Jawapan
1. Secara keseluruhannya, sektor pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang berada di dalam keadaan yang memuaskan namun masih mampu berkembang jika pelaksanaan projek-projek pengangkutan awam bertaraf mega direalisasikan di negeri ini.
2. Bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah penting dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu pengangkutan awam di negeri ini. Antara langkah-langkah tersebut adalah:-
a. Meluluskan pelaksanaan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk mewujudkan satu pelan induk sistem pengangkutan bersepadu dan mapan dengan memberi penekanan terhadap penyediaan prasarana pengangkutan awam yang berintergrasi. Kajian ini bakal dimulakan pada bulan Disember 2010 dan dijangka disiapkan dalam tempoh 1 tahun;
b. Merancang pembinaan sebuah terminal bas awam di Pengkalan Weld berhadapan dengan Bangunan Suruhanjaya Buruh. Pembinaan terminal bas tersebut dijangka siap pada tahun 2011;
c. Membina 60 buah pondok perhentian bas pada tahun 2010 bagi menggantikan pondok perhentian bas sedia ada yang telah usang. Sebanyak 200 buah perhentian bas baru akan dibina dalam tahun 2011;
d. Membina hub bas awam di Teluk Bahang, Bandar Baru Air Hitam, Sungai Nibong, Balik Pulau dan Relau pada tahun 2010. Sebanyak 8 hub tambahan akan dibina di kawasan Seberang Perai pada tahun 2011;
e. Memastikan pembinaan kiosk maklumat untuk kemudahan penumpang bas awam di Tukarantara Bas Komtar pada tahun 2010. Kiosk-kiosk tambahan akan dibina di sebahagian hub bas awam pada tahun 2011;
f. Memastikan penyediaan maklumat mengenai perkhidmatan bas Rapid Penang di laman sesawang dan papan digital yang terdapat di terminal, hub dan perhentian bas pada tahun 2011;
g. Memastikan penambahbaikan infrastruktur dijalankan di semua terminal dan hub bas awam agar lebih mesra orang kurang upaya. Rekabentuk pondok perhentian bas baru juga akan mengambilkira keperluan orang kurang upaya dan tindakan ini akan dilaksanakan pada tahun 2011;
h. Memastikan penggunaan Sistem Global Positioning System (GPS) oleh Rapid Penang untuk merancang perjalanan bas, memantau pergerakan bas dan menyediakan maklumat mengenai jadual perjalanan. Rapid Penang telah memasang papan digital maklumat jadual perjalanan bas di Tukarantara Bas Komtar pada tahun 2010 dan akan menggunakan sistem yang sama di terminal baru Pengkalan Weld apabila siap kelak;
i. Mengenalpasti tapak-tapak baru untuk pembinaan stesen Compressed Natural Gas (CNG) dan memastikan agar stesen tersebut dapat beroperasi menjelang tahun 2012. Penggunaan CNG akan lebih menjimatkan kos operasi pengusaha teksi dan bas awam berbanding penggunaan petrol dan wang penjimatan tersebut boleh disalurkan untuk menambahbaik perkhidmatan dan mengurangkan kadar tambang;
j. Merancang penyediaan lorong khas bas awam menjelang tahun 2011;
k. Mengkaji pelaksanaan sistem park and ride melalui Majlis Pengangkutan Awam Negeri Pulau Pinang;
l. Mengadakan perbincangan bersama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Gabungan Persatuan Pemandu Teksi Pulau Pinang (GPPTPP) untuk merealisasikan cadangan penggunaan meter tambang teksi; dan
m. Membuat permohonan kepada LPKP untuk melaksanakan sistem tambang teksi berkupon pada tahun 2011 sebagai alternatif kepada penggunaan meter tambang teksi sementara menanti pelaksanaan meter tambang teksi yang akan mengambil masa.
3. Kerajaan Negeri sentiasa berhasrat menyediakan perkhidmatan monorel, transit aliran ringan dan hybrid electric tram system. Namun, kos pelaksanaan projek-projek mega ini adalah tinggi dan sukar dilaksanakan tanpa suntikan kewangan dari Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan meneliti kaedah-kaedah lain seperti kaedah penswastaan atau usahasama pintar sekiranya sesuai dan menguntungkan bagi merealisasikan projek-projek tersebut.
4. Kesesuaian pelaksanaan sistem pengangkutan teksi air pula akan dikaji melalui Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang. Sistem pengangkutan teksi air akan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri sekiranya kajian mendapati ia sesuai dilaksanakan di negeri ini.
5. Kerja-kerja pembinaan projek Jambatan Pulau Pinang Kedua telah dimulakan di tapak oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh Jambatan Kedua Sdn. Bhd. Kemajuan kerja sehingga 30 September 2010 adalah sebanyak 18.62 peratus dan ianya mengikut jadual. Pembinaan jambatan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada bulan November 2013.
6. Rapid Penang memulakan operasi pada 31 Julai 2007, dengan 150 buah bas. Pada bulan Jun 2009, sebanyak 200 buah bas ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 350 buah bas. Kini, perancangan sedang dibuat oleh Rapid Penang untuk menambah 200 buah bas secara berperingkat mulai penghujung tahun 2011.