MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan Berapakah lesen pengusaha besi buruk yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari tahun 2006 hingga 2010? Apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada pemegang lesen dari segi operasi mereka?
Dun -
Exco Y.B. TUAN CHOW KON YEOW
Perkara ADUN

Jawapan
Jumlah lesen premis untuk aktiviti besi buruk yang dikeluarkan oleh MPSP dari tahun 2006 hingga 2010 adalah seperti berikut :

Daerah 2006 2007 2008 2009 2010
SPU 14 10 9 11 12
SPT 20 17 28 25 9
SPS 5 8 7 4 5
JUMLAH 39 35 44 40 26


SYARAT-SYARAT PELESENAN AM PREMIS PERNIAGAAN – MPSP
a. Syarat Keselamatan Jabatan Bomba
(i) Mengadakan sekurang-kurangnya satu (1) Alat Pemadam Api 9kg.
(Jenis serbuk kering ABC).

(ii) Alat Pemadam Api tersebut hendaklah dihantar ke Jabatan Bomba setiap tahun untuk diuji keberkesanannya.
(iii) Semua Alat Pemadam Api itu hendaklah digantung pada dinding satu (1) meter dari paras lantai di laluan keluar supaya mudah dilihat dan senang dicapai.
(iv) Semua laluan keluar hendaklah bebas dari sebarang halangan dan rintangan.
(v) Sebuah First Aid Box hendaklah disediakan dan dilengkapi dengan ubat-ubatnya.
b. Syarat Am Kebersihan Premis
(i) Kebersihan bahagian dalam dan sekeliling premis hendaklah dijaga setiap masa.
(ii) Menyediakan kemudahan tandas dan bilik air yang sempurna dan kebersihan dijaga setiap masa.
(iii) Menyediakan kemudahan sistem perparitan yang sempurna dan kebersihannya hendaklah sentiasa dijaga.
(iv) Kemudahan tong sampah yang sempurna hendaklah disediakan dalam bilangan yang mencukupi atau mengikut keperluan.
c. Syarat Am Halangan dan Perniagaan Di Premis Perniagaan
(i) Dilarang meletak barang-barang perniagaan, menjalankan aktiviti perniagaan atau halangan di kaki lima, lorong belakang, jalan susur, jalan sisi atau tempat awam di sekeliling premis kecuali mendapat permit kebenaran daripada pihak MPSP.
(ii) Lesen perniagaan ini hanya meliputi kepada aktiviti yang dijalankan di dalam premis sahaja dan tidak melindungi aktiviti yang dilakukan di luar premis.
(iii) Larangan mengadakan sebarang bentuk aktiviti perjudian di dalam premis.
(iv) Lesen tidak boleh ditukar milik tanpa pemberitahuan rasmi kepada MPSP.
(v) Lesen perniagaan hendaklah dipamerkan pada setiap masa di premis perniagaan.

d. Syarat Khas Barang Lusuh
(i) Premis dipastikan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk.
(ii) Bagi perniagaan di tanah lapang, pagar zink setinggi tidak kurang 7 kaki hendaklah didirikan di sekeliling kawasan perniagaan dan ia hendaklah dicat dengan warna merah dan kuning secara berselang seli.
(iii) Pembakaran sisa-sisa plastik, getah, wayar, logam dan sebagainya tidak dibenarkan sama sekali.
(iv) Pengusaha hendaklah memastikan seminima mungkin kacau ganggu, bising dan habuk yang berpunca dari premis perniagaan mereka.
Manakala bilangan lesen barang-barang lusuh dikeluarkan oleh MPPP seperti dalam Lampiran seperti di atas meja Yang Berhormat. Pengusaha besi buruk dikehendaki memohon untuk lesen barang lusuh. Tiada kategori khas untuk besi buruk sahaja.
Syarat-syarat MPPP yang dikenakan ke atas jenis perniagaan ini adalah seperti berikut:-
a. SYARAT-SYARAT UNTUK MEMOHON LESEN BARANG-BARANG LUSUH
(i) Menjaga dan menyelenggara tempat atau premis supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih.
(ii) Menyediakan kemudahan tong atau bekas sampah yang cukup sebagaimana perlu untuk meletakkan sampah. Semua sampah hendaklah dimasukkan ke dalam karung plastik atau bekas lain yang sesuai sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah atau bekas sampah.
(iii) Memastikan tidak berlaku kesesakan di premis perniagaan.
(iv) Menyimpan semua bahan mengikut cara dan keadaan yang dapat mencegah, merebaknya bahan-bahan berbahaya dan menggangu daripadanya.
(v) Jangan menyebabkan, membiarkan, membenarkan atau mengizinkan penyebaran habuk, wap asap, wap haba, gas pencaran, bau, hiduan,
getaran, asap atau gejala dari premis yang boleh menyebabkan kacau ganggu atau mencemarkan udara.
(vi) Jangan membuat atau menyebabkan bunyi bising yang merupakan kacau ganggu.
(vii) Menyediakan peti rawatan kecemasan (First Aid) yang sempurna.
(viii) Mengadakan sistem pengudaraan dan pencahayaan yang sesuai dan mencukupi.
(ix) Mengambil langkah-langkah pencegahan dari menjadi tempat pembiakan serangga-serangga pembawa penyakit seperti nyamuk tirus, lipas, lalat dan lain-lain;
(x) Dilarang meletak barang-barang di atas kaki lima yang boleh mendatangkan halangan, dan
(xi) Pengusaha barang-barang lusuh perlu memohon lesen aktiviti perniagaan ini daripada pihak Polis.

Kembali