MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
10/08/2009 hingga 13/07/2009 05:00:00 PM
Soalan MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG YANG KEDUABELAS 10 OGOS 2009 PERKARA : 4(B)(XXII)4 SOALAN BERTULIS OLEH AHLI KAWASAN PENGKALAN KOTA Y.B. TUAN LAU KENG EE 4. Mengapakah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengamalkan prosedur yang berbeza mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi menjalankan tindakan perobohan terhadap struktur-struktur bangunan yang haram, di mana MPPP perlu mengeluarkan tiga notis dan MPSP hanya mengeluarkan satu notis supaya tindakan boleh diambil walaupun struktur tersebut belum diduduki orang.
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
4. Standard Operating Procedure (SOP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkaitan perobohan bangunan haram adalah sama, iaitu tiga notis diberikan.
Prosedur yang diguna pakai oleh MPSP dalam pengeluaran notis-notis sebelum tindakan meruntuh dilaksanakan adalah seperti yang berikut :
(a) Notis Memberhentikan Kerja;
(b) Notis Meruntuh; dan
(c) Notis Mengosongkan Bangunan.




MPPP mengambil tindakan terhadap struktur-struktur haram mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan (AJPB), 1974 seperti berikut:-
Seksyen 71(1) AJPB, 1974 menyatakan:
“Jika pihak berkuasa tempatan berpuas hati bahawa suatu bangunan telah didirikan atau sedang didirikan atau hampir hendak didirikan bersalahan dengan Seksyen 70 atau, jika bangunan itu telah didirikan bersalahan dengan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa pada masa itu berhubung dengan bangunan-bangunan dan kelulusan bangunan tidak diberi kemudiannya mengenainya di bawah mana-mana undang-undang, Pihak Berkuasa Tempatan boleh mengkehendaki pemunya tanah itu melalui notis yang telah disampaikan kepadanya melakukan mana-mana satu atau lebih daripada perbuatan-perbuatan berikut :-
(a) jangan memulakan atau meneruskan pendirian bangunan itu;

(b) meruntuhkan bangunan itu dalam masa yang dinyatakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan; dan
(c) mengambil langkah-langkah sebagaimana yang diperintahkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Seksyen 72(6) sterusnya memperuntukkan seperti berikut:
‘Jika bangunan itu hendak diruntuhkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah memberi sekurang-kurangnya tiga puluh hari notis kepada penduduk-penduduk bangunan itu mengosongkan bangunan. Pihak Berkuasa Tempatan boleh selepas tamat tempoh itu, memasuki bangunan tersebut memindahkan sesiapa jua atau apa-apa harta alih yang terdapat di dalamnya.’

Tafsiran terma ‘penduduk’ diperuntukkan dalam Seksyen 3 (AJPB), 1974 yang menyatakan seperti berikut:
‘Penduduk ertinya orang yang sebenarnya menduduki tanah atau bangunan yang mengenainya perkataan itu digunakan, atau yang berhak menjaga, mengurus atau mengawal sama ada bagi faedahnya sendiri atau sebagai ejen orang lain, tetapi tidak termasuk seorang penginap.
Ini bermaksud walaupun sesuatu bangunan haram yang didirikan tidak dihuni secara fizikal, ia masih dianggap oleh Akta ini sebagai diduduki jika bangunan ini dijaga atau diurus atau dikawal oleh seseorang. Oleh itu, MPPP dikehendaki mengeluarkan notis 30 hari kepada penduduk atau penghuni. Pra-syarat ini mesti dipatuhi sebelum mana-mana bangunan haram dirobohkan. Ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Majlis Perbandaran Pulau Pinang menentang (vs) Syed Ahmed MM Gouse Mohamed yang menyatakan antara lain bahawa adalah mandatori untuk Notis di bawah Seksyen 72(6) dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sebelum tindakan meroboh dijalankan sekiranya bangunan haram diurus atau dikawal atau dijaga oleh seseorang walaupun ia tidak dihuni secara fizikal.
Selanjutnya Notis di bawah Seksyen 97 hendaklah dikeluarkan jika ianya melibatkan premis kediaman dan sekiranya penduduk tidak memberi kebenaran kepada pegawai-pegawai MPPP untuk memasukinya untuk menjalankan kerja-kerja perobohan.







Kembali