Jawapan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan 30 peratus kitar semula menjelang 2015. Kitar semula yang dicapai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam tahun 2007 adalah 14.85 peratus dan 2008 adalah 4.53 peratus, manakala Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mencapai 20.82 peratus kadar kitar semula dalam tahun 2008 dan dijangka menghampiri sasaran 30 peratus menjelang tahun 2015. Kitar semula juga bergantung kepada faktor-faktor minat orang awam.
Bahan kitar semula juga terletak kepada harga pasaran dan keadaan ini mempengaruhi environment kitar semula. Dalam tahun 2007, bahan kitar semula telah turun sebanyak 70 peratus dan ini telah mempengaruhi program dan minat orang awam kepada program kitar semula.
Program-program kitar semula yang sedang dan akan dijalankan oleh MPPP adalah seperti berikut:-
(a) Program kutipan komputer terpakai (E-waste) bersama Dell Asia Pacific, Sunshine Group (Sunshine Departmental Store), Penang Environment Working Group (PEWOG), IRM Industries dan kerajaan negeri. Program ini telah diperluaskan kawasan kutipannya kepada 13 pusat kutipan di seluruh pulau;
(b) Memperkenalkan program Bank Kitar Semula ke sekolah-sekolah rendah;
(c) Menganjurkan ceramah kesedaran kitar semula kepada institusi-institusi yang memohon kerjasama;
(d) Mengkaji semula program kitar semula dan membuat formulasi strategi baru untuk tahun 2010;
(e) Mengendalikan kutipan E-waste di Stor MPPP, Jalan Kampung Jawa Baru, Jalan Oldham dan Dewan Bandaran; dan
(f) Program kempen berterusan melalui kaedah ceramah, pameran, pameran di karnival dan latihan kepada sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian, sektor swasta dan sektor awam.
Kerajaan Persekutuan telah melantik Idaman Bersih Sdn. Bhd. sebagai concessionaire untuk membina dua (2) unit Material Recovery Facility (MRF), satu di Jelutong dan satu lagi di Pulau Burong. Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara dan pegawai-pegawai kanan daripada KPKT akan berunding dengan kerajaan negeri mengenai hal tanah untuk MRF dalam masa terdekat.