Jawapan
Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah tertentu untuk meningkatkan taraf pelancongan Pulau Pinang. Di antaranya adalah, inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan WIFI dan W1MAX secara percuma kepada penduduk Negeri Pulau Pinang termasuk pelancong atau sesiapa sahaja yang berada di Pulau Pinang. Selain daripada itu, kerajaan negeri bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga sedang berusaha keras untuk meningkatkan tahap kebersihan Pulau Pinang dengan mengambil langkah-langkah seperti membanteras penjaja-penjaja tanpa lesen atau permit yang tidak menghiraukan kebersihan sekitar.
(a) Langkah-langkah untuk menarik pelancong asing ke Pulau Pinang pada tahun 2010 dan 2011 adalah:-
(i) menyertai pameran-pameran pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa seperti AIME (Australia), ITB (Berlin), ATM (Dubai), WTM (London), ATF (Hanoi), ICIF (Shenzhen), ITHF (Jakarta) dan Natas (Singapura);
(ii) Penang Global Tourism akan menganjurkan sebuah roadshow di Singapura iaitu Penang Showcase pada 9 hingga 11 September 2009 untuk menarik lebih kemasukan pelancong-pelancong Singapura pada tahun 2010 dan 2011 ke Pulau Pinang di samping memasarkan teras-teras pelancongan lain seperti pendidikan, perubatan, hartanah (real estate), makanan, pelaburan dan sebagainya. Selain daripada Singapura, roadshow yang seumpama itu turut akan diadakan di Indonesia bagi tujuan yang sama pada hujung tahun 2009;
(iii) pameran-pameran tempatan seperti pameran MATTA juga turut disertai oleh Penang Global Tourism iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Melaka bagi menarik dan menggalakkan pelancong-pelancong tempatan melancong ke Negeri Pulau Pinang;
(iv) menggalakkan lebih banyak kapal cruise untuk berlabuh di Pulau Pinang di mana setiap kapal cruise mampu membawa sekurang-kurangnya 1,000 orang pelancong;
(v) mempromosi acara-acara tahunan (signature events) anjuran kerajaan negeri seperti acara Penang International Dragon Boat Festival, Bon Odori, Chingay, Penang International Bridge Marathon, dan Pesta Pulau Pinang;
(vi) menggalakkan pembukaan hotel-hotel bertaraf antarabangsa dan berjenama seperti Hard Rock Hotel di Batu Feringghi di samping bekerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti syarikat-syarikat penerbangan dan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negeri untuk meningkatkan infrastruktur dan produk-produk pelancongan; dan
(vii) mengadakan program lawatan familiarisasi untuk pihak media bagi tujuan mempromosi sektor pelancongan Pulau Pinang di mata dunia.