MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan Orchard Road merupakan satu jalan dan pusat membeli belah yang terkenal di Singapura. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk mewujudkan sebuah pusat membeli belah bertaraf antarabangsa seperti Orchard Road di Negeri Pulau Pinang untuk menarik pelancong asing?
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan

9. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai inisiatif untuk merancang dan membangunkan satu kawasan sebagai kawasan pusat membeli-belah dan kawasan tarikan pelancongan. Satu kawasan telah dikenal pasti untuk dinaik taraf dan dimajukan. Pembangunan yang dimaksudkan ialah Projek Pembangunan ‘Inner City’. Antara projek di bawah Projek Pembangunan ‘Inner City’ ialah Upper Penang Road, Little India, Penang Gold Bazar, Lebuh Campbell, Pasar Lebuh Campbell, Lebuh Pantai dan Lebuh Acheh - Lebuh Armenian. Secara keseluruhan, kawasan ini telah dinaik taraf dari aspek kemudahan infrastruktur dan utiliti, laluan pejalan kaki dan landskap.

Kesemua kawasan pemajuan di bawah Projek Pembangunan ‘Inner City’ mempunyai tarikan tersendiri. Tujuannya adalah untuk mengurangkan persaingan antara kawasan dan mempelbagaikan tawaran barangan dan perkhidmatan. Kawasan ini yang dilingkungi dari Jalan Kapitan Keling sehingga Jalan Kampung Kolam adalah fokus kepada pembeli emas dan permata.

Jika dilihat secara aspek kumulatif, pembangunan di bawah Projek Pembangunan ‘Inner City’ dan pembangunan baru seperti 1st Avenue di jangka dapat menguatkan lagi fungsi kawasan serta mencapai sasaran misi dan visi pembangunan iaitu untuk mewujudkan satu kawasan pusat membeli belah dan kawasan tarikan pelancongan.

Lokasi pusat membeli-belah seperti Plaza Gurney, Queensbay, Penang Gold Bazar dan 1st Avenue yang baru dibangunkan berpotensi untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini. Selain itu, Little India dan Gold Bazar juga dilihat berpotensi untuk menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke Pulau Pinang. Little India umpamanya boleh dipromosikan sebagai produk pelancongan warisan dan kebudayaan selain sebagai lokasi membeli-belah berdasarkan kepada ciri-ciri sejarah yang dimilikinya manakala Penang Gold Bazar pula boleh dipromosikan sebagai lokasi membeli belah barangan kemas. Lokasi-lokasi ini boleh dimasukkan di dalam risalah pelancongan negeri untuk dipromosikan bersama produk-produk pelancongan yang lain.

Memandangkan Pulau Pinang dikenali sebagai syurga membeli-belah, Kerajaan Negeri akan terus mempromosi pusat membeli- belah yang terkenal di negeri ini sebagai usaha menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini. Kerajaan Negeri akan terus menaikkan imej pusat membeli-belah di negeri ini yang merupakan salah satu daripada 10 teras utama pelancongan bagi Negeri Pulau Pinang.

Kembali