MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEDUABELAS
01/11/2010
Soalan Sila nyatakan prestasi Negeri Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang baru berlalu dan berapakah yang telah dibelanjakan oleh MSN untuk melatih, penyertaan dan imbuhan yang dibayar kepada atlet untuk sukan tersebut?
Dun -
Exco Y.B. PUAN ONG KOK FOOI
Perkara -

Jawapan
3. Prestasi Pulau Pinang semasa Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka adalah lebih baik jika dibandingkan dengan pungutan pingat di SUKMA XII Terengganu 2008. Pada Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka, Negeri Pulau Pinang telah berjaya meraih sebanyak 29 pingat emas, 34 pingat perak dan 29 pingat gangsa. Terdapat penambahan terhadap jumlah pungutan pingat iaitu sebanyak 2 pingat emas, dan 3 pingat perak berbanding dengan 27 pingat emas, 31 pingat perak dan 47 pingat gangsa semasa di SUKMA XII Terengganu. Perbandingan pungutan pingat bagi Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka dan SUKMA XII Terengganu 2008 adalah seperti di Lampiran A.

Sepanjang berlangsungnya temasya Sukan Malaysia XIII Melaka 2010, Kontinjen Negeri Pulau Pinang berjaya mencatat sejarah tersendiri untuk 3 sukan yang dipertandingkan iaitu melalui sukan olahraga, sukan memanah dan sukan tinju untuk pungutan pingat emas.


Melalui sukan olahraga, atlet wanita iaitu Melinder Kaur telah berjaya memecahkan dua rekod baru Sukan Malaysia melalui Acara 3000m Lari Berhalangan Wanita dan Acara 5000m Larian Wanita. Beliau juga berjaya mencatat rekod kebangsaan untuk Acara 3000m Lari Berhalangan Wanita dengan catatan rekod terbaru iaitu 10:55:31s yang sekaligus menambah baik catatan rekod kebangsaan yang dipegang oleh beliau sendiri pada 1 Ogos 2009 di Bukit Jalil (rekod lama 11.04.15s). Untuk acara 5000m Larian Wanita, Melinder Kaur telah memadamkan rekod lama yang dicatat semasa SUKMA III 1990 yang dipegang oleh atlet Sarawak melalui catatan masa terbaru iaitu 17:46.01s (rekod lama 18:30.16s). Beliau turut memenangi pingat perak untuk acara 1500m Larian Wanita.

Sukan olahraga mencatatkan pungutan pingat keseluruhan sebanyak 5 pingat emas, 3 pingat perak dan 1 pingat gangsa.

Di dalam Sukan Memanah, Md Izzudin Abd Rahim juga berjaya mencatat rekod baru Sukan Malaysia untuk Acara 90M Recurve Lelaki. Beliau berjaya memadam rekod lama SUKMA yang telah dicatat semasa berlangsungnya SUKMA IX 2002 di Sabah yang dipegang oleh atlet Sabah. Sukan Memanah mencatatkan pungutan pingat keseluruhan sebanyak 1 pingat emas, 6 pingat perak dan 3 pingat gangsa.

Manakala untuk Sukan Tinju, Kontinjen Negeri Pulau Pinang juga berjaya mencatat sejarah tersendiri untuk negeri di mana dalam Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka, atlet tinju Pulau Pinang berjaya memasuki 5 pusingan akhir daripada 9
kategori pertandingan yang diambil. Daripada 5 finalis tersebut, Negeri Pulau Pinang memenangi 4 pingat emas dan 1 pingat perak sekaligus meletakkan Pulau Pinang sebagai juara keseluruhan untuk Acara Tinju di Sukan Malaysia XIII 2010 Melaka. Pingat-pingat emas yang berjaya dipungut adalah melalui acara berikut :



1. Rafa’el Mika’el Rahman bagi kategori 54 kg - Lelaki
2. Hamdan Abd Malik bagi kategori 60 kg - Lelaki
3. M.Eswaran Murali bagi kategori 64 kg - Lelaki
4. B.Perabagaran Balu bagi kategori 75 kg - Lelaki

Sebutir pingat perak diperolehi oleh Gopi Shanmugam dalam acara 69kg - Lelaki yang tewas kepada peserta tinju atlet kebangsaan (peserta Sukan SEA). Sebutir pingat gangsa diperolehi oleh Mohd Azrul Izman bagi kategori 51 kg Lelaki.

Acara tinju merupakan satu rekod baru di Sukan Malaysia di mana Negeri Pulau Pinang berjaya tersenarai sebagai negeri yang paling banyak finalis untuk pusingan akhir.

Perbelanjaan Kerajaan Negeri sempena Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 adalah seperti di Lampiran B.

Kembali