dibuat. Walau bagaimanapun, sekiranya dalam tempoh perisytiharan harta yang ditetapkan itu seseorang pegawai tidak memperolehi apa-apa harta tambahan atau tidak melupuskan apa-apa harta, maka pegawai berkenaan perlu membuat pengakuan mengenainya dengan menggunakan borang yang telah ditetapkan.

Selaras dengan pematuhan pekeliling tersebut, pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memanjangkan Borang Perisytiharan Harta kepada semua Ahli EXCO. Borang tersebut adalah Borang Perisytiharan Harta Anggota Pentadbiran Kerajaan di mana telah dihantar oleh Y.A.B. Perdana Menteri sendiri dan borang-borang tersebut adalah diwajibkan untuk diisi oleh semua Ahli EXCO sejajar dengan prinsip telus (transparency) yang diamalkan Pentadbiran kerajaan negeri.

Namun demikian, ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Majlis tidak diwajibkan untuk melengkapkan borang tersebut memandangkan mereka bukan digolongkan sebagai Anggota Pentadbiran Awam. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri ini akan meminta semua ADUN dan Ahli Majlis untuk melengkapkan borang tersebut sekiranya ada keperluan.

Selain itu, Ahli-ahli EXCO Ex-Officio di negeri ini seperti Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri, Y.B. Penasihat Undang-undang Negeri, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan badan-badan berkanun termasuk Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran juga telah pun mengisytiharkan harta selaras dengan keperluan pekeliling tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan negeri ini akan terus memantau proses perisytiharan harta ini dari semasa ke semasa sejajar dengan pematuhan peraturan pekeliling tersebut agar prinsip C.A.T. di negeri ini akan terus diamalkan dari semua aspek pentadbiran.


Kembali