MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan (a) Sila jelaskan sumber bekalan air di Negeri Pulau Pinang dan kosnya? (b) Kenapakah masih berlaku keladak dalam air yang disalurkan kepada pengguna dan langkah mengatasinya? (c) Apakah kewajaran tarif air dinaikkan? Apakah punca perolehan PBAPP merosot? Sila huraikan
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara PBAPP

Jawapan
(a) Bekalan air mentah di Pulau Pinang adalah dari air permukaan bumi sahaja iaitu 80% dari Sungai Muda dan 20% dari kawasan tadahan di pulau. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak membayar sebarang kos terhadap penyaluran air mentah dari punca-punca tersebut di atas.

(b) Semua air terawat yang dikeluarkan dari loji-loji saringan air PBAPP mengikuti piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika masih berlakunya keladak dalam air, ini mungkin berpunca dari penggunaan paip-paip yang usang dan lama oleh pengguna yang belum ditukarkan, atau tangki air yang usang di flat/rumah pangsa.


(c) Kenaikan tarif air adalah untuk mengurangkan pembaziran air dan menggalakkan budaya penjimatan demi menjaga alam sekitar. Kewajaran kenaikan tarif air perniagaan adalah seperti berikut:-

(i) Kos pembekalan air telah meningkat sebanyak 64% dalam tempoh 10 tahun yang lalu;

(ii) Kali terakhir kajian semula dijalankan adalah pada tahun 2001;

(iii) PBAPP sebelum ini telah memberi subsidi kepada pengguna perniagaan Pulau Pinang pada jalur penggunaan yang paling rendah. Oleh kerana kenaikan kos, PBAPP tidak mampu untuk meneruskan subsidi ini;

(iv) Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, penggunaan air telah naik sebanyak 30%. PBAPP perlu membangunkan sumber air mentah baru manakala loji rawatan air, kolam air, stesen pam, sesalur dan paip air, serta lain-lain peralatan pembekalan, termasuk peralatan untuk pengawalan air yang tidak tercatat (NRW), perlu dinaiktarafkan demi memenuhi keperluan pembekalan air masa hadapan;

(v) Tarif-tarif lama dari tahun 2001 tidak dapat dikekalkan lagi kerana ianya tidak boleh memberi dana kewangan yang mencukupi untuk projek bekalan air untuk tempoh masa 2011 ke 2013;

(vi) Walaupun kos pembekalan telah meningkat sebanyak 64%, kenaikan tarif-tarif kali ini dihadkan pada tahap 27% supaya tidak terlalu membebankan pengguna-pengguna perniagaan;

(vii) Tarif-tarif perniagaan baru Pulau Pinang masih di antara yang terendah di Semenanjung Malaysia; dan

(viii) Tarif perniagaan kita masih rendah jika dibandingkan dengan tarif yang dikenakan di bandaraya-bandaraya Asia yang lain termasuk Jakarta, Singapura, Manila, Tokyo, Hong Kong, Beijing, Macau, Seoul, Vientiane (Laos) dan Bangkok.

(ix) Berdasarkan seperti yang tersebut di atas, di mana tiada apa-apa kenaikan tarif air selama 10 tahun, kemerosotan perolehan PBAPP (profit) adalah punca kenaikan kos sara hidup semula jadi. Hampir kesemua perbelanjaan PBAPP adalah saling berkait dengan kenaikan tarif tenaga elektrik dan keluli dalam tahun 2007 / 2008 dan kenaikan kos sara hidup pada amnya. Pada masa yang sama dalam tahun 2008 / 2009 oleh kerana kemerosotan ekonomi dunia / tempatan, jualan perniagaan air dan sumbangan dari sesalur induk juga turut merosot.

Kembali