Jawapan
Program-program yang dilaksanakan oleh jabatan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran pertanian sepanjang tiga (3) tahun kebelakangan adalah seperti berikut:-
(a) Program Petani Pelapis
Program ini disediakan sebagai satu usaha kerajaan untuk melahirkan usahawan tani di kalangan belia. Dengan penglibatan aktif golongan belia di dalam bidang pertanian, dimensi baru bidang pertanian dapat diwujudkan dengan menjadikan bidang pertanian sebagai satu lagi kerjaya yang mampu menjamin masa depan. Program ini meliputi pelbagai peringkat golongan belia. Antara program yang diwujudkan ialah program belia lepasan sekolah, belia dalam sekolah dan Briged Tani;
(b) Program Pembangunan Lain-Lain Tanaman Ekonomi
Program ini diwujudkan bagi membolehkan jabatan membantu petani dan usahawan tani dalam mengenal pasti dan membangunkan lain-lain tanaman atau komoditi yang berpotensi sebagai sumber alternatif yang mampu menjana pendapatan dalam bidang pertanian. Antara tanaman yang dilihat mempunyai potensi yang baik ialah seperti bunga-bungaan, rempah ratus, herba dan cendawan. Selain itu, produk-produk baru yang berpotensi dikomersialkan seperti pengeluaran Vermikompos akan turut sama dibangunkan;
(c) Program Pembangunan Industri Pemprosesan Makanan
Program ini disediakan dalam usaha kerajaan untuk membantu pengusaha-pengusaha dan ahli-ahli KPW dalam membangunkan produk-produk makanan yang berkualiti melalui standard ditetapkan di dalam Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP : Good Manufacturing Practice). Produk-produk makanan dari hasilan pertanian yang berpotensi akan terus dibangunkan sehingga memenuhi kriteria diperlukan dalam Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) bagi memudahkan pemasaran secara komersil dapat dilakukan;
(d) Program Pembangunan Kelompok Tani
Program ini diwujudkan dengan tujuan untuk memperkukuhkan organisasi kelompok tani yang berperanan besar dalam pembangunan industri pertanian di Negeri Pulau Pinang. Melalui peruntukan ini pengurusan ladang dan pembangunan infrastruktur institusi kelompok dipertingkatkan supaya pelaksanaan projek-projek berkelompok akan lebih berdaya maju dan berkesan;
(e) Program Pembangunan Aktiviti Jualan Terus
Program ini disediakan sebagai satu usaha kerajaan membantu petani, peserta projek berkelompok dan usahawan tani memasarkan terus produk mereka kepada pengguna. Melalui program ini kemudahan peralatan, barangan keperluan dan sewaan disediakan bagi meningkatkan perkhidmatan jualan terus produk-produk segar pertanian kepada pengguna;
(f) Program Pembangunan Industri Tanaman Makanan
Program ini diwujudkan bagi membangunkan teras industri pertanian negara iaitu tanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman ladang. Di bawah program ini, beberapa projek yang berkaitan dengan pembangunan industri tanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman ladang disediakan sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti pengeluaran makanan negeri dengan pengamalan teknologi terkini dan peningkatan infrastruktur ladang; dan
(f) Program Pembangunan Kawasan Kelapa
Program ini diwujudkan dalam usaha kerajaan untuk membangunkan tanaman kelapa di kawasan tanah terbiar/berpaya di daerah Barat Daya dan Kampung Air Itam Dalam, Seberang Perai Utara. Di bawah program ini, usaha-usaha untuk memulihkan semula kawasan tanaman kelapa yang pada masa ini kebanyakannya adalah pokok-pokok kelapa tua di daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah akan dapat dilaksanakan.