Jawapan
3. (a) Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) diperuntukkan siling sebanyak RM2,100,000.00 untuk pembinaan Perpustakaan Awam Cawangan Bertam. Justeru, PPAPP telah memohon bantuan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan projek. Walau bagaimanapun setelah projek ini ditenderkan, kos As Tendered Detailed Abstract (ATDA) telah meningkat menjadi RM3,635,000.00 melebihi siling yang telah diperuntukkan. Sehubungan itu, PPAPP melalui Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2007 telah mengemukakan rayuan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia (pada ketika itu) untuk memohon peruntukan tambahan.
Pihak Kementerian kemudiannya bersetuju untuk menambah siling peruntukan mengikut ATDA yang diperlukan dan projek pembinaan Perpustakaan Awam Cawangan Bertam telah dimulakan pada penghujung tahun 2008, mengikut jadual yang telah ditetapkan. Projek tersebut siap sepenuhnya dan diserahkan kepada PPAPP pada pertengahan bulan Mei 2010.
Peruntukan yang diterima hanyalah untuk pembinaan bangunan sahaja, sedangkan PPAPP masih memerlukan peruntukan untuk pengisian dalaman seperti perabot dan peralatan ICT. PPAPP sekali lagi memohon peruntukan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia untuk pembelian perabot serta peralatan. Permohonan tersebut telah pun diluluskan dan kini proses pembelian perabot sedang diuruskan oleh Perpustakaan Negara Malaysia.
Memandangkan projek ini merupakan projek Kerajaan Persekutuan, PPAPP juga telah memohon peruntukan daripada Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk perolehan komputer. Y.B. Tan Sri telah meluluskan permohonan PPAPP dan pada ketika ini kerja-kerja perolehan sedang dilaksanakan.
(b) Perpustakaan Awam Cawangan Bertam telah pun dibuka kepada orang ramai mulai 1hb September 2010 sebagaimana yang telah dijanjikan, walaupun dengan peralatan yang serba kekurangan. Kini, proses perolehan iaitu perabot, perkakasan ICT dan lain-lain yang berkaitan sedang dilaksanakan.
(c) Perpustakaan Awam Cawangan Bertam menawarkan kemudahan perkhidmatan berikut:-
(i) Pinjaman / Pemulangan
(ii) Sumber Media
(iii) Rujukan
(iv) Tempahan Bahan
(v) Penasihat Pembaca
(vi) Pencarian Bahan Atas Talian (OPAC)
(vii) Jurnal Elektronik
(viii) Bilik Perbincangan
(ix) Loker Berkunci
(x) Penggunaan Elektrik
(xi) WI-FI
(xii) Peti Buku, dan
(xiii) Aktiviti Tambahan.