Jawapan
22. Pembangunan sememangnya menjadi agenda penting Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ia selaras dengan hasrat dan matlamat bagi merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, bertaraf antarabangsa dan menjadi destinasi utama pilihan pelabur dan pelancong selain menjadi tempat kediaman pilihan untuk kehidupan yang lestari.
Bagi mencapai hasrat ini, pendekatan dan penekanan pembangunan negeri difokuskan kepada lapan aspek iaitu:-
(i) Memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan urus tadbir negeri sentiasa berteraskan kepada prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).
(ii) Mengutamakan pembangunan pendidikan yang berasaskan ICT dan komunikasi dengan mengambil peluang daripada kemudahan komunikasi percuma yang disediakan melalui perkhidmatan WiFi dan WiMax.
(iii) Memastikan wujudnya suasana politik dalam negeri yang stabil, wujudnya pembangunan yang seimbang dan memberi penekanan kepada aspek-aspek kefahaman, etika dan integriti di kalangan rakyat dan warga kerja di negeri ini.
(iv) Menggalakkan wujudnya kreativiti dan inovasi dalam pembangunan yang berlandaskan kepada pemikiran baru.
(v) Memastikan wujudnya pembangunan negeri yang mapan (sustainable development).
(vi) Menjana sumber modal insan termasuk mengadakan kursus yang boleh melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti dan berguna kepada negeri.
(vii) Mewujudkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang cekap dan berkesan di mana penekanan diberikan kepada kos efektif, etika dan nilai faedah yang menguntungkan (value for money).
(viii) Menggunakan pendekatan perkongsian bijak atau kerjasama sektor awam dan swasta dalam melaksanakan projek pembangunan negeri.
Untuk tempoh 3 tahun yang terakhir, banyak pencapaian telah diperolehi oleh Kerajaan Negeri dalam pelbagai aspek pembangunan. Sepertimana semua sedia maklum melalui amalan tadbir urus CAT, Kerajaan Negeri telah berjaya memulihkan jangkaan defisit RM35 juta pada tahun 2008 kepada catatan lebihan sebanyak RM88 juta dan ini diulangi sekali lagi pada tahun 2009 dengan memulihkan jangkaan defisit RM40 juta kepada lebihan RM77 juta. Pencapaian Pulau Pinang ini telah mendapat pujian oleh Transparency International dan menjadi Kerajaan pertama di Malaysia yang memperoleh pengiktirafan tersebut.
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM728,340,371.00 bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga tahun 2010. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM383,565,301.00 merupakan peruntukan secara langsung manakala baki sebanyak RM344,775,070.00 adalah peruntukan secara pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan iaitu bagi projek bekalan air. Sebagai sebuah Kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap projek pembangunan yang akan dilaksanakan memberi fokus kepada projek-projek yang bersifat people centric dan mempunyai kesan penggandaan tinggi (multiplier effect). Ini penting bagi memastikan rakyat dapat sama-sama merasai pembangunan yang dilaksanakan dan dapat mengecapi kemakmuran kesan pelaksanaan projek-projek tersebut.
Pelaksanaan projek-projek pembangunan di Negeri Pulau Pinang merangkumi pelbagai sektor dan pelbagai program akan terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang. Antaranya meningkatkan kemudahan infrastruktur jalan, menaik taraf sungai dan parit, program pembangunan pertanian dan industri asas tani, pembangunan pelancongan, projek pemuliharaan hutan dan alam sekitar, projek menaik taraf Rancangan Perumahan Murah, Pembangunan Modal Insan, Program Bantuan Rumah Rakyat Miskin dan sebagainya.
Berdasarkan data yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2008 sebanyak 58,643 jawatan kosong baru ditawarkan manakala bagi tahun 2009 sebanyak 106,575 jawatan kosong baru ditawarkan bagi pelbagai jenis jawatan di seluruh Pulau Pinang.
Dalam konteks pembasmian kemiskinan, Negeri Pulau Pinang telah berjaya membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar. Sehingga bulan September 2010, sebanyak 755 ketua isi rumah (KIR) yang sedang menerima bantuan dari Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1,881,770 pada tahun 2009 untuk bantuan pembasmian miskin tegar manakala sehingga September 2010 jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM1,708,527.00.