Jawapan
14. Walaupun, peratusan bagi pelancongan yang melawat Melaka telah meningkat, Pulau Pinang masih lagi menduduki tangga yang ke-4 (6.3 juta) bagi bilangan pelancongan manakala Melaka menduduki tangga yang ke-6 (4.35 juta) bagi tahun 2008. Dari Januari hingga Jun 2009, peratusan pelancong yang melawat Pulau Pinang meningkat sebanyak 7.2% berbanding dengan kemerosotan peratusan pelancongan yang melawat Malaysia iaitu sebanyak 3.9%. Melaka pula hanya mencatat peratusan yang meningkat sebanyak 0.7%. Bagi meningkatkan lagi peratusan pelancong yang melawat Pulau Pinang melaksanakan program-program yang berikut:
a. Tahun Melawat Pulau Pinang 2010-2012;
b. Penang Bridge International Marathon;
c. Pesta Pulau Pinang (serta aktiviti / program yang termasuk
dalam Pesta Pulau Pinang); dan
d. Persembahan Kebudayaan Mingguan “Esplanade in Actionâ€
Kerajaan negeri juga merancang beberapa produk pelancongan baru serta memperkukuhkan produk-produk pelancongan sedia ada untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Sebagai contoh, sepanjang tahun 2008 pelbagai acara pelancongan bertaraf antarabangsa telah diadakan di Pulau Pinang yang telah menarik minat pelancong dari dalam mahu pun luar negara.
Antara acara yang telah dijalankan sepanjang tahun 2008 ialah Penganjuran Pesta Seni Silat Nusantara, Pesta Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa, Kejohanan Basikal Bukit Antarabangsa, Kejohanan Golf Amatur Antarabangsa, Kejohanan Jemputan Bola Keranjang Dunia Yang Kelima Belas, Pertandingan Memancing Antarabangsa, Kejohanan Tarian Ball-Room Antarabangsa, Kejohanan Antarabangsa Bowling Pesta Pulau Pinang dan Regatta Antarabangsa Mengelilingi Pulau Pinang. Kesemua acara pelancongan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak.
Bandar George Town pula telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008. Pengiktirafan ini amat bermakna kepada kerajaan negeri dalam pemuliharaan produk berasaskan warisan. Dengan pengiktirafan tersebut, George Town kini lebih dikenali di kalangan pelancong seterusnya telah berjaya menarik lebih ramai pengunjung ke Pulau Pinang.
Selain itu, kerajaan negeri turut menerbitkan risalah-risalah pelancongan untuk diedar kepada para pelancong dari dalam dan luar negara. Kerajaan negeri turut mengiklankan tapak-tapak warisan tersebut di dalam majalah-majalah pelancongan tempatan dan luar negara bagi mempromosi serta menggalakkan pelancongan yang berteraskan sejarah dan warisan.
Perkhidmatan (wireless internet) WIFI dan WIMAX pula disediakan secara percuma di daerah Timur Laut yang meliputi kawasan Bandar George Town, Pengkalan Weld, Jalan Burma, persekitaran Persiaran Gurney ke Jalan Kebun Bunga juga hingga kawasan Bukit Jambul dan Bayan Mutiara.
Perkhidmatan ini turut merangkumi kawasan di Seberang Perai seperti kawasan Butterworth, Kampung Jawa, Kampung Perlis dan Kampung Benggali. Perkhidmatan ini menjadikan negeri ini lebih berdaya saing dan pada masa yang sama memberi perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik kepada pelancong serta penduduk Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Pembukaan beberapa buah hotel baru turut merancakkan lagi industri pelancongan di Pulau Pinang antaranya pembukaan Tune Hotel di Pulau Pinang yang menawarkan pakej keluarga pada harga yang kompetitif. Pembinaan hotel-hotel baru di kawasan yang strategik akan dapat memberi pilihan yang lebih kepada pelancong yang datang ke Pulau Pinang. Selain itu melalui pembinaan hotel-hotel baru akan membantu memenuhi keperluan pelancong terutama ketika musim cuti sekolah yang mencatatkan peningkatan tempahan bilik hotel.
Kerajaan negeri akan terus mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi unggul pelancongan di rantau ini dengan adanya produk-produk pelancongan seperti ini. Ini jelas di sepanjang tempoh lebih satu (1) tahun ini kerajaan negeri telah mengambil bahagian di dalam misi-misi pelancongan dan pameran penggalakan pelancongan peringkat domestik dan antarabangsa.
Antara pameran yang disertai termasuklah MATTA Fairs di Singapura, MATTA travel fair di Kuala Lumpur, MATTA Travel IMT-GT di Pulau Pinang, Asia Tourism Forum di Singapura, ITD di Jerman, Manchester Travel Mart, Arabian Travel Mart, European Incentive and Business and Travel Meeting and Exhibition di Geneva dan lain-lain. Usaha ini juga diharap dapat menarik serta mengekalkan tumpuan pasaran utama pelancong daripada negara Eropah, Jepun dan Australia, di samping dapat menerokai pasaran-pasaran baru seperti negara-negara Timur Tengah, India dan China.
Selain itu, kerajaan negeri turut merancang dan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan taraf pelancongan Pulau Pinang. Antaranya ialah inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan WIFI dan W1MAX secara percuma kepada penduduk negeri Pulau Pinang dan akan turut dinikmati oleh pelancong yang berkunjung ke Pulau Pinang. Selain daripada itu, kerajaan negeri bersama-sama pihak MPPP dan MPSP juga sedang berusaha keras untuk meningkatkan tahap kebersihan Pulau Pinang dengan mengambil langkah-langkah seperti membanteras penjaja-penjaja tanpa lesen/permit yang menjejaskan kebersihan dan alam sekitar.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyertai pameran-pameran pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa seperti AIME (Australia), ITB (Berlin), ATM (Dubai), WTM (London), ATF (Hanoi), ICIF (Shenzhen), ITHF (Jakarta), dan Natas (Singapura) untuk mempromosi produk pelancongan Pulau Pinang serta mendapat pendedahan mengenai perkembangan terkini industri pelancongan global.
Kerajaan negeri melalui Penang Global Tourism juga akan menganjurkan sebuah roadshow di Singapura iaitu Penang Showcase pada 9 hingga 11 September 2009 untuk menarik lebih ramai kemasukan pelancong-pelancong Singapura ke Pulau Pinang di samping memasarkan teras-teras pelancongan lain seperti pendidikan, perubatan, hartanah, makanan, pelaburan, dan sebagainya. Selain daripada Singapura, roadshow ini turut akan diadakan di Indonesia bagi tujuan yang sama pada penghujung tahun 2009.
Kerajaan negeri juga menyertai pameran-pameran tempatan seperti pameran MATTA yang diadakan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Melaka turut disertai oleh Penang Global Tourism bagi menarik dan menggalakkan pelancong-pelancong tempatan melancong ke negeri Pulau Pinang.
Selain itu, kerajaan negeri turut mempromosi serta menggalakkan lebih banyak kapal cruise untuk berlabuh di Pulau Pinang di mana setiap kapal cruise mampu membawa sekurang-kurangnya 1000 orang pelancong.
Kerajaan negeri juga mempromosi acara-acara tahunan signature events seperti Penang International Dragon Boat Festival, Bon Odori, Chingay, Penang International Bridge Marathon dan Pesta Pulau Pinang.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri menggalakkan pembukaan hotel-hotel bertaraf antarabangsa dan berjenama seperti Hard Rock Hotel di samping bekerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti syarikat-syarikat penerbangan dan pelabur-pelabur untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan produk-produk pelancongan di negeri ini. Kerajaan negeri juga mengadakan program lawatan familiarisasi untuk pihak media bagi tujuan mempromosi sektor pelancongan Pulau Pinang di mata dunia.
Dengan adanya program-program serta aktiviti yang telah dirancang dan dijalankan, kedatangan pelancong ke negeri ini akan dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.