Jawapan
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, Ya, kerajaan negeri sememangnya berhasrat dan sentiasa mengadakan usaha berterusan untuk memberi bantuan kepada usahawan kecil terutamanya golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan serta mengembangkan perniagaan mereka. Bantuan ini disediakan melalui program-program yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan negeri mahupun dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan. Antara program-program yang telah dilaksanakan bagi membantu usahawan kecil terutamanya dari kalangan belia Pulau Pinang bagi menjalankan perniagaan adalah seperti berikut :-
1) Mengadakan program-program latihan dan pembangunan sumber manusia dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha membangunkan usahawan kecil terutamanya dari kalangan belia agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan. Program ini dilaksanakan dalam bentuk seminar, forum, kursus dan dialog bertujuan untuk membantu usahawan kecil bagi mendapatkan pendedahan mengenai peluang-peluang perniagaan dan sumber pembiayaan perniagaan yang disediakan oleh agensi kerajaan negeri dan Persekutuan;
2) Kerajaan negeri turut membantu usahawan kecil menerokai peluang-peluang pasaran dan perniagaan, pembiayaan, proses pensijilan dan insentif yang disediakan dalam industri halal. Contohnya melalui Forum SME yang dianjurkan iaitu “The Food Industry in Penang : SME Development & Opportunities in Halal Industryâ€.
3) Menyediakan premis perniagaan mampu milik seperti ruang niaga dan gerai, sama ada secara jualan, sewaan dan sewa beli dengan kadar yang berpatutan bagi membolehkan usahawan muda menjalankan perniagaan yang berpotensi di tempat yang strategik. Premis perniagaan ini disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Daerah dan PDC. Usahawan tersebut berpeluang untuk mengemukakan permohonan kepada agensi berkenaan dan menghadiri sesi temuduga bagi mendapatkan ruang niaga yang disediakan;
4) Menyediakan sebuah pusat inkubator ICT di Kompleks Mayang Mall Bandar Bayan Baru yang berperanan sebagai pusat inkubator dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) untuk memberi peluang kepada usahawan tekno baru terutamanya dari golongan belia yang kreatif bagi memulakan perniagaan mereka di dalam Bandar Siber Pulau Pinang;
5) Membantu usahawan kecil di kalangan belia Pulau Pinang untuk meneroka pelaburan baru, meninjau peluang perniagaan dan meningkatkan jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa mahupun nasional. Contohnya melalui penyertaan dalam Ekspo Pekan Raya Medan (Medan Fair) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS);
6) Melaksanakan Program Pembangunan Pertanian bagi mendorong golongan belia menceburi bidang pertanian sebagai perniagaan. Antara program Pembangunan Pertanian yang boleh diceburi oleh golongan belia ialah Pembangunan Industri Tanaman Makanan, Pembangunan Industri Pemprosesan Makanan (Industri Asas Tani), Pembangunan Lain-lain Tanaman Ekonomi, Pembangunan Kawasan Kelapa, Pembangunan Sumber Manusia, Pembangunan Kelompok Tani, Pembangunan Petani Pelapis dan Pembangunan Aktiviti Jualan Terus;
7) Menyediakan Insentif Galakan Teknologi iaitu insentif yang meliputi Infrastruktur Ladang seperti pembersihan dan perparitan, Input Pertanian seperti baja dan racun serta Mekanisme Ladang seperti pam air, cultivator dan lain-lain dalam bentuk pinjaman;
8) Mengadakan Program Pembangunan Projek Industri Asas Tani yang melibatkan pembinaan bengkel baru dan menaik taraf bengkel, peralatan atau mesin yang disediakan dalam bentuk pinjaman dan pembangunan produk seperti pembungkusan;
9) Menyediakan Perkhidmatan Pengembangan Perladangan Kelompok melalui Khidmat Nasihat Teknikal dan Pengurusan Projek, Latihan Teknikal, Petak Demontrasi, Lawatan Sambil Belajar Ke Projek Yang Berjaya, Insentif Amalan Teknologi Pertanian, Bimbingan Pemasaran Hasil Pertanian, Diagnostik Tanaman, Klinik Pengembangan (Dr. Pokok) dan Pameran serta Promosi; dan
10) Melaksanakan Program Pembangunan Penternakan bagi menggalakkan golongan belia menceburi bidang penternakan sebagai perniagaan. Antara projek yang boleh diceburi oleh golongan belia adalah seperti Projek Penternakan Unggas, Penternakan Lembu, Penternakan Kambing, Penternakan Lembu Tenusu dan juga Latihan kepada penternak. Bentuk bantuan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang ini tertumpu kepada pembangunan industri ternakan sedia ada yang melibatkan penambahbaikan terhadap tempat ternakan (kandang) dan bantuan peralatan penternakan yang bersesuaian mengikut keperluan penternak.