Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI
4. Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MPPP dan MPSP dengan kerjasama JKR dan PDRM mempunyai mekanisma perancangan tersendiri dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
(i) MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG (MPPP)
MPPP sentiasa melaksanakan dan memantau program Bandar Selamat di bawah kawasan pentadbirannya. MPPP juga sentiasa memastikan konsep Bandar Selamat diterapkan dalam projek-projek baru MPPP, antaranya ialah Projek Upper Penang Road, Projek Menaiktaraf Kawasan Little India, Medan Pejalan Kaki Lebuh Campbell/Lebuh Buckingham, Projek Menaik taraf Lebuh Acheh/Armenian, Projek Menaik taraf Penang Gold Bazaar dan Projek Menaik taraf Lebuh Pantai.
Dari segi pengurangan jenayah, MPPP sentiasa melaksanakan dan memantau beberapa langkah-langkah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri antaranya:
(a) Lima Langkah Pelaksanaan Segera
Langkah 1 : Pengasingan Laluan Pejalan Kaki dengan Jalan Bermotor
Mengenal pasti beberapa tumpuan kawasan awam seperti stesen bas dan rel disediakan bagi mengasingkan pejalan kaki dari laluan motosikal.
Langkah 2 : Penyediaan Bollard atau Pagar
Menyediakan bollard atau pagar di tempat-tempat tertentu bagi mengasingkan laluan pejalan kaki dengan laluan motosikal.
Langkah 3 : Mencuci/Mengemas Kawasan-Kawasan Semak dan Terlindung
Meningkatkan pembersihan kawasan-kawasan kotor dan grafiti khususnya, di tempat-tempat awam seperti di sekitar laluan stesen bas, rel dan lorong-lorong tepi dan belakang premis perniagaan utama. Dengan demikian, tempat-tempat ini akan mudah diawasi oleh MPPP dari aktiviti-aktiviti jenayah.
Langkah 4 : Laluan Awam Tidak Terlindung Atau Terhalang Dari Pandangan Awam
Jejantas tidak dipenuhi dengan papan-papan iklan yang boleh melindungi laluan dari pandangan awam. Ini memudahkan aktiviti jenayah ragut, aktiviti penagihan dadah dan sebagainya. Sebarang iklan di jejantas hendaklah di paras yang tidak menghalang penglihatan.
Langkah 5 : Mencahayakan/Menerangkan Kawasan- kawasan gelap yang menjadi sasaran atau tumpuan penjenayah
Memasang lampu di laluan jejantas, tempat meletak kereta dan sebagainya bagi memudahkan pengawasan. Semua premis perniagaan perlu memasang lampu di laluan kaki lima supaya mudah untuk diawasi dan tidak menjadi tempat yang mudah bagi peragut.
(b) Langkah-langkah Pencegahan Jenayah Yang Telah Di laksanakan
Langkah 1 : Pengasingan laluan pejalan kaki dari jalan bermotor
Pengasingan laluan pejalan kaki dan laluan bermotor melalui pembinaan konkrit dapat mengurangkan risiko kegiatan jenayah ragut di kawasan ini.
Penyediaan rel penghadang dan laluan pejalan kaki di perhentian bas seperti di Jalan Kelawai, Lebuh Farquhar, Jalan Hamilton, Lebuh Light dan lain-lain
Langkah 2 : Penyediaan Bollard
Pembinaan bollard di kawasan laluan pejalan kaki dan jalan bermotor di Kawasan Little India, Penang Gold Bazzar, Upper Penang Road, Campbell Street, Padang Kota Lama, Lebuh Pantai dan Lebuh Acheh/Lebuh Armenian.
Pemisah disediakan di antara laluan pejalan kaki dan laluan bermotor bagi kawasan laluan orang ramai/pusat tumpuan.
Langkah 3 : Mengawal Tanaman Landskap Di Laluan Pejalan Kaki
Penanaman landskap di sepanjang laluan pejalan kaki memerlukan pengawalan yang sempurna seperti Kawasan Jalan Residensi, Persiaran Gurney dan lain-lain.
Langkah 4 : Penyelidikan Pencegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Persekitaran
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Perancang Bandar & Desa (JPBD), PDRM (Jabatan Logistik), NGO, JKR, PBT dan sebagainya. Aktiviti penyelidikan ini akan menghasilkan:
• Reka bentuk umum konsep Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED)
• Garis Panduan Pencahayaan
• Garis Panduan Penyediaan Landskap
• Garis Panduan Penilaian Keselamatan Bangunan
• Garis Panduan Persekitaran Tempat Letak Kenderaan
• Garis Panduan Pemasangan Kemudahan CCTV
Langkah 5 : Penyemakan Garis Panduan Susun Atur Perumahan
Input polis dalam menyemak semula garis panduan susun atur perumahan dan keperluan kemudahan polis.
Langkah 6 : Pondok Polis
Pondok polis yang berperanan untuk mengawal kegiatan jenayah terutama di kawasan membeli belah dan kediaman, seperti di Pusat Membeli Belah Bukit Jambul, Kawasan Perumahan Padang Tembak, Pondok Polis Komuniti Paya Terubong dan lain-lain
Langkah 7 : Papan Tanda Peringatan Jenayah
Contoh papan tanda peringatan jenayah yang berperanan memberi peringatan kepada orang ramai seperti di Pusat Membeli Belah Bukit Jambul, Kawasan Perumahan Padang Tembak, Kawasan Perumahan Kampong Melayu dan lain-lain.
Langkah 8 : Cermin Keselamatan
Pemasangan cermin keselamatan diberi tumpuan kepada jejantas seperti di Jejantas Persimpangan Jalan Burma/Jalan Penang/Jalan Dr Lim Chew Leong
Langkah 9 : Penggera Keselamatan (Alarm)
Pemasangan Alat Penggera Keselamatan di lokasi yang strategik dan di tengah-tengah laluan awam yang boleh digunakan oleh orang ramai apabila berlaku kejadian ragut. Walau bagaimanapun, kos pemasangan peralatan ini adalah terlalu tinggi. Contoh di Pesiaran Gurney.
Langkah 10 : Mencuci/Mengemaskan Kawasan- kawasan Semak dan Terlindung
MPPP sentiasa memastikan kawasan-kawasan kediaman dan laluan utama penduduk berada dalam keadaan bersih dan selamat.
Langkah 11 : Tempat Letak Motosikal Berkunci
MPPP juga ada menyediakan Tempat Letak Motosikal Berkunci yang disediakan di kompleks membeli-belah bagi mengurangkan gejala curi motosikal di kawasan seperti Midland Park, Bukit Jambul Shopping Complex, Hospital Besar Pulau Pinang dan lain-lain
Langkah 12 : Pemasangan Closed Circuit Television (CCTV)
Sehingga hari ini MPPP telah memasang 34 CCTV di kawasan sekitar Bandar George Town dan pihak polis akan memastikan sistem pengoperasian CCTV dapat dikendalikan dengan cekap dan berkesan.
Langkah 13 : Tidak Membenarkan Perniagaan dan Meletak Kenderaan Di Kaki Lima dan Laluan Pejalan Kaki
Laluan kaki lima yang terhalang dengan meletakkan kenderaan ataupun barang-barang perniagaan akan dikenakan saman.
Langkah 14 : Menjanakan Pelbagai Aktiviti Perniagaan
Kewujudan gerai-gerai di kawasan-kawasan tidak sunyi yang menjadi tumpuan ramai dapat mengurangkan risiko jenayah berlaku.
Langkah 15: Perkhidmatan Pengawal Keselamatan Swasta
Penyediaan perkhidmatan kawalan keselamatan oleh Pasukan Kawalan Keselamatan Swasta seperti yang terdapat di kawasan perumahan.
Langkah 16 : Pendidikan
MPPP dan lain-lain agensi memainkan peranan dalam mengedarkan risalah kepada orang ramai bagi tujuan menyedarkan orang ramai tentang bahayanya jenayah.
Langkah 17 : Pemasangan Lampu Di Lorong Tepi, Depan dan Belakang Rumah
Bagi kawasan yang kerap berlaku pecah rumah, MPPP memainkan peranan memberi kesedaran kepada pemilik rumah memasang lampu di depan, tepi dan belakang rumah bagi menghindarkan jenayah pecah rumah.
Langkah 18 : Penyediaan Risalah Jenayah Komuniti
Berbagai risalah telah diedarkan dan risalah mengenai jenayah yang dikeluarkan oleh MPPP adalah dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Langkah 19 : Meningkatkan Rondaan Kawasan Perumahan
Kewujudan rukun tetangga dan adanya rondaan di sesebuah kawasan perumahan dapat membantu mengawal kegiatan jenayah di kawasan perumahan tersebut. Contoh perumahan Kampong Melayu.
C. Langkah Dalam Proses Pelaksanaan
Langkah 1 : Perkongsian Maklumat Jenayah Melalui GIS -based Mapping
Selain itu, Program Konsep Bandar Selamat juga telah diterapkan dalam semua pembangunan baru yang dilaksanakan oleh MPPP dan juga oleh pemaju.
Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas adalah:
- Mewujudkan satu proses peralihan daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam untuk mengurangkan isipadu kenderaan di atas jalan. Sehubungan ini, kerajaan negeri telah menyeru agar Kerajaan Pusat menambah baik perkhidmatan bas awam oleh Rapid Penang di Pulau Pinang. Pihak Rapid Penang telah memaklumkan kepada kerajaan negeri bahawa sebanyak 200 buah bas tambahan telah disediakan dan beroperasi secara berperingkat mulai bulan Jun 2009. Pada masa sekarang, Rapid Penang mempunyai 150 buah bas yang beroperasi di Pulau Pinang. Dengan bas-bas tambahan ini, perkhidmatan yang lebih efisien dan berkualiti dapat disediakan dan laluan-laluan sosial dapat diliputi.
- Menambah baik sistem pengangkutan awam sedia ada serta mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu yang efisien, berkualiti, mudah diperolehi, mesra alam dan meliputi setiap ceruk pulau. Dalam soal ini, perkhidmatan bas Central Area Transit (CAT) dalam kawasan pusat bandar George Town yang dilancarkan pada 23 Januari 2009 telah mendapat sambutan yang baik. Di samping ini, projek-projek yang sedang mendapat perhatian kerajaan negeri adalah Sistem Transit Monorel Aliran Ringan serta Hybrid Tram System. Kerajaan Pusat juga perlu memainkan peranan dan menyediakan peruntukan dalam soal ini.
- Membina jalan-jalan baru dan menaik taraf jalan sedia ada untuk mengawal kesesakan, mengagih dan menyurai aliran lalu lintas serta meningkatkan keselamatan jalan raya. Projek Pembinaan Lintasan Kedua Pulau Pinang telah bermula dan dijangka akan siap pada tahun 2012.
- Kerajaan negeri juga telah memohon bantuan dan kerjasama kerajaan pusat untuk membina Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan lain-lain projek yang telah dikenalpasti di bawah Rancangan Malaysia Ke-9. Di samping itu, projek-projek pembinaan dan menaik taraf jalan yang tidak menelan belanja yang banyak serta yang disyaratkan ke atas pemaju akan diteruskan oleh kerajaan negeri.
- Dari segi pengurusan sistem lalu lintas setempat localised traffic management plan, sistem jalan sehala dan sistem kawalan lampu isyarat berkomputer akan diperluaskan. Langkah-langkah sedang diambil untuk melicinkan aliran lalu lintas dan mengurangkan gangguan di jalan-jalan utama yang sering mengalami kesesakan lalu lintas dengan mengadakan larangan-larangan, mengeluarkan petak letak kenderaan di tepi jalan serta meningkatkan penguatkuasaan.
- Laluan-laluan pejalan kaki akan dibina dan dinaik taraf selaras dengan rancangan kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian. Kemudahan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan. Di samping ini, laluan dan kemudahan untuk penunggang basikal akan diperluaskan.
- Liputan sistem kawalan CCTV akan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa dengan menambah bilangan kamera. Sistem CCTV telah digunakan dengan berkesan untuk pemantauan lalu lintas dan mengawal kesesakan.
- Mengawal pembangunan dan corak guna tanah supaya tersusun dan mempunyai infrastruktur yang sepadan untuk mengalih dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pembangunan padat sedia ada.
Dalam jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan negeri sedang meneliti kesesuaian mengadakan kawalan, larangan dan sekatan untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian traffic restraint measures di kawasan yang mengalami kesesakan yang serius. Tindakan dan rancangan kerajaan negeri untuk mengemas kini keadaan trafik dan lalu lintas adalah juga tertakluk kepada peruntukan dan perlaksanaan projek-projek yang telah diumumkan oleh Kerajaan Pusat .
(ii) MAJLIS PERBANDARAN SEBERANG PERAI (MPSP).
Antara langkah-langkah yang diambil oleh MPSP adalah dengan memasang lampu-lampu jalan di kawasan-kawasan yang gelap yang mempunyai risiko tinggi untuk aktiviti jenayah. MPSP meluluskan pemasangan lampu jalan setiap bulan dan kos untuk bil elektrik ditanggung oleh MPSP sebanyak RM4.1 juta setahun.
(iii) JABATAN KERJA RAYA (JKR).
Diantara tindakan-tindakan yang diambil oleh JKR untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan raya adalah:
(a) Setiap permohonan oleh pemaju untuk memajukan sesuatu tempat, JKR melalui Bahagian Pembangunan Tepi Jalan, Bahagian Jalan akan mensyaratkan pemaju mengambil kira keadaan jalan dan kajian trafik di sekitar kawasan kemajuan untuk mengurangkan trafik.
(b) JKR melalui kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mencadangkan laluan-laluan baru di kawasan luar bandar. Kesesakan dijangka berkurangan setelah jalan baru tersebut siap.
Untuk melancarkan trafik sedia ada JKR akan sentiasa memastikan papan tanda, garisan jalan dan lain-lain perabot jalan sentiasa berada dalam keadaan baik.
(iv) POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM).
Dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di Negeri Pulau Pinang, pihak polis bersama agensi-agensi kerajaan negeri yang lain telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai terus terjamin. Tindakan-tindakan yang diambil adalah seperti:-
(a) Semua Ketua Polis Daerah telah diarah untuk mempertingkatkan pencegahan jenayah dengan menambahkan anggota polis beruniform, membuat rondaan bit jalan kaki dan bermotosikal, rondaan kereta peronda dan operasi-operasi berkala (Ops Payung, Ops Rentap dan Ops Cegah Jenayah). Kesemua penugasan ini ditumpukan di tempat-tempat yang menghadapi peningkatan perangkaannya.
(b) Tindakan proaktif juga diambil bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dan NGO-NGO bagi menerangkan dan menghebahkan maklumat dari segi menjaga harta benda dan nyawa. Ini termasuklah mengadakan kempen, ceramah dan penubuhan Rakan Cops untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mengawal harta benda dan nyawa sendiri.
(c) Perlaksanaan Inisiatif Bandar Selamat (IBS).
Pada peringkat permulaan lima kawasan IBS telah dilaksanakan di Pulau Pinang iaitu IBS Macallum (Daerah Timur Laut), IBS Bayan Baru (Daerah Barat Daya), IBS Taman Siakap (Daerah Seberang Perai Tengah), IBS Bukit Minyak (Daerah Seberang Perai Tengah), IBS Bagan (Seberang Perai Utara).
IBS ini dilaksanakan dengan rasminya mulai 1 Julai 2007. Perlaksanaan Bandar Selamat ini merupakan penambahbaikan infrastuktur dan alam sekitar di kawasan-kawasan Inisiatif Bandar Selamat antaranya :-
- Pemasangan CCTV untuk memudahkan pemantauan kes ragut, samun, curi motosikal dan jenayah lain.
- Pemasangan lampu jalan bertujuan untuk menerangi kawasan yang menjadi tumpuan penjenayah melakukan jenayah.
- Pembinaan Dewan Komuniti bertujuan untuk masyarakat bersatu dan menanam semangat kejiranan melalui aktiviti yang diadakan dan pembangunan komuniti tercapai dan dapat membantu polis dalam pencegahan jenayah.
Tindakan-tindakan yang telah diambil oleh PDRM bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan ialah :
- Meletakkan anggota penguat kuasa trafik di lokasi- lokasi kesesakan lalu lintas point-duty bagi melancarkan laluan kenderaan ke destinasi masing- masing.
- Meletakan papan tanda arah dan laluan agar pengguna tidak keliru akan laluan yang hendak digunakan.
- Menjadikan jalan sehala pada jalan yang kerap berlaku kesesakan serta membuat lencongan.