MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan Sila kemukakan perangkaan jenayah bagi Negeri Pulau Pinang dalam tempoh masa dua tahun yang terkini mengikut kategori jenayah dan Kawasan DUN. Selain daripada Polis Diraja Malaysia, apakah rancangan atau langkah susulan yang diambil oleh kerajaan untuk mencegah jenayah? Berapakah jumlah bajet untuk membendung kes jenayah di Pulau Pinang?
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara ADUN

Jawapan
1. Untuk maklumat Yang Berhormat, indeks kadar jenayah kekerasan bagi tempoh Januari hingga September 2009 berbanding Januari hingga September 2010 menunjukkan penurunan sebanyak negatif (-)169 kes bersamaan dengan penurunan 11% iaitu 1,534 kes pada tahun 2009 kepada 1,365 kes pada tahun 2010.

Bagi indeks kadar jenayah hartabenda pula, statistik menunjukkan terdapat penurunan sebanyak negatif (-)2,747 kes bersamaan dengan penurunan 25.3% iaitu 10,845 kes pada tahun 2009 kepada 8,098 kes pada tahun 2010. Statistik hanya dsediakan mengikut kategori Jenayah Kekerasan dan Jenayah Hartabenda sahaja dan tidak mengikut DUN.

Atas kerjasama erat di antara pihak PDRM di bawah Ketua Polis Negeri dan Kerajaan Negeri dan keberkesanan Majlis Keselamatan Negeri, indeks jenayah telah berjaya dikurangkan sebanyak 23.6% untuk 9 bulan pertama 2010 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2009.

Selain Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kerajaan Negeri juga sentiasa memberikan perhatian yang serius mengenai masalah jenayah di Negeri Pulau Pinang. Bagi membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri, ianya dapat dilihat dari Prinsip 3C yang telah diperkenalkan iaitu Crime, Congestion and Cleanliness. Prinsip 3C menunjukkan keazaman tinggi Kerajaan Negeri dalam usaha bagi memastikan negeri ini menjadi satu tempat yang selamat untuk didiami di mana rakyatnya tidak perlu risau atau bimbang mengenai aspek jenayah, kesesakan dan kebersihan.

Salah satu platform utama yang digunakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan yang lain di dalam memantau keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Pulau Pinang ialah melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Keselamatan dan Ketenteraman Awam yang dipengerusikan sendiri oleh Y.A.B. Ketua Menteri. Pada Tahun 2009 sebanyak tujuh (7) mesyuarat telah diadakan dan dalam tempoh Januari hingga Oktober 2010, sebanyak lima (5) mesyuarat telah diadakan. Dalam setiap mesyuarat tersebut, setiap jabatan dan agensi utama yang berkait dengan keselamatan seperti PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, setiap pejabat daerah akan memberikan laporan terkini dan berbincang mengenai perkembangan dan cadangan penyelesaian mengenai keselamatan dan ketenteraman awam di bawah bidang kuasa masing-masing. Mesyuarat tersebut juga turut dianggotai oleh Malaysian Crime Prevention Foundation (MCPF) dalam membantu memberikan pandangan mengenai isu-isu jenayah yang dibincangkan.

Di peringkat daerah pula, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif membantu pihak PDRM melalui penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Daerah di samping menggalakkan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela di Kawasan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK)dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) selain kerjasama erat antara Y.B Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penduduk dan pihak Polis dalam melaksanakan tanggungjawab mencegah jenayah.

Di pihak PDRM pula, pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat telah dijalankan dalam usaha membasmi atau mengurangkan kadar jenayah di Negeri Pulau Pinang. Di antara aktiviti yang dijalankan oleh PDRM sepanjang tahun 2010 ialah:

(i) Mengadakan Bengkel Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah yang dihadiri oleh 900 peserta;

(ii) Mengadakan Program High Profile Policing di kawasan Pasar Appolo Butterworth di mana Ketua Polis Negeri dan ketua jabatan telah turun bertemu penjaja dan penduduk setempat;

(iii) Mengadakan Program Pencegahan Jenayah bersama pekerja kilang Motorola di Bayan Lelas yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negeri; dan

(iv) Mengadakan Kempen Pencegahan Jenayah di Penang Times Square anjuran bersama dengan Lions Club.
(v) Menambahkan rondaan bit patrol dan MPV di kawasan ‘Crime Prone Areas’;

(vi) Pendekatan ‘Omni Presence’;

(vii) Operasi pencegahan jenayah yang berkala; dan

(viii) Mengawasi dan memantau bekas-bekas banduan, penagih dadah dan
“Target Residivis”.

(ix) Melalui usaha-usaha bersepadu semua pihak dan berterusan ini, Kerajaan Negeri berharap kadar jenayah dapat dikurangkan serta memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat Pulau Pinang. Pendekatan ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak kedekut dalam usaha mencari idea-idea baru untuk dikongsi oleh semua pihak dalam bersama-sama menangani jenayah yang akhirnya dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

Atas kerjasama erat di antara pihak PDRM di bawah Ketua Polis Negeri dan Kerajaan Negeri dan keberkesanan Majlis Keselamatan Negeri, Indeks jenayah telah berjaya dikurangkan sebanyak 23.6% untuk 9 bulan pertama 2010 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2009.
Kembali