MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan Mengapakah wujudnya banyak papan tanda perniagaan dalam Bahasa Inggeris yang mempunyai ejaan dan tata bahasa yang tidak betul di sekitar Negeri Pulau Pinang? Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memperbetulkan keadaan ini agar dapat memaparkan keseriusan niatnya untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah Negeri Antarabangsa (International City)?
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
10. Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Seberang Perai Selatan (MPSP) telah mengambil langkah-langkah untuk memperbetulkan keadaan supaya papan tanda perniagaan sentiasa mempunyai ejaan dan tata bahasa yang betul. Dalam hal ini MPPP memberi keutamaan bagi penggunaan Bahasa Malaysia dalam semua papan tanda perniagaan. Usaha diambil oleh MPPP untuk memastikan papan tanda perniagaan menggunakan Bahasa Inggeris dengan ejaan dan tatabahasa yang betul. Sekiranya terdapat kesalahan, MPPP akan meminta pengusaha untuk menurunkan papan tanda perniagaan tersebut dan membuat pembetulan. Perkara ini juga diambil kira apabila pengusaha membuat pembaharuan lesen perniagaan.

Begitu juga dalam kawasan MPSP, kebanyakan papan tanda perniagaan adalah di dalam Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris dibenarkan setelah pengusaha melampirkan salinan pendaftaran perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menunjukkan nama syarikat yang didaftarkan adalah menggunakan Bahasa Inggeris. Berdasarkan Undang-Undang Kecil Iklan MPSP 2001, penggunaan Bahasa Malaysia hendaklah diutamakan berbanding dengan lain-lain bahasa. MPSP dari semasa ke semasa memeriksa papan-papan tanda perniagaan ini setiap tahun bagi memastikan tiada kesalahan dari segi syarat-syarat lesen yang dikeluarkan.

Kembali