MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
10/08/2009 hingga 13/07/2009 05:00:00 PM
Soalan Sila jelaskan rancangan kerajaan negeri dalam mempertingkatkan pengangkutan awam di Pulau Pinang.
Dun -
Exco LHS
Perkara ADUN

Jawapan
Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif bagi mempertingkatkanmutu pengangkutan awam di Pulau Pinang. Antaranya ialah penubuhan Majlis Pengangkutan Negeri yang akan bertanggungjawab merancang pengurusan lalulintas dan pengangkutan awam yang lebih efisien di Pulau Pinang. Antara angkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi mempertingkatkan pengangkutan awam di Pulau Pinang adalah seperti berikut:-

(a) Perkhidmatan Bas Awam

i) Kerajaan negeri berusaha menyediakan pelbagai kemudahan untuk menjayakan perkhidmatan Rapid Penang Sdn. Bhd. di Pulau Pinang. Jumlah yang beroperasi kini adalah sebanyak 150 buah bas dan sejumlah 200 buah bas lagi akan ditambah secara berperingkat dari bulan Jun 2009 hingga Disember 2009. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 350 buah bas Rapid Penang yang akan beroperasi di Pulau Pinang. Pertambahan jumlah bas ini akan meningkatkan kekerapan ketibaan bas dan sekaligus menggalakkan pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam.

(b) Perkhidmatan Bas CAT (Central Area Transit)

i) Kerajaan Negeri juga telah menyediakan perkhidmatan Bas CAT (Central Area Transit) di pusat bandar George Town pada 23 Januari 2009. Tujuan penyediaan perkhidmatan ini adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di samping mengurangkan kesesakan di pusat bandar. Perkhidmatan Bas CAT akan diperluaskan sekiranya difikirkan perlu untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam.

(c) Kemudahan Infrastruktur Pengangkutan Awam

i) Kerajaan negeri berusaha menambah baik sistem pengangkutan awam dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam sedia ada iaitu terminal bas awam, perhentian bas dan teksi berbumbung, hentian sebelah untuk bas dan teksi, paparan maklumat kepada pengguna serta hub pengangkutan awam.

(d) Stesen Compressed Natural Gas (CNG)

i) Mengenalpasti tapak-tapak untuk pembinaan stesen Compressed Natural Gas (CNG) terutama sekali untuk teksi dan kenderaan pengangkutan awam. Pada masa sekarang, terdapat lima (5) stesen minyak di Seberang Perai yang mempunyai kemudahan CNG dan tindakan sedang diambil untuk membina stesen CNG dibahagian pulau, Pulau Pinang. Dengan kemudahan ini, pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam dapat menjimatkan kos yang dapat disalurkan semula untuk menambahbaik perkhidmatan danmengurangkan tambang. Melalui penyediaan kemudahan CNG, kerajaan negeri berharap sistem teksi bermeter dapat diperkenalkan.

(e) Kerjasama dengan Kerajaan Pusat.

i) Kerajaan negeri sentiasa mengadakan rundingan dan dialog dengan Kerajaan Pusat ke arah mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas dan berusaha untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang.

(f) Penguatkuasaan

i) Mengadakan larangan, mengeluarkan petak letak kenderaan di tepi jalan serta meningkatkan penguatkuasaan. Tindakan ini adalah selaras dengan rancangan masa hadapan memberi keutamaan kepada laluan pengangkutan awam serta mewujudkan lorong bas.

(g) Laluan Pejalan Kaki

i) Membina, meluaskan dan menambah baik laluan pejalan kaki termasuk penyediaan kemudahan orang kurang upaya dan berusia untuk menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan berjalan kaki. Di samping itu, tindakan seperti mengasingkan laluan pejalan kaki dengan kenderaan, meningkatkan pencahayaan serta memasang CCTV telah dipertingkatkan selaras dengan pengwujudan Bandar Selamat.

(h) Proses Peralihan Daripada Penggunaan Kenderaan Persendirian Kepada Pengangkutan Awam.

i) Mewujudkan satu proses peralihan daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam. Dalam jangkamasa sederhana dan panjang kerajaan negeri sedang meneliti kesesuaian mengadakan kawalan, larangan dan sekatan untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian (traffic restraint measures) terutama sekali di kawasan pusat bandar.












Kembali