MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan (a) Sila nyatakan adakah prestasi SUKMA 2010 Negeri Pulau Pinang lebih baik berbanding dengan SUKMA 2008. (b) Jika ya, sila nyatakan dengan terperinci. Jika tidak, mengapa?
Dun -
Exco Y.B. PUAN ONG KOK FOOI
Perkara -

Jawapan
1.(a) Prestasi Pulau Pinang semasa Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pungutan pingat di SUKMA XII Terengganu 2008. Pada Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka, Negeri Pulau Pinang telah berjaya meraih sebanyak 29 pingat emas, 34 pingat perak dan 29 pingat gangsa. Terdapat pertambahan terhadap jumlah pungutan pingat iaitu sebanyak 2 pingat emas, dan 3 pingat perak berbanding dengan 27 pingat emas, 31 pingat perak dan 47 pingat gangsa semasa di SUKMA XII Terengganu. Sebagai perbandingan pungutan pingat bagi Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka dan SUKMA XII Terengganu 2008 adalah seperti di Lampiran A.
(b) Ya, Prestasi Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka adalah lebih baik berbanding penyertaan SUKMA XII Terengganu 2008. Sepanjang berlangsungnya Temasya Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 di Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah, Kontinjen Negeri Pulau Pinang berjaya mencatat sejarah tersendiri untuk 3 sukan yang dipertandingkan iaitu melalui sukan olahraga, sukan memanah dan sukan tinju untuk pungutan pingat emas.

Melalui Sukan Olahraga, atlet wanita iaitu Melinder Kaur telah berjaya memecahkan dua rekod baru Sukan Malaysia melalui acara 3000m Lari Berhalangan Wanita dan Acara 5000m Larian Wanita. Beliau juga berjaya mencatat rekod kebangsaan untuk Acara 3000m Lari Berhalangan Wanita dengan catatan rekod terbaru sebanyak 10:55:31s yang sekali gus menambah baik catatan rekod kebangsaan yang dipegang oleh beliau sendiri pada 1 Ogos 2009 di Bukit Jalil (rekod lama 11.04.15s). Bagi acara 5000m Larian Wanita, Melinder Kaur telah memecahkan rekod lama yang dicatat semasa SUKMA III 1990 yang dipegang oleh atlet Sarawak melalui catatan masa terbaru sebanyak 17:46.01s (rekod lama 18:30.16s). Beliau turut memenangi pingat perak untuk acara 1500m Larian Wanita.
Sukan Olahraga mencatatkan pungutan pingat keseluruhan sebanyak 5 emas, 3 perak dan 1 gangsa.
Dalam acara Sukan Memanah, Md Izzudin Abd Rahim juga berjaya mencatat rekod baru Sukan Malaysia untuk acara 90m Recurve Lelaki. Beliau berjaya memecahkan rekod lama SUKMA yang telah dicatat semasa berlangsungnya SUKMA IX 2002 di Sabah yang dipegang oleh atlet Sabah. Sukan Memanah mencatatkan pungutan pingat keseluruhan sebanyak 1 emas, 6 perak dan 3 gangsa.
Manakala bagi Sukan Tinju, Kontinjen Negeri Pulau Pinang juga berjaya mencatat sejarah tersendiri untuk negeri iaitu di Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka, atlet tinju Pulau Pinang berjaya memasuki 5 pusingan akhir daripada 9 kategori pertandingan yang diambil bahagian. Daripada 5 finalis tersebut, Negeri Pulau Pinang telah pun memenangi 4 pingat emas dan 1 pingat perak sekali gus meletakkan Pulau Pinang sebagai juara keseluruhan untuk acara tinju di Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka. Acara-acara yang berjaya memungut pingat emas ialah seperti berikut:

1. Rafa’el Mika’el Rahman bagi kategori 54 kg - Lelaki
2. Hamdan Abd Malik bagi kategori 60 kg - Lelaki
3. M.Eswaran Murali bagi kategori 64 kg - Lelaki
4. B.Perabagaran Balu bagi kategori 75kg – Lelaki

Sebutir pingat perak diperolehi oleh Gopi Shanmugam dalam acara 69kg - Lelaki yang tewas kepada peserta tinju atlet kebangsaan (peserta Sukan SEA). Sebutir pingat gangsa diperolehi oleh Mohd Azrul Izman bagi kategori 51 kg Lelaki.

Acara tinju merupakan satu rekod dalam di Sukan Malaysia di mana Negeri Pulau Pinang berjaya tersenarai sebagai negeri yang paling banyak finalis untuk pusingan akhir.
Kembali