MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
10/08/2009 hingga 13/07/2009 05:00:00 PM
Soalan Berapa banyakkah kes denggi berdarah yang telah berlaku di Negeri Pulau Pinang sejak 2008 hingga kini. Dari jumlah berkenaan, berapakah yang telah meninggal dunia. Apakah langkah-langkah yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini serta program-program yang telah dijalankan.
Dun -
Exco PBP
Perkara Kesihatan

Jawapan
Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu kesihatan memandangkan ia melibatkan keselamatan penduduk. Bagi statistik kes denggi berdarah mengikut tahun adalah seperti berikut:


(a) Tahun 2008 - sebanyak 58 kes demam denggi berdarah dan 1 kematian telah dilaporkan; dan

(b) Sehingga Jun 2009 -14 kes demam denggi berdarah telah dilaporkan dan sehingga kini tiada kematian berlaku.

Selain itu, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah mengadakan pelbagai langkah dan usaha bagi mengurangkan kejadian kes demam denggi di negeri ini. Langkah-langkah yang telah dan sedang diambil ialah:



(i) memastikan semua kes yang disyaki denggi yang mematuhi kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dilapor atau dinotifikasi ke pejabat kesihatan mengikut peraturan di bawah Seksyen 10 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988;

(ii) langkah-langkah kawalan dan pencegahan akan diambil segera tanpa menunggu ujian pengesahan bagi setiap kes yang dilaporkan;

(iii) kajian Aedes iaitu pemeriksaan untuk pembiakan akan dijalankan dari rumah ke rumah di sekitar kawasan kes yang dilaporkan;

(iv) aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan dan larviciding (penyemburan racun pembunuh jentik-jentik) juga dijalankan di persekitaran kawasan perumahan bagi mengesan dan memusnahkan pembiakan di luar bahagian rumah;

(v) Semburan kabus akan dijalankan segera dalam tempoh
24 jam selepas notifikasi diterima;

(vi) Jadual bagi pemeriksaan premis yang dijalankan setiap hari oleh unit vektor, pejabat kesihatan daerah juga disiarkan dalam akhbar tempatan bagi memastikan penduduk peka akan kehadiran pasukan kesihatan yang akan menjalankan pemeriksaan dan tindakan kompaun yang akan dikenakan sekiranya anggota yang menjalankan pemeriksaan menemui pembiakan di premis. Pengumuman ini juga memberi peringatan kepada masyarakat bahawa penghapusan pembiakan perlu dijalankan setiap minggu;

(vii) penyediaan bekalan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) di klinik-klinik kesihatan secara percuma juga disediakan bagi mengatasi pembiakan aedes di dalam premis. Ia membolehkan penduduk memastikan bekas yang menakung air bebas daripada pembiakan aedes;

(viii) aktiviti-aktiviti penguatkuasaan iaitu mengeluarkan kompaun sehingga maksimum RM500 kepada tuan punya premis-premis yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes dijalankan secara berterusan. Tindakan mahkamah juga diambil ke atas mereka yang gagal menjelaskan kompaun; dan

(ix) mesyuarat berkala bersama pelbagai agensi turut diadakan untuk tindakan segera dan kolaborasi semua pihak bersama pejabat kesihatan, MPPP dan MPSP dalam mengawal kejadian demam denggi. Di samping itu, Bilik Gerakan peringkat negeri dan daerah dibuka pada setiap hari termasuk hari cuti bagi memastikan pemantauan kes-kes denggi terutamanya di kawasan wabak dijalankan secara berterusan.


Walaupun kebanyakan langkah-langkah kawalan masih lagi dijalankan oleh pejabat-pejabat kesihatan daerah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan langkah paling berkesan untuk mencegah penyakit demam denggi ialah melalui penglibatan masyarakat dalam memusnahkan tempat pembiakan Aedes. Justeru itu, beberapa program telah diwujudkan bagi meningkatkan sikap keprihatinan masyarakat iaitu:-

(i) Program COMBI (Communication For Behavioural Impact). Program ini memberi penekanan kepada sukarelawan yang terdiri daripada penduduk setempat bagi menjalankan aktiviti seperti pemeriksaan dari rumah ke rumah dan persekitaran untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan;

(ii) Ceramah-ceramah diberikan terutamanya di sekolah- sekolah, di kawasan-kawasan wabak dan dalam program- program kesedaran yang dianjurkan oleh ADUN kawasan;

(iii) Pameran mengenai penyakit demam denggi juga diadakan terutamanya di kawasan tumpuan awam seperti di pasar raya dan pusat membeli belah; dan

(iv) Memberikan info kepada Radio talk di Mutiara FM mengenai penyakit denggi dan langkah-langkah kawalan.

Kembali