Jawapan
Usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan negeri bagi membaiki prestasi kontinjen negeri pada SUKMA akan datang adalah seperti berikut:-
i) Penganjuran Sukan Pulau Pinang 2009 (SUKPEN 2009)
(1 Disember hingga 7 Disember 2009)
Sukan Pulau Pinang 2009 atau SUKPEN 2009 adalah merupakan kejohanan sukan yang dipertandingkan antara daerah-daerah Negeri Pulau Pinang bagi mencari bakat baru yang berdaya saing untuk mewakili Pulau Pinang ke peringkat Sukan Malaysia atau SUKMA.
Kejohanan seperti ini akan dapat membaiki dan meningkatkan lagi prestasi atlet-atlet skuad SUKMA Negeri Pulau Pinang melalui pertandingan beraneka sukan multi sports event yang dipertandingkan antara daerah-daerah.
ii) Penganjuran Festival Sukan Kombat 2009 (FESKOM 2009)
(16 Disember hingga 21 Disember 2009)
Melibatkan semua acara yang dipertandingkan dalam sukan tempur combat sports. Tujuan diadakan FESKOM adalah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan atlet Pulau Pinang serta pihak lawan di dalam merangka persiapan untuk menghadapi SUKMA XIII 2010 Melaka.
Penganjuran FESKOM ini akan melibatkan lapan (8) acara sukan tempur iaitu Karate-do, Wushu, Pencak Silat, Taekwando, Tinju, Silambam, Judo dan Lawan Pedang.
iii) Program Latihan Bersepadu Kepada Atlet-Atlet Skuad Latihan SUKMA
Atlet skuad latihan SUKMA adalah merupakan atlit yang terpilih untuk menyertai SUKMA XIII 2010 Melaka. Jurulatih akan mengenal pasti atlet yang layak untuk mewakili Pulau Pinang dan atlet berkenaan boleh bersaing untuk mendapatkan pingat atau sekurang-kurangnya layak ke pusingan akhir.
Atlet ini akan diberi pendedahan dan latihan mental dan fizikal supaya dapat berdaya saing dengan atlet-atlet elit dan berupaya menyumbang pingat di dalam SUKMA XIII, Melaka. Beberapa siri latihan secara bersepadu akan dirancang berdasarkan kepada sains sukan yang akan diurus oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan juga Unit Sukan Prestasi Tinggi Negara (USTPN).
iv) Perlaksanaan Projek Mutiara
Projek Mutiara merupakan satu projek jangka panjang yang telah dirangka oleh MSNPP berdasarkan kepada latihan sepenuh masa sepanjang tahun. Atlet yang terpilih di dalam Projek Mutiara adalah terdiri di kalangan atlet elit dan skuad latihan untuk menghadapi SUKMA XIII 2010 nanti. Atlet tersebut akan menjalani latihan sepenuh masa dan tempat latihan adalah berdekatan dengan asrama yang disediakan oleh MSNPP. Antara sukan yang terlibat adalah sukan Angkat Berat, Silat, Taekwando, Tinju, Lumba Basikal dan Sepak Takraw.
Atlet berkenaan dikehendaki tinggal di asrama yang disediakan oleh MSNPP dan perlu menjalani latihan dua (2) sesi sehari. Kebajikan atlet tersebut akan dijaga oleh MSNPP dengan menyediakan makanan, elaun dan juga makanan tambahan.
v) Skuad Pelapis
MSNPP dengan kerjasama Persatuan Sukan akan mengenal pasti bakat-bakat baru untuk dicungkil atau diketengahkan pada SUKMA yang akan datang. Atlet yang berada di dalam kategori ini adalah merupakan atlet yang akan mewakili Pulau Pinang di dalam SUKMA yang akan datang dan sekiranya atlet berkenaan menunjukkan prestasi yang baik, atlet terrsebut akan dinaik taraf ke atlet skuad latihan SUKMA.
MSNPP amat memerlukan atlet pelapis supaya kontinjen Pulau Pinang tidak ketandusan atlet yang boleh menyumbangkan pingat di dalam SUKMA yang akan datang. Atlet yang berada di kategori ini juga akan diberi latihan yang secukupnya.
vi) Meningkatkan Bidang Kejurulatihan
MSNPP amat menitikberatkan program latihan untuk melatih atlet yang akan mewakili Pulau Pinang di dalam SUKMA XIII 2010 Melaka. Jurulatih akan melatih atlet dengan mengikut Periodization Plan yang telah dibuat agar atlet mencapai tahap kemuncak semasa SUKMA XIII 2010 Melaka nanti.
Di dalam sistem latihan terdapat empat (4) perkara asas yang utama iaitu teknikal, taktikal, kecergasan dan mental dan oleh itu, pihak MSNPP akan berbincang dari semasa ke semasa dengan pihak yang berkaitan untuk memajukan lagi sistem latihan yang berkaitan.
Selain daripada program latihan yang akan dijalankan di pusat latihan yang sedia ada, MSNPP juga akan berbincang dengan persatuan-persatuan sukan untuk menguatkan latihan diluar negeri dan juga luar negara jika perlu.
vii) Pelan Periodisasi
Pelan Periodisasi adalah satu proses meringkaskan rancangan tahunan sukan ke dalam bentuk fasa latihan yang lebih kecil bertujuan untuk memudahkan menyusun segala perancangan yang dibuat serta mengaplikasikannya semasa latihan dan kejohanan.
Pelan Periodisasi ini merupakan satu garis panduan yang telah diamalkan oleh negara luar seperti Jerman, Australia dan Amerika Syarikat dengan tujuan untuk memudahkan semua pihak terutama jurulatih dalam membentuk persediaan atlet sebelum menghadapi satu-satu kejohanan penting. Ia juga turut diamalkan oleh jurulatih-jurulatih negara kita. Walau bagaimanapun pemahaman jurulatih dan pihak lain mengenai pelan ini adalah ditahap sederhana.
viii) Penumpuan Sukan Yang Menawarkan Banyak Pingat
MSNPP akan memberi penumpuan kepada jenis-jenis sukan yang boleh meraih pingat di dalam SUKMA XIII 2010 Melaka. Antara sukan yang berpotensi atau disasarkan untuk meraih pingat adalah sukan tempur, sukan akuatik, olahraga dan menembak.
Ini bukan bermakna MSNPP mengabaikan sukan-sukan yang lain terutamanya sukan berpasukan dan sukan yang kurang berpotensi. MSNPP juga akan memberi perhatian kepada sukan berkenaan supaya semua sukan yang akan dipertandingkan di SUKMA XIII 2010 boleh berjaya.
ix) Pendedahan ke Pertandingan Dalam dan Luar Negara
MSNPP akan menghantar atlet-atlet untuk menyertai pertandingan di dalam dan luar negara mengikut pelan yang telah diaturkan oleh jurulatih. Tujuan menyertai pertandingan adalah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan atlet serta pihak lawan supaya kajian dapat dilakukan untuk meningkatkan prestasi atlet.
Di samping itu juga tujuan MSNPP menghantar atlet bertanding adalah untuk mengukur prestasi atlet berkenaan dan juga mengetahui kedudukan ranking atlet tersebut dan juga atlet pihak lawan.
x) Pembelian Peralatan Sukan
Peralatan untuk menghadapi pertandingan dan juga semasa menjalani latihan juga akan dititiberatkan oleh MSNPP supaya alatan berkenaan dapat membantu atlet meraih pingat di SUKMA XIII 2010 Melaka.
Peralatan sukan juga memainkan peranan penting di dalam pertandingan dan juga latihan terutamanya bagi sukan menembak, memanah, lumba basikal, sukan tempur dan sukan berpasukan.
xi) Makanan Tambahan (Food Supplement)
Makanan tambahan amatlah diperlukan oleh setiap atlet terutamanya atlet elit kerana makanan tambahan dapat meningkatkan lagi tahap kecergasan atlet, menggantikan tenaga keluar, meningkatkan lagi kadar metabolisme badan atlet dan membantu pertumbuhan badan atlet.
xii) Menetapkan Dasar Untuk Meningkatkan Keunggulan Sukan Negeri Pulau Pinang
Selain memastikan kesinambungan program-program persedian dan latihan yang sedia ada seperti disebutkan tadi. Kerajaan Negeri turut menetapkan tiga (3) dasar bagi memastikan kejayaan altet Pulau Pinang. Dasar-dasar tersebut ialah:
- Mengeratkan kerjasama antara Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dengan Persatuan-persatuan Sukan di Negeri Pulau Pinang. Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang hendaklah dilihat sebagai strategic partner kepada Persatuan-persatuan sukan negeri.
- Memberi tumpuan padu kepada lapan (8) sukan teras iaitu badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, olahraga, skuasy, tenpin bowling dan renang. Selain juga merupakan tonggak kekuatan kontinjen Pulau Pinang , kebanyakan sukan ini juga merupakan acara yang banyak menawarkan pingat dalam SUKMA ataupun dalam kejohanan kebangsaan yang lain.
- Meningkatkan kualiti atlet elit negeri Pulau Pinang melalui tiga aspek iaitu, latihan intensif, kesihatan fizikal dan kebajikan para atlet.
(a) Senarai acara-acara yang bakal diambil bahagian oleh Kontinjen Pulau Pinang ialah:
BIL JENIS SUKAN
i. Angkat Berat
ii. Badminton
iii. Bola Sepak
iv. Gimnastik Artistik
v. Hoki
vi. Olahraga
vii. Skuasy
viii. Tenpin Bowling
ix. Renang
BIL JENIS SUKAN
x. Berbasikal
xii. Karate
xiii. Lawan Bowls
xiv. Memanah
xv. Menembak
xvi. Perahu Layar
xvii. Pencak Silat
xviii. Sepak Takraw
xviii. Wushu
xix. Bola Jaring
xx. Bola Keranjang
xxi. Ekuestrian
xxii. Silambam
xxiii. Petanque
xxiv. Ping Pong
xxv. Tinju
xxvi. Taekwando
(b) Sasaran kerajaan negeri untuk SUKMA Ke XIII adalah 40 emas, 45 perak dan 50 gangsa.